Jumaat, 11 Ogos 2017 | 7:46pm
ABDUL Kadir (tengah) bersama ibunya (kanan) menunjukkan mi Sup Melayu Champa sambil dikelilingi persekitaran yang mempesona.

Pedas berasap tapi sedap, puas

Berpeluh-peluh ketika menikmati mi sup pedas, kaya dengan hirisan daging dan kateh (lemak tulang) walaupun ditiup angin sepoi-sepoi bahasa di tepian pantai pada waktu petang.

Bayangkan kelazatannya dalam suasana amat nyaman, disajikan pula panorama yang begitu mempesona!

Begitulah istimewanya Mak Wan Mee Sup Melayu Champa, restoran yang terletak di tepi Pantai Teluk Lipat, berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun, Terengganu.

Tidak hairanlah restoran ini sentiasa penuh, terutama pada waktu tengah hari hingga lewat petang.

Pada hujung minggu, restoran ini itu dipenuhi pelancong dari luar Terengganu.

Resepi asli Mak Wan

Bak kata teman sepejabat sebaik saja melihat gambar mi sup Mak Wan: "Bestnya! Tengok gambar dah tahu sedap. Kalau kalau sudah rasa, tak tahu nak cakap macam mana, ada asam limau, sambal lada, kicap, gerenti puas hati!"

Benar bagai dikata, mi sup Mak Wan memang sedap.

Menurut pengurus restoran, Abdul Kadir Mohamad, 28, resepi sup Melayu Champa disediakan oleh ibunya, Sarisah Yusof, 58, atau lebih popular dengan panggilan Mak Wan dalam kalangan penduduk sekitar Dungun, berasal dari Kemboja.

Campuran kateh jadi keistimewaan


PENGUNJUNG dari luar Terengganu termasuk Singapura sering bertandang pada hujung minggu.

Makanan tradisional masyarakat Melayu Champa ialah mi sup. Bahan utama, mi Champa yang dibuat daripada tepung beras diimport dari Sungai Golok, sempadan Thailand. Justeru, rasanya lebih enak dan sedikit kenyal.

Mi sup ini kaya dengan campuran kateh dalam bahasa Champa iaitu hirisan daging lembu yang dipotong nipis, selain sayur-sayuran.

Bagi penulis, paling istimewa adalah kuah sup itu sendiri.

"Ia adalah resipi turun-temurun dan saya adalah generasi ketiga yang mewarisinya. Apa yang menjadi kelebihan mi sup Mak Wan, ramuan tambahan seperti gula, kicap manis, kicap masin, sambal lada, lada sula dan asam limau, kami asingkan.

"Justeru, terpulanglah kepada pelanggan untuk mencampurkannya secukup rasa sehingga memenuhi selera.

"Bagi pengunjung yang mahu mi lebih atau ingin menambah mi Champa apabila selesai menikmati semangkuk mi sup, kami berikan secara percuma!" kata Kadir.

FAKTA NOMBOR

* RM6.50

harga mi sup penuh

* RM2.50

harga tambah kateh

* 20 minit

berjalan kaki dari UiTM Dungun

INFO

* Mak Wan Mee Sup Melayu Champa, Lot 12525, Jalan Pantai, Sura Hujung, Pantai Teluk Lipat, Dungun, Terengganu. Hubungi Abdul Kadir Mohamad di talian 019 952 2431 untuk membuat tempahan.

* Layari Facebook (FB): Mak Wan Mee Sup Melayu Champa untuk maklumat lanjut. Dibuka setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 3 petang.

* Perkampungan Melayu Champa di Dungun dikenali dengan nama Kampung Che Lijah.

Berita Harian X