Ahad, 23 September 2018 | 11:38am
ANTARA hidupan marin yang terdapat di dasar laut di Pulau Pengelap Kepri Coral, Batam, Indonesia. - Foto Nurul Amanina Suhaini
ANTARA aktiviti pengunjung di Pulau Pengelap Kepri Coral, Batam, Indonesia. - Foto Nurul Amanina Suhaini
PEMANDANGAN indah Pulau Pengelap Kepri Coral, Batam, Indonesia. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Pulau Pengelap tarikan baharu Batam

Hembusan bayu laut memukau di Pulau Pengelap Kepri Coral, Batam, Indonesia, pasti akan menggamit suasana pada individu yang mengidamkan percutian mendamaikan di kepulauan berkenaan.

Kepri Coral, mungkin nama yang masih baharu bagi segelintir pelancong luar, namun keindahannya tidak pernah terusik kerana ia masih berada dalam keadaan terpelihara dan bebas daripada pencemaran.

Kepri atau nama singkatan bagi wilayah Kepulauan Riau khusus di Batam, seluas mata memandang dengan laut terbuka dengan kehadiran hidupan marin seperti lumba-lumba, penyu, belut laut, kerang gergasi, selain terumbu karang hidup pelbagai saiz dan warna pada kedalaman 10 meter.

Persepsi pelancong asing yang melihat Batam sekadar lokasi percutian beli-belah dan hiburan, secara tidak langsung berubah selepas merasai sendiri ‘percutian sebenar’ di pulau yang terasing dari kawasan penempatan dan pembangunan itu.

Pengembaraan menaiki bas ke lokasi kira-kira satu jam 30 minit dari Pulau Batam tidak membosankan kerana banyak lokasi boleh di singgah antaranya deretan gerai menjual jagung bakar dan udang cucuk di tepi jalan dan Jambatan Barelang yang menghubungkan pulau di Kepulauan Riau termasuk Pulau Rempang, Pulau Galang, Pulau Galang Baru dan Pulau Abang Besar.

Setibanya di Terminal Kepri Coral, di Pulau Galang Baru, perjalanan diteruskan dengan menaiki feri untuk ke Pulau Pengelap kira-kira 25 minit iaitu lokasi.

Penulis sempat menjamu selera makanan laut di atas pontoon, sambil mengamati pengalaman indah di sekitarnya.

Pontoon khas pada jarak 200 meter dari pulau persendirian itu, antara tarikan utama yang membolehkan pengunjung bergambar dan menikmati pemandangan sambil tubuh ‘dipukul’ angin pantai.

Boleh memuatkan lebih 200 orang pada satu masa, pontoon bercirikan elemen santai dan bergaya pantai itu turut menyediakan 10 bilik sesuai bagi percutian keluarga, selain akuarium terbuka di ‘dasar laut’ membolehkan pengunjung melihat secara langsung hidupan marin di kawasan sekitarnya.

Penulis berpeluang merasai keseronokan aktiviti ‘snorkeling’ bersama pelbagai spesies ikan jinak bermain di sekitar dasar laut.

Pada mulanya agak sukar ‘mencari’ batu karang berikutan pasir laut memutih melitupi khazanah berkenaan, dengan tambahan diiringi cuaca mendung dan hujan sepanjang hari.

Selepas dimaklumkan penyelam terlatih terdapat kerang gergasi ‘bersembunyi’ di sekitar kawasan itu, membuatkan ramai mata tertumpu bagi ‘meneruskan keseronokan di dalam air’ dengan memegang sendiri hidupan yang diancam kepupusan itu.

Aktiviti berendam dalam air belum berakhir di situ kerana tidak jauh dari pontoon, terletak kawasan kecil sebagai tempat santuari penyu khusus bagi mereka yang ingin membelai penyu di samping melihat hidupan laut terkapai-kapai berenang sambil melawan ombak.

Pemilik pulau yang juga Pengarah Urusan PT Palindo Marine Shipyard, Harmanto Tan, berkata banyak perancangan di kawasan kepulauan berkenaan.

Katanya, antaranya tarikan baharu Kepri Coral di keluasan 800 hektar itu akan menawarkan kemudahan seperti 20 khemah khas berkonsepkan Mongolia bagi aktiviti perkhemahan, resort dengan lebih 100 bilik, helipad, padang golf mengandungi 18 lubang.

Turut disediakan kegiatan sukan lasak seperti menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), jet ski, quadski dan hovercraft.

Bagi yang datang berkeluarga mereka boleh melakukan aktiviti meredah hutan dan ada trek basikal di sepanjang 35 kilometer mengelilingi pulau itu.

Kanak-kanak pula pasti seronok meneroka ada zoo mini dan menikmati keindahan hutan dara yang belum diteroka seperti pokok paya bakau, kelapa laut, cengal dan tongkat Ali.

“Di peringkat awal, peruntukkan berjumlah AS$ 12 juta (RM48.75 juta) sudah dilabur membabitkan pembinaan kolam renang, pantai, platform dan terminal di jeti dengan pembangunannya dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

"Pembukaan sepenuhnya pulau ini akan membawa kesan positif kepada kedua-dua negara, terutama penduduk Johor, di samping membuka banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.

Sebagai persediaan menyambut kehadiran pelancong asing, kami turut memberi kursus menyelam daripada jurulatih, selain mengurus dan menjaga alam sekitar yang kebanyakannya dalam kalangan nelayan.

Harmanto berkata, pelancong boleh merancang percutian hujung tahun yang menawarkan tiga pakej percutian pada harga berbaloi.

Yang gemar membeli cenderamata mereka boleh singgah di kilang pemprosesan kopi di Batam Centre terletak di kawasan perindustrian Tunas Bizpark Tlpe, selain pasar, litar go-kart, gerai jualan makanan dan pakaian di sekitar Bengkong Laut, Batam.

177 dibaca
Berita Harian X