Sabtu, 2 September 2017 | 7:07am
PUAN Meriah menunjukkan ternakan dimiliki di Tangkak, Johor.

Komoditi memakmurkan rakyat

MERIAH Abdul Hadi tinggal bersama anak perempuan dan menantunya di Tangkak, Johor. Bagi pelancong tempatan, bandar yang meningkat maju ini juga dikenali sebagai 'Syurga Kain' pada tahun 70-an dan 80-an serta pintu masuk ke Gunung Ledang yang mistik. Bagi Meriah, sama seperti penduduk lain, hidupnya berkait rapat dengan pertanian sawit yang bersama kebun buah-buahan, getah dan baru-baru ini, pertanian burung walit, membentuk aktiviti utama berasaskan pertanian, di sana.

Meriah bertani di atas tanah seluas lima hektar untuk menampung kehidupan yang sederhana. Pada akhir 2016, beliau menjadi penerima pertama Skim Insentif Integrasi Ternakan, satu inisiatif tambahan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Kelapa Sawit khususnya untuk pekebun kecil bebas bagi menjana pendapatan tambahan dan memperbaiki mata pencarian mereka.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), RM29 juta diperuntukkan untuk integrasi ternakan, dengan tambahan RM19 juta juga diperuntukkan untuk integrasi tanaman. Secara keseluruhan, inisiatif sokongan itu dijangka membantu 3,350 pekebun kecil bebas menjelang 2020 dan meningkatkan pendapatan kira-kira RM700 sebulan sebagai tambahan kepada pendapatan mereka daripada penjualan tandan buah sawit.

Faedah geran penanaman

Malah, tunggak utama inisiatif huluan NKEA Minyak Sawit dan Getah adalah bantuan penanaman semula dan penanaman baharu untuk pekebun kecil bebas. Selama enam tahun antara 2011 hingga 2016, kita berjaya melaksanakan skim itu di 319,340 hektar tanah di seluruh negara. Itu adalah 4.4 kali saiz negara Singapura.

Ketika RMKe-10, kerajaan menyalurkan RM1.804 bilion untuk penanaman sawit dan penanaman getah. Untuk memastikan usaha penanaman diteruskan di bawah RMKe-11, kerajaan peruntukkan RM2.231 bilion bagi penanaman sawit dan getah. Kerajaan mengambil berat isu penanaman semula ini kerana ia penting untuk memastikan pendapatan yang baik bagi pekebun kecil .

Pada sambutan Hari Peneroka FELDA 2017 peringkat kebangsaan baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi khabar baik kepada peneroka dengan pengumuman enam insentif, termasuk penubuhan geran penanaman semula khas bagi FELDA yang akan ditadbirkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada kadar RM7,500 sehektar bermula pada tahun ini sehingga 2020. Ini membabitkan kawasan seluas 24,280.31 hektar, dengan peruntukan RM166.6 juta dalam tempoh empat tahun.

Bantuan tanam lada, koko

Sebagai tambahan kepada geran sawit dan getah, ramai pekebun kecil di Sarawak dan Sabah juga menerima bantuan penanaman baharu untuk lada dan koko. Di bawah RMKe-10, RM43.9 juta diperuntukkan kepada penanaman dan pemulihan seluas 4,984 hektar. Ia memberi faedah kepada 33,068 petani, terutama di Sarawak. Sokongan ini diteruskan di bawah RMKe-11 dengan peruntukan RM39 juta untuk menampung 1,500 hektar dan bakal memberi faedah kepada 7,500 penanam.

Sementara itu, pekebun kecil di Sabah adalah penerima utama bagi penanaman koko baharu berjumlah RM57.2 juta bagi 7,567 hektar dan memberi faedah kepada 7,849 penanam di bawah RMKe-10. Bagi RMKe-11 yang terkini, RM12.8 juta diperuntukkan bagi penanaman 1,600 hektar untuk 1,600 penanam.

Pekebun kecil di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga tidak dilupakan kerana mendapat banyak faedah daripada sokongan kerajaan dalam membangunkan pertanian kenaf yang pada mulanya menjadi pengganti untuk pertanian tembakau. Pada 2016, jumlah kawasan penanaman mencapai 2,503 hektar, dengan 88 peratus kawasan tanah yang terletak di ketiga-tiga negeri itu.

Komoditi pendorong rakyat dan ekonomi

Kebajikan rakyat, terutama pekebun kecil seperti Meriah, amat berkait rapat dengan nasib komoditi. Suasana untuk hari raya, Tahun Baharu Cina dan Deepavali sentiasa meriah di kawasan kampung apabila harga komoditi tinggi, seperti sekarang. Ini adalah sentimen yang mungkin tidak difahami penduduk di bandar.

Minyak sawit dan getah adalah dua daripada komoditi utama kami, yang mana jumlahnya mempunyai tapak yang besar. Pada 2016, kawasan gabungan penanaman minyak sawit, getah, koko, lada, kenaf dan sagu adalah sebanyak 6,910,773 hektar, mencakupi 63 peratus tanah pertanian dan kira-kira 21 peratus kawasan tanah Malaysia. Minyak sawit saja menyumbang 5,737,985 hektar, iaitu 52.5 peratus dari tanah pertanian dan kira-kira 17.4 peratus daripada jumlah tanah Malaysia.

Pekebun kecil, bebas dan terancang di bawah kelolaan FELDA, FELCRA dan RISDA, bekerja di atas 2,735,850 hektar atau 39.6 peratus tanah perladangan serta selebihnya dipegang oleh estet dan ladang besar. Minyak sawit sahaja mempunyai 644,522 pekebun kecil.

Berhubung nilai eksport, tanaman ini menyumbangm RM122 bilion atau hampir 11 peratus daripada KDNK negara. Minyak sawit menyumbang jumlah yang besar sebanyak RM67.6 bilion atau kira-kira 6.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada suku kedua 2017 KDNK, minyak sawit dan getah meningkat 12.1 peratus dan 17.0 peratus serta melonjakkan pertumbuhan sektor pertanian keseluruhan kepada 5.9 peratus.

Sektor komoditi adalah enjin utama bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia dan juga membantu kawasan luar bandar untuk mencapai pariti ekonomi yang lebih besar dengan kawasan bandar. Malah bagi golongan berpendapatan rendah, mereka sememangnya layak dan akan terus menerima perhatian daripada kerajaan.

Dilahirkan dan dibesarkan di Teluk Intan, saya sangat mengenali sektor komoditi kerana kawasan Parlimen saya adalah lokasi utama bagi penanaman dan pengeluaran minyak sawit, termasuk pengusaha besar tanaman ini iaitu Sime Darby dan United Plantations, serta ladang dan kebun kecil. Oleh itu, komoditi ini sangat dekat dengan hati saya.

Masih banyak yang dapat kita lakukan untuk menaikkan kualiti hidup pekebun kecil kita, antaranya melalui peningkatan pendapatan secara inklusif dan mampan aktiviti.

Daripada kumpulan asal dua kambing jantan dan 20 kambing betina yang diberikan, Meriah dengan gembira bertindak sebagai bidan bagi haiwan berkenaan dengan secara peribadinya menyambut kelahiran anak kambing yang baharu kira-kira sekali seminggu dan menjaganya sebagai ahli baharu kepada kumpulan itu. Daripada penjualan susu dan daging, dia menghasilkan pendapatan tambahan dan ini meningkatkan kedudukan ekonominya.

Tatkala kita menyambut Hari Kebangsaan Ke-60, saya berasa senang hati dengan usaha inklusif kerajaan untuk memberi makna sebenar kemerdekaan bagi rakyat Malaysia seperti Meriah. Selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-60 kepada semua warga Malaysia.

314 dibaca
Berita Harian X