Ahad, 1 Oktober 2017 | 7:00am

Penangan ketam segar D'Muara Chenang


MENU popular yang memberi kepuasan kepada setiap pelanggan. - Foto Zunnur Al-Shafiq

TIGA menu istimewa iaitu ketam kari, sotong goreng tepung dan jenahak tiga rasa sajian popular dari Restoran D'Muara Chenang di Langkawi terus menjadi pilihan pengunjung mahupun pelancong asing.

Penulis sebelum ini sering kali menikmati ketam kari sajian dari pelbagai restoran atau gerai di setiap pelusuk tanah air, namun kali pertama menjamah menu istimewa hidangan di restoran ini, terkedu seketika kerana terpesona dengan rasa asli masakan Thai.

Tiga perkataan saja untuk menggambarkan kelazatan ketam kari berkenaan - sedap, manis dan berbaloi. Jika diberi kesempatan, mahu saja berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Langkawi gara-gara ketam segar dari Sungai Chenang ini.

Tahap pedas dikurangkan

Pemilik dan pengurus restoran ini, Che Rus Musa yang mengendalikan kedai makan itu bersama isterinya, Shuwaibah Zulkefli, mempelajari resipi penyediaan ketam kari daripada saudaranya yang menetap di Bangkok.

Dia menaik taraf resipi itu supaya rasanya menepati cita rasa semua golongan, terutama warga asing kerana ada di antara mereka tidak tahan dengan masakan terlalu pedas.

Restorannya terletak di muara Sungai Chenang iaitu jeti pendaratan hasil laut terus daripada nelayan yang menjual hasil tangkapan kepada peraih atau pengusaha restoran berdekatan.

"Pengunjung gemar ketam kari dengan rasa tulen Thai yang pedas. Lagi pedas, lagi mereka suka.

Kalau musim ramai pelancong asing, saya menyediakan ketam kari mengikut cita rasa mereka yang tak tahan pedas," katanya.


CHE Rus dan isteri bersama ketam kari (kanan) dan jenahak tiga rasa. - Foto Zunnur Al-Shafiq


NELAYAN membawa hasil laut segar terus kepada pengusaha restoran. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Konsep makan sambil santai

Sumber bahan segar tidak menjadi masalah kerana kedudukan Restoran D'Muara Chenang terletak di muara Sungai Chenang. Harga makanannya berpatutan. Kewujudan pusat peranginan popular seperti Pantai Chenang yang dikelilingi hotel dan resort, menjadikan restoran ini tumpuan pelancong.

"Konsep makan di sini, santai. Sambil menjamu selera boleh menikmati pemandangan sekumpulan nelayan berurusan dengan peraih, begitu mendamaikan," kata Che Rus.

Penulis berkesempatan menemui nelayan yang baru pulang membawa hasil tangkapannya iaitu ikan senangin dan gerut, lalu dijual terus kepada pengusaha restoran di situ.

INFO

  • Restoran D'Muara Chenang terletak di Kompleks Mini LKIM, Jeti Pendaratan Ikan Sungai Chenang, Mukim Kedawang, Langkawi, Kedah.
  • Koordinat: 6.303 816, 99. 722 366
  • Hubungi Che Rus Musa atau Shuwaibah Zulkefli di talian 017 460 0422 atau 012 475 2425 untuk membuat tempahan.
  • Dibuka setiap hari mulai jam 6 petang hingga 1 pagi


PENGUNJUNG dari resort berhampiran menikmati hidangan kegemaran. - Foto Zunnur Al-Shafiq
965 dibaca
Berita Harian X