Ahad, 3 September 2017 | 8:08am

Nama pokok belacan jadi tarikan

MEREKA yang masuk ke restoran ini mungkin akan tertanya-tanya dari mana datangnya nama pokok belacan. Hakikatnya, nama Restoran Pokok Belacan di Bandar Meru Jaya, Ipoh ini memang menarik perhatian ramai.

Pemilik dan pengurus Restoran Pokok Belacan, Mohd Khirul Adnan Hamid atau mesra dengan panggilan Denan, 29, berkata nama pokok belacan itu timbul selepas menonton filem arahan Tan Sri P Ramlee, Ahmad Albab.

Katanya, dalam filem itu, dia teringat dengan dialog antara Syawal (lakonan P Ramlee) bersama isterinya, Mastura (Puan Sri Saloma) yang meminta ditanam pokok belacan.

Namun, Mastura memberitahu Syawal, pokok belacan tidak wujud, sebaliknya ia makanan tradisional orang Melayu itu diperbuat daripada udang yang ditumbuk.

"Kebanyakan pelanggan pasti bertanya mengapa letak nama pokok belacan?

"Seperti yang saya ceritakan, semuanya berpunca dari filem Almad Albab," katanya.

Tampilkan konsep gerai

Restoran Pokok Belacan menampilkan konsep seperti di medan selera.

Terdapat banyak gerai menawarkan pelbagai makanan untuk memberikan banyak pilihan kepada pelanggan.

"Saya baru buka restoran ini kira-kira sebulan lalu. Jika ada rezeki, saya akan tambah bilangan gerai. Mungkin ada gerai yang menjual makanan popular kaum Cina dan India supaya pelanggan ada banyak pilihan. Yang penting halal, bersih dan sedap!" katanya yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun berniaga gerai makanan jalanan di sekitar Ipoh.

Sebelum Restoran Pokok Belacan, Denan membuka gerai menjual stimbot dan burger.

Kini, dia sudah pun mempunyai lebih 30 gerai burger sekitar Ipoh dengan jenama Nice Burger. Tambahnya, selepas mempunyai pengalaman berniaga gerai makanan jalanan, baru beliau berjinak-jinak membuka restoran.

Kawal kualiti makanan

Bagi memastikan kebersihan dan kualiti makanan memenuhi piawaian yang ditetapkan, Denan akan rasa makanan daripada setiap gerai.

"Apabila saya perhatikan ada makanan atau minuman yang tidak dihabiskan pelanggan, saya akan rasa hidangan itu. Apabila ternyata kekurangan, contohnya kerang busuk atau nasi goreng masin, saya tegur penyewa.

"Kalau tiada perubahan, saya minta penyewa keluar. Cara ini akan memastikan kualiti makanan berada pada tahap terbaik. Pelanggan sensitif, sekali mereka rasa makanan kami tak sedap, mereka tak datang lagi," katanya.Denan juga mengakui, lokasi restoran turut memainkan peranan penting.

"Restoran Pokok Belacan terletak berhampiran Bulatan Amanjaya, jadi tumpuan ramai setiap malam untuk bersantai.

"Lapar, mereka datang restoran," katanya lagi.

FAKTA NOMBOR

-----------------------

- 400

Pelanggan pada hujung minggu

- RM30

Harga satu set shellambak pedas

- 15 minit

Dari bandar Ipoh

INFO

-------

  • Restoran Pokok Belacan, No 28, Jalan Meru Bistari A7, Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak
  • Hubungi 013 4463 463 (Mohd Khirul Adnan Hamid)
  • Beroperasi setiap hari kecuali Isnin mulai jam 6 petang hingga 1 pagi.
  • Layari facebook (FB) restoran pokok belacan atau nice steamboat ipoh untuk mendapatkan maklumat tambahan.
  • Menampilkan konsep medan selera. Antara gerai makanan ialah Shellambak Village, Western CikB, Kuetiau AZ Kroh, Haura Nasi Kukus, Nasi Ayam Kampung Nakhoda dan Sate House.
2623 dibaca
Berita Harian X