Ahad, 27 Ogos 2017 | 9:07am
PELANGGAN tidak berkira soal harga asal disaji hasil laut segar. - Foto Zunnur Al-Shafiq
FAIZAL bersama ketam Perancis segar. - Foto Zunnur Al-Shafiq
MONGOLIAN style Crab berharga RM170 seekor. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Mahal tapi sedap

KETAM, udang kara, siakap, kerapu dan tiram segar antara makanan laut segar yang ditempatkan dalam enam akuarium di Ibrahim's Fatty Crab, di Ampang, Selangor.

Selain memastikannya sentiasa segar, ia juga untuk menjamin kualiti sajian dapat memuaskan hati setiap pengunjung ke restoran ini, yang diusahakan oleh Mohd Faizal Fadzil, 34.

"Kami mengutamakan kesegaran. Semua makanan laut di restoran ini dijaga rapi untuk memastikan kesegarannya. Kami juga mempunyai akuarium, suhu airnya mencecah 16 darjah Celsius iaitu suhu air laut dalam dan dicampur garam sintetik supaya kemasinannya sama seperti habitat sebenar.

"Akuarium ini dikhaskan untuk ketam Perancis dan tiram segar kerana kami import dari Amerika Syarikat.

"Apabila dibawa ke Malaysia, ia masih tinggal dalam habitat sebenar sebelum dimasak. Ini sebagai persediaan untuk memastikan kesegarannya berada pada tahap maksimum," katanya.

Mohd Faizal mengakui, harga yang ditawarkan di restorannya agak mahal tetapi kebanyakan pelanggan tidak keberatan untuk berbelanja lebih, asal saja hidangan berkenaan dari sumber yang segar.

"Paling penting, rasa mesti sedap," kata Faizal yang baru setahun lebih mengusahakan restoran berkenaan.

Antara menu istimewa di Ibrahim's Fatty Crab ialah ketam masak Mongolia, yang dimasak menggunakan ketam Perancis.

Bagi penggemarnya, tiada masalah membayar sekitar RM170 seekor (bergantung pada saiz) kerana isinya lebih pejal dan rasanya yang enak.


ANTARA hidangan popular di Ibrahim's Fatty Crab yang kerap menjadi pilihan pengunjung. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Penulis memilih ketam cili yang dimasak daripada ketam nipah. Mungkin menggemari masakan Melayu, ketam yang diimport dari Indonesia ini memenuhi cita rasa penulis, lebih-lebih lagi rasanya yang agak pedas.

Penulis juga menyarankan anda mencuba siakap asam stim. Bagi yang lebih tegar dengan makanan laut, bolehlah cuba tiram segar yang dimakan begitu saja bersama perahan limau dan sos tabasco.

Memilih moto: 'The Best Halal Chinese Seafood Restaurant', Ibrahim's Fatty Crab menampilkan cef berpengalaman, T'ang Chee Mun, yang mempunyai kepakaran penyediaan makanan laut di restoran Cina.

Lebih utama, Pelanggan tak perlu was-was mengenai status halal.

Bagi memastikan rasa dan kualiti makanan menepati piawaian ditetapkan, Mohd Faizal sendiri membuat pemantauan daripada bekalan bahan mentah hinggalah kerja pentadbiran.

"Lokasi restoran yang dikelilingi taman perumahan dan pusat komersial, turut memberi kelebihan kepada kami," katanya.

INFO

* Lokasi: Ibrahim's Fatty Crab

No 18, Jalan Avenue 1

Avenue Ampang

Selangor.

* Hubungi Mohd Faizal Fadzil di talian 01111 444 131 untuk membuat tempahan.

* Layari Facebook ibrahim's fatty crab atau Instagram @ibrahimsfattycrab untuk maklumat lanjut.

* Dibuka setiap hari kecuali Isnin, mulai jam 3 petang hingga 11 malam (Sabtu & Ahad), manakala 5 petang hingga 12 tengah malam (Selasa hingga Jumaat).

2183 dibaca
Berita Harian X