Selasa, 10 Oktober 2017 | 7:42am
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (enam dari kiri) dan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Azuyah Hassan (tujuh dari kiri) bergambar dengan guru selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Tritahunan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) kali ke-25, Ahad lalu. - Foto BERNAMA

Beri peluang guru ke gelanggang politik

GESAAN Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mahu guru menyertai UMNO baru-baru ini menimbulkan kontroversi khasnya dalam kalangan mereka yang anggap golongan pendidik ini tidak lagi relevan terbabit dalam dunia politik.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pula menegaskan, guru yang ingin terbabit, perlu dapat kelulusan ketua jabatan terlebih dahulu. Berdasarkan pekeliling sedia ada, guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 hingga DG48 boleh menyertai politik, manakala bagi Gred 52 ke atas, perlu dapat persetujuan ketua jabatan terlebih dahulu.

Sebenarnya, sejak 1 Ogos 2010, Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah buat penjelasan bahawa pegawai PPPS Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan terbabit dalam politik,

Perkara ini tidak seharusnya menjadi isu. Sejarah telah buktikan bahawa pendidik pada suatu masa dahulu, khasnya ketika negara belum mencapai kemerdekaan memainkan peranan penting sebagai pemimpin masyarakat dalam senario politik kampung sehingga peringkat tertinggi.

Baru-baru ini saya menyertai program Kempen Anti Fitnah di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim. Alhamdulillah, sambutan yang diterima daripada bakal guru dan masyarakat setempat begitu menggalakkan. Saya dapat lihat dan rasa semangat dan peranan yang ingin disumbangkan bakal pendidik ini apabila keluar dari gedung pendidikan bersejarah ini.

Galak lebih ramai guru aktif dalam politik

Di sini juga suatu ketika dahulu terkenal dengan nama Maktab Perguruan Sultan Idris, melahirkan ramai tokoh seperti Bapa Bahasa Melayu Moden, Zainal Abidin Ahmad atau Za'ba; bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba serta Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Seperti yang kita maklum, guru sentiasa dihormati sebagai pemimpin masyarakat dan ini boleh bantu guru memainkan peranan lebih penting dalam politik. UMNO harus ambil iktibar galak lebih ramai guru aktif dalam politik dan membantu UMNO terus perkukuh kedudukan sebagai parti utama di Malaysia.

Ramai tokoh pendidik yang telah memberi sumbangan besar kepada perjuangan UMNO. Contohnya, Allahyarham Ibu Zain yang menjadikan bidang pendidikan agenda utama apabila pegang jawatan sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO pada 1950. Ibu Zain melihat pendidikan sebagai kunci utama kejayaan sesuatu bangsa itu.

Ketika itu, umumnya kaum wanita hanya dilihat sebagai ibu di rumah menjaga anak. Namun Ibu Zain melakukan pelbagai usaha dan kempen memberi pendidikan khasnya kepada pelajar wanita yang tidak mampu. Penubuhan Kolej Tengku Ampuan Mariam di Johor Bahru memberi peluang kepada anak gadis menyambung pelajaran, adalah usaha dan bukti peranan Ibu Zain.

Seorang lagi tokoh pendidik yang juga banyak berjasa kepada UMNO ialah Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Tapa, yang menyandang beberapa jawatan penting seperti Ahli Dewan Negara , Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Nyalas.

Abdul Aziz juga pernah menerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan peringkat Negeri Melaka pada 1986 dan Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2016 sempena sambutan Hari UMNO Ke-70.

Hari ini kita tidak boleh menafikan mereka yang berpengaruh dalam dunia korporat dan terkenal dalam sesuatu bidang profesional, ada kelebihan terus mencipta nama dalam dunia politik UMNO.

Golongan pendidik juga berjuang untuk negara

Mereka dilihat golongan elit yang mampu terus menaikkan imej UMNO di mata rakyat Malaysia.

Hakikatnya juga, kedudukan serta peranan guru dalam UMNO hari ini tidak boleh disamakan dengan era sebelum merdeka sehingga era 80an.

Itulah sebabnya jangan terkejut jika peranan guru semakin dipinggirkan dalam UMNO.

Namun saya yakin guru masih relevan dan memandangkan masyarakat kita sentiasa memandang tinggi peranan dan jasa guru, maka golongan pendidik perlu diberikan peluang turun ke gelanggang politik dan sama-sama berjuang menjaga martabat dan menaikkan agama, bangsa dan negara tercinta.

Penulis adalah Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu Malaysia

611 dibaca
Berita Harian X