Selasa, 22 Ogos 2017 | 8:53pm
HIDANGAN kambing panggang antara menu yang sering mendapat permintaan tinggi pelanggan. - Foto Mohd Nazllie Zainul
RESTORAN Kambing Punya Pasal mengetengahkan pelbagai sajian kambing dengan cita rasa Melayu klasik. - Foto Mohd Nazllie Zainul
RESTORAN Kambing Punya Pasal juga menyediakan perkhidmatan katering kambing golek. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Kambing Punya Pasal

OBSES hidangan kambing saban hari membuatkan Nurliyana Jamal, 34, sanggup meninggalkan pekerjaan tetap di sebuah agensi kerajaan dan merealisasikan impian membuka restoran menyediakan aneka juadah berasaskan kambing.

Menyifatkan kegemarannya menikmati hidangan daging kambing sebagai sesuatu kelainan dalam dirinya, wanita yang lebih mesra disapa Lyanna J itu tekad mengusahakan premis makanan dinamakan Restoran Kambing Punya Pasal di Kampung Timbok, Tuaran, Sabah, sejak Mac tahun lalu.

Ketika ditemui BH di restorannya, baru-baru ini, Nurliyana berkata, keluarganya memang penggemar daging kambing sehingga setiap hari pasti ada hidangan kambing disediakan di atas meja makan. 

"Saya beranggapan ini adalah keunikan keluarga kami kerena semua ahli keluarga, termasuk suami, ibu, bapa dan adik-beradik adalah penggemar masakan kambing tegar. 

"Tetapi ada kalanya kami sering menemui juadah kambing yang tidak menepati cita rasa, selain hampir semua restoran yang dikunjungi menyajikan menu sama.

"Maka, lahirlah idea untuk membuka restoran Kambing Punya Pasal ini," katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, restorannya menghidangkan hampir 20 jenis masakan kambing bercirikan Melayu.


NURLIYANA menunjukkan antara menu di Restoran Kambing Punya Pasal. - Foto Mohd Nazllie Zainul

PEMBANTU restoran memanggang kambing di Restoran Kambing Punya Pasal. - Foto Mohd Nazllie Zainul

"Kebanyakan restoran memilih menyediakan daging kambing dalam masakan Barat dan sukar untuk kita menikmatinya dalam masakan kampung.

"Oleh itu, selain memilih nama restoran yang sedikit pelik dan mengecat luaran premis dengan warna terang, saya mengambil keputusan menyajikan hidangan kambing menggunakan resipi ala kampung.

"Saya mahu apabila pelanggan makan di sini, mereka akan teringat kembali masakan di kampung ketika kecil," kata ibu kepada sepasang cahaya mata berusia sembilan tahun dan tujuh tahun.

Kambing Punya Pasalturut menyediakan menu Barat, namun ramuan perapan, sos serta sambal yang digunakan untuk disajikan bersama menu kambing tetap diterapkan unsur sajian Melayu.

"Saya menggunakan sekitar 30 kilogram daging kambing setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan. Antara menu disediakan adalah kambing masak lada hitam, halia, sambal pedas, masam manis, kari, sup, ampap dan kambing bakar.

"Kami juga menyediakan hidangan nasi goreng kambing, nasi goreng Pattaya kambing, char kuetiau kambing dan sup kambing," katanya.

Beliau berkata, restorannya turut menyediakan perkhidmatan katering kambing golek bagi sambutan perayaan, majlis perkahwinan, aqiqah dan pelbagai jamuan.


NURLIYANA (tengah) bersama pekerjanya di hadapan Restoran Kambing Punya Pasal, yang terletak di Jalan Marabahai, Kampung Timbok, Tuaran, Sabah. - Foto Mohd Nazllie Zainul

"Kambing golek memang sering mendapat perhatian pelanggan, malah sepanjang Aidilfitri lalu sahaja, kami menjual lebih 50 ekor kambing golek.

"Kita menetapkan harga RM1,200 untuk seekor kambing golek dengan berat 18 kilogram, merangkumi kos penghantaran dan kakitangan bagi menyediakan hidangan itu," katanya.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, Nurliayana yang berasal dari Sembulan, Kota Kinabalu, bercadang menjual daging kambing beku di restorannya, selain kambing hidup.

"Saya juga mahu menambah lebih banyak menu di restoran ini dan kini sedang melakukan kajian ke atas masakan tempatan Sabah yang boleh diolah bersama daging kambing.

"Jika ada menu yang bersesuaian, kami akan memasukkan juadah itu dalam senarai hidangan di Restoran Kambing Punya Pasal," katanya.

INFO
Restoran Kambing Punya Pasal

  • Terletak di Jalan Marabahai, Kampung Timbok, Tuaran, Sabah.
  • Masa operasi bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
  • Turut menyediakan perkhidmatan katering kambing golek dan sate kambing.
Berita Harian X