Khamis, 7 September 2017 | 6:12am
MENYEMBELIH binatang korban melaksana syariat Islam.

Berkorban tanda syukur, takwa

BULAN Zulhijah adalah kurniaan Allah SWT terhadap seluruh hamba-Nya yang beriman kepada-Nya. Kehadiran bulan istimewa ini menandakan indahnya ajaran Islam yang terkandung fadilat dan kurniaan pahala besar bagi umat yang beribadah kepada Allah SWT.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm, Ustaz Mohd

Meeftah Anuar menjelaskan, sepuluh hari terawal Zulhijah adalah hari yang sangat istimewa berdasarkan dalil al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Demi waktu fajar dan malam yang 10 (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah SWT) dan bilangan yang genap serta ganjil dan malam apabila ia berlalu. Bukankah demikian itu mengandungi sumpah (yang diakui kebenarannya) oleh orang yang berakal sempurna?" (Surah al-Fajr, ayat 1-5)

Rasulullah SAW bersabda: "Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari

ini-iaitu 10 hari pertama Zulhijah. Sahabat bertanya: Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah? Sabda Baginda: Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun." (Riwayat Bukhari)

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat sebarang perkara yang diingininya)." (Surah al-Kauthar, ayat 1-3)

Zahirkan kesyukuran

Jika difahami maksud ayat itu, segala nikmat diterima sama ada kebaikan yang banyak atau segala bentuk kelebihan dimiliki, sewajarnya dizahirkan kesyukuran dengan bersembahyang dan menyembelih korban untuk-Nya.

Ibadah korban disyariatkan khusus pada Zulhijah dan berlakunya peristiwa perhimpunan berjuta-juta tetamu Allah SWT di Makkah bagi menzahirkan kehambaan kepada-Nya.

Pensyariatan ibadah korban bukan hanya sekadar melaksanakan aktiviti dan ritual keagamaan dengan penyembelihan binatang atau menunaikan haji di Makkah semata-mata, maksud sebenar ibadah korban itu lebih luas.

Sangat indah ajaran Islam, Allah SWT menawarkan pelbagai pendekatan untuk umatnya mengamalkan sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini semua erti dan nilai ketaatan hamba untuk dipersembahkan kepada Pencipta-Nya.

Jangan takut bersedekah

Ibrah pengorbanan yang diperintahkan oleh Allah SWT dapat dilihat daripada kisah Nabi Adam melalui wahyu disampaikan kepada kedua puteranya seperti dinukil dalam tafsir Ibnu Katsir: "Wahai anakku (Qabil dan Habil) hendaknya masing-masing di antara kalian menyerahkan korban, maka siapa di antara kalian berdua yang korbannya diterima Allah SWT dialah yang berhak menikahinva (Iklimah)."

Begitu juga kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anakandanya, Nabi Ismail. Hakikatnya, hikmah pengajaran melalui kisah dalam al-Quran itu adalah nilai pengorbanan yang didasarkan atas keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Korban Habil, seekor binatang yang besar dan bagus sementara korban Qabil ditolak kerana dilakukan atas dasar hasad (kedengkian). Disebabkan kebakhilannya, dia memilih binatang peliharaan yang kurus untuk dikorbankan.

Melaksanakan ibadah kepada Allah SWT, jangan terlalu berkira soal wang ringgit dan harta benda. Segala rezeki dimiliki adalah daripada kurniaan-Nya. Justeru, jangan sesekali berkira dalam soal ibadah, sebaliknya, laksanakan setiap amalan kerana kecintaan dan ketaatan yang tinggi kepada-Nya.

241 dibaca
Berita Harian X