Ahad, 30 September 2018 | 8:27pm
PELANCONG asing menikmati keindahan Kuala Lumpur daripada ‘kotak kaca terapung’ di Menara KL. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
PEMANDANGAN ibu kota sungguh mempesona dilihat dari Sky Box @ Sky Deck Menara KL. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Suasana romantik di gerbang awan

ANDA gayat? Rasai pengalaman melihat panorama di sekitar ibu kota pada ketinggian 421 meter menerusi Sky Box @ Sky Deck di Menara KL.

• Saksikan matahari terbenam dan warna pelantar terbuka bertukar kepada jingga kemerah-merahan

• Sky Box mengunjur atau menjulur keluar dari tebing Sky Deck atau pelantar terbuka, selain menempatkan Sky Cafe pada aras sama

• Pelawat hanya dibenarkan berada dalam kotak atau kawasan Sky Box sekitar lima hingga 10 minit untuk bergambar dan tidak dibenarkan memakai kasut

• Pemandangan indah kota kosmopolitan dari sudut 360 darjah, buat rasa gayat akan lenyap

PELANCONG asing sanggup beratur panjang sehingga 100 meter semata-mata untuk menikmati pengalaman ‘terapung’ di udara, sekali gus menyaksikan pesona kota kosmopolitan Kuala Lumpur dari pandangan mata burung.

Berada betul-betul di bawah tapak kaki mereka, tidak perlu menaiki helikopter mengelilingi bandar raya ini untuk merasai pengalaman itu, sebaliknya hanya melangkah beberapa tapak saja menjulur keluar dari Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Paling penting anda perlu berani dan buang jauh perasaan takut atau gayat.

Justeru, produk pelancongan baharu yang diperkenalkan Menara KL, Sky Box @ Sky Deck mendapat sambutan luar biasa terutama dalam kalangan pelancong asing.

Bayaran dikenakan agak mahal iaitu RM99 untuk tiket dewasa dan RM52 (kanak-kanak), namun ramai yang mengambil kesempatan meneroka pemandangan ibu kota dari ‘kotak kaca terapung’ itu.

Pemandangan mempesonakan

Kehadiran pengunjung ke Sky Box @ Sky Deck bertambah ramai sekiranya cuaca cerah yang menyaksikan langit di ibu kota berwarna biru, pemandangan lebih menarik terutama pada waktu senja.


PELBAGAI aksi dirakamkan ketika berada dalam ‘kotak kaca terapung’. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

PENGUNJUNG merasai keindahan pemandangan Kuala Lumpur dari Sky Box @ Sky Deck Menara KL. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Keindahan menakjubkan apabila melihat matahari terbenam dan warna pelantar terbuka bertukar kepada jingga kemerah-merahan.

Suasananya sangat romantik dan saat itu memang dinantikan semua pengunjung terutama yang sedang berkasih.

Menjelang malam, pemandangan dari kotak kaca Sky Box begitu mempesona, seolah-olah anda sedang ‘terbang’ di atas taman fantasi apabila Kuala Lumpur bertukar wajah kepada taman bercahaya, gemerlapan dihiasi sinaran neon berkelip-kelip.

Saksikan momen indah

Sekiranya berani berbaring atau berguling di dalam kawasan Sky Box itu, bayangkan anda terbang seperti Superman sedang menjelajah kota kosmopolitan dari udara. Lebih menarik, ketinggian Menara Berkembar PETRONAS boleh dilihat dengan begitu jelas.

Berswafoto adalah aktiviti wajib ketika berada di kawasan Sky Box @ Sky Deck. Namun, jangan terlalu lama atau leka apabila berada dalam kotak kaca itu kerana barisan pengunjung beratur menunggu giliran bertambah panjang menanti anda selesai merakam momen indah.

Pengalaman menakjubkan apabila anda boleh merasai angin bertiup kencang dan ketika itu perasaan gayat pasti datang.

Pasti ada pengunjung memejamkan mata, takut melihat ke bawah pada ketinggian sebegitu sebelum teragak-agak memberanikan diri memijak lantai kotak kaca itu.

Bagaimanapun, pengunjung merasa puas apabila dapat melihat pemandangan kota kosmopolitan itu dari sudut 360 darjah, perasaan gayat akan lenyap, sebaliknya teruja ketika di situ sambil berswafoto.

Buat apa saja aksi di Sky Box @ Sky Deck, foto yang terhasil pasti luar biasa terutama panorama Kuala Lumpur, pada waktu senja dan malam.

Pengalaman berada di situ lebih sempurna foto anda dengan dengan pelbagai aksi dirakam jurugambar profesional untuk dipilih.


MENARA Berkembar PETRONAS ‘di bawah’ tapak tangan sahaja. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

PENGUNJUNG teruja berada pada ketinggian 300 meter. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Anda boleh membeli foto itu dalam pelbagai saiz sebagai memori indah sebelum meneruskan penerokaan di Menara KL.

Bagi pelancong dari Sumatera Barat, Khairunnisa Nabila, 23, mengakui beliau begitu terpesona dengan keindahan Kuala Lumpur yang dilihat menerusi kotak kaca Sky Box.

Beliau mengakui aktiviti lawatan ke situ antara yang paling menarik ketika bertandang ke kota ini.

FAKTA NOMBOR

  • 300 meter - Ketinggian Sky Box @ Sky Deck dari paras laut
  • 600 kilogram - Berat maksimum yang mampu ditampung Sky Box @ Sky Deck
  • RM71 - Harga tiket dewasa (pemegang MyKad)
  • 3,000 pengunjung - Anggaran pelancong sehari ke Sky Box @ Sky Deck

Berita Harian X