Rabu, 11 Oktober 2017 | 10:43am
- Gambar hiasan

Common Law Malaysia ikut elemen watan

Undang-undang adalah antara aspek utama dalam kewujudan dan pembinaan negara. Sebuah negara dikenali identitinya melalui undang-undangnya. Sesebuah negara juga diketahui keutuhan dengan melihat kepada keutuhan sistem perundangannya.

Bahkan kebolehan ekonomi sesebuah negara juga bergantung kepada keutuhan perundangan. Negara lain mungkin tidak mahu melabur atau membuat perjanjian dalam sebuah negara yang sistem perundangannya tidak menjamin keselamatan pelaburan atau perjanjian mereka.

Bagi mengukuhkan dan mencari identiti perundangan negara, Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim mencadangkan pembinaan Common Law bagi Malaysia. Ia diterima baik dan menjadi satu perancangan besar bagi negara.

Sarjana tempatan menyambutnya dengan penerbitan makalah akademik dan penganjuran wacana mengenainya. Walaupun cadangan itu disuarakan hampir 20 tahun lalu, namun pergerakan ke arah pembinaan Common Law Malaysia agak perlahan.

Kelihatan grand strategy atau strategi tindakan utama dan menyeluruh bagi tujuan berkenaan masih samar. Cadangan besar ini memerlukan tindakan yang menyeluruh dan bersungguh. Justeru, strategi tindakan perlu dibentuk bagi menyusun strategi untuk merealisasikan hasrat membina Common Law Malaysia yang diterima baik.

Strategi tersusun dan menyeluruh akan menjadikan transformasi perundangan dilakukan secara evolusi dan menyantuni keperluan serta menghadapi cabaran secara bijaksana. Sekolah atau fakulti undang-undang di universiti dan pemikir negara, seperti Majlis Profesor Negara perlu menjadi pelopor dalam pembinaannya.

Agenda, tindakan tersusun

Walaupun wujud bicara akademik dalam hal Common Law, bukan maksud saya, kertas dan wacana akademik itu tidak menyumbang. Sumbangannya nampak jelas dalam pemantapan falsafah Common Law itu sendiri. Namun, pembinaan Common Law bukan sekadar boleh bergantung kepada falsafah semata-mata. Ia memerlukan agenda dan tindakan tersusun.

Strategi tindakan itu perlu mengambil kira pembinaan falsafah dan kefahaman idea Common Law itu sendiri. Kedua, agenda dan tindakan. Strategi ini bukan sekadar menambah baik keadaan fizikal sistem perundangan negara. Namun ia memerlukan perubahan dalam pandang alam, cara berfikir dan utama ialah ketetapan minda mereka yang terbabit dalam gubalan, tafsiran dan aplikasi undang-undang itu.

Bermula wacana bagi pembinaan falsafah Common Law itu sendiri, agenda grand strategy ini perlu bergerak untuk memandu pendidikan perundangan ke arah falsafah itu. Pada masa sama, gubalan undang-undang juga perlu menjurus ke arah serupa. Sementara itu, pemikiran autoriti yang mentafsir undang-undang iaitu hakim, perlukan perhatian utama. Hakim akan menentukan kejayaan atau kegagalan cadangan atau agenda pembinaan Common Law ini.

Sekiranya dilihat dalam istilah perundangan juga, ia adalah jelas bahawa Common Law itu adalah natijah daripada hakim yang membuat undang-undang. Bagi negara kita, hakim adalah autoriti yang mentafsir undang-undang bertulis. Walaupun hakim di negara kita dikatakan tidak membuat undang-undang, kuasa mentafsir undang-undang itu boleh menjadi wadah pembentukan sifat perundangan.

Pemikir perundangan perlu ganding dengan disiplin lain

Selain itu, tidak kurang pentingnya strategi tindakan ini juga perlu mengambil kira pemikiran masyarakat. Undang-undang yang stabil dan berkesan ialah undang-undang yang diterima dengan baik oleh masyarakat. Undang-undang tidak boleh terasing daripada masyarakat. Oleh itu pemikiran dan kefahaman masyarakat tentang sifat undang-undang negara juga perlukan perhatian.

Semua aspek di atas perlu digerakkan serentak dalam sebuah bingkai grand strategy. Selain itu, dalam agendanya, strategi tindakan ini juga hendaklah melahirkan dan menghimpunkan pemikir atau ahli perundangan. Adalah didapati bahawa kita perlu meramaikan dan cergaskan pemikir falsafah perundangan.

Bagi pencapaian lebih holistik, pemikir perundangan perlu digandingkan dengan pemikir dalam beberapa disiplin ilmu lain yang berkaitan, seperti disiplin sejarah, sosiologi atau sains politik. Undang-undang bukan semata-mata hitam putih tulisan, tetapi gabungan warna yang perlu mendapat perhatian pelbagai disiplin ilmu.

Jika dilihat dalam peradaban perundangan dunia, ramai cendekiawan sains politik dan sosiologi, misalnya, aktif dan produktif dalam wacana dan penulisan berkaitan perundangan. Mereka memainkan peranan penting dalam menentukan warna-warni perundangan bagi menjadikan undang-undang lebih holistik dan lebih berkesan. Oleh kerana undang-undang terpakai atas semua golongan, maka pengisiannya juga perlukan pelbagai dimensi. Undang-undang jenayah misalnya, perlukan ahli psikologi dan sosiologi bagi melihat faktor jenayah dan keberkesanan hukuman.

Jelas, sistem perundangan negara, apa juga nama yang kita gunakan, termasuk istilah Common Law adalah sistem yang perlu berakar umbi kepada keadaan negara dengan mengambil kira nilai dan persekitaran negara, termasuk keadaan sosial, sejarah, politik dan budaya.

Melalui grand strategy ini kita boleh memikirkan untuk menyatukan undang-undang dan budaya kesusasteraan. Sebagai contoh, negara kita mempunyai dasar kebudayaan yang dirangka sejak hampir 50 tahun lalu. Namun, sejauh mana dasar budaya kebangsaan itu diambil kira dalam pembangunan perundangan negara. Penyepaduan semua aspek, sosial, politik, budaya dan kesusasteraan akan dapat membentuk undang-undang berakar umbi kepada sifat watan dan tempatan.

Kerangka perundangan negara, terutama kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri hendaklah diperhalusi dengan sempurna bukan dalam konteks undang-undang semata-mata, tetapi hubungan sosial dan budaya. Hubung kait identiti nasional dan undang-undang amat rapat. Undang-undang juga manifestasi kepada identiti nasional. Keyakinan kepada identiti nasional boleh menjadi aspek dalam menentukan sifat dan identiti undang-undang negara.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

374 dibaca
Berita Harian X