Selasa, 2 Oktober 2018 | 10:11am
ANTARA destinasi wajib dikunjungi pelanggan di restoran ini di Sunway Lost World of Tambun, Ipoh. - Foto Zunnur Al Shaqif

Makanan warisan di Ipoh Street

SENI bina kebanyakan bangunan di Ipoh, Perak yang didirikan pada zaman British masih teguh sebagai mercu tanda kebanggaan penduduk tempatan.

Tinggalan itu kini menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Kebanyakan binaan dibangunkan berdekatan Padang Ipoh atau sekitar pekan Ipoh lama, terletak di tengah pusat bandar raya Ipoh.

Dikenali sebagai Jejak Warisan Ipoh, saban hari destinasi itu menerima kunjungan pelancong yang mewujudkan panorama unik sekali gus mempopularkan bandar di persada dunia.

Justeru, makanan warisan dari pekan Ipoh lama terus menjadi pilihan pengunjung yang menjadikan Ipoh sebagai destinasi percutian.

Pengunjung boleh melihat model bangunan pekan Ipoh lama, selain peluang menikmati makanan warisan ketika itu seperti mi kari, kuih cakoi dan tau fu fah.

Semua sajian istimewa ini boleh dinikmati dengan berkunjung ke Ipoh Street terletak di dalam kawasan taman tema, Sunway Lost World of Tambun.

Pengurus Besarnya, Nurul Nuzairi, berkata pelancong tidak perlu memandu hingga ke pusat bandar untuk melihat tinggalan warisan bangunan lama berdekatan Padang Ipoh, sebaliknya hanya bertandang ke taman temannya untuk melihat model rekaan bangunan berkenaan.

Suasana pekan Ipoh lama, boleh dirasai apabila anda menjamu selera makanan warisan disaji Ipoh Street terutama mi kari yang dinikmati bersama pemanis mulutnya, tau fu fah.


PELANCONG menaiki beca bagi merasai kelainan aktiviti.- Foto Zunnur Al Shafiq

Lot kedai berkonsepkan pekan Ipoh lama katanya, menjadikan Ipoh Street sebagai pusat sehenti, berperanan sebagai produk pelancongan dan premis makanan warisan pilihan ramai.

“Makanan istimewa wajib cuba ialah mi kari. Kuahnya pekat kami buat sendiri menggunakan pes yang hanya terdapat di Ipoh Street.

“Begitu juga kuih cakoi dan tau fu fah yang begitu popular dalam kalangan masyarakat Cina pada era pekan Ipoh lama, menampilkan rasa asli. Selain itu, sotong bakar dan nasi ayam Hainan antara menu popular kami yang wajib cuba,” katanya menjelaskan harga semangkuk mi kari RM8.50.


PELANGGAN sedang menikmati pelbagai menu di sediakan di restoran di Ipoh Street, Sunway Lost World of Tambun, Ipoh, Perak. - Foto Zunnur Al Shafiq

Info: Ipoh Street

* 4,000 pengunjung sehari (kehadiran pada pada waktu malam)

* Jarak dari bandar Ipoh - 10.5 kilometer

* Terletak di dalam kawasan taman tema, Sunway Lost World of Tambun, No 1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, Ipoh, Perak

* Pengunjung bertandang ke Lost World Hot Springs & Night Park mulai jam 6 petang hingga 11 malam menjadikan Ipoh Street sebagai destinasi wajib kunjung

* Pengunjung dihiburkan dengan pertunjukan permainan api berirama dan pelbagai tarikan lain

407 dibaca
Berita Harian X