Isnin, 17 September 2018 | 12:37pm

Rumah hobbit di Kampung Jkin

JALAN Lama Bukit Putus yang sebelum ini menjadi laluan utama Seremban ke Kuala Pilah, kini semakin jarang dilalui kenderaan selepas pembukaan laluan baharu sejauh 6.9 kilometer pada 2015.

Bagaimanapun bagi menarik orang ramai melalui semula laluan berselekoh itu, Kampung Jkin Resort mewujudkan perkhidmatan eko pelancongan di kaki bukit itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jefri Ramli, berkata selain pelbagai jenis penginapan yang disediakan, turut terdapat di kawasan lebih empat hektar itu adalah Kampung Jkin Extreme Park yang menyediakan pelbagai aktiviti termasuk ATV (All-terrain Vehicle).

Katanya, terdapat empat jenis penginapan yang disediakan dengan harga berpatutan termasuk sarapan, iaitu rumah pokok, rumah ‘hobbit’, asrama dan chalet.

“Uniknya tiga unit rumah pokok yang terdapat di sini, dibina menggunakan pokok sebenar sebagai tiang dan pengunjung yang menginap pasti akan merasa terbuai apabila ditiup angin.

“Rumah pokok yang dibina dengan konsep rumah kampung ini, lengkap dengan katil dan mampu dihuni sehingga lapan orang dalam satu masa,” katanya.

Jefri berkata, turut terdapat berhampiran rumah pokok itu adalah gazebo untuk pengunjung berehat sambil menikmati keindahan alam dan mendengar bunyi kicauan unggas.


RUMAH 'Hobbit' yang merupakan rumah yang bersaiz kecil yang terdapat di Kampung Jkin Resort. - Foto Adzlan Sidek

Rumah hobbit katanya, adalah sebuah rumah yang bersaiz kecil tetapi boleh didiami sehingga enam orang yang lengkap dengan katil, televisyen, kipas dan tandas.

Uniknya rumah itu adalah pada bahagian dinding yang dibina menggunakan kayu yang dipotong kecil dan disusun cantik.

“Bagi pengunjung yang datang secara berkumpulan sehingga 15 orang, mereka boleh menginap di asrama. Tetapi buat masa sekarang asrama hanya untuk perempuan sahaja dan untuk lelaki masih dalam pembinaan,” katanya.

Mereka yang mahukan lebih keselesaan pula katanya, boleh menginap di tiga unit chalet yang lengkap dengan katil dan tandas serta ruangan santai.

“Atas permintaan dan untuk keselesaan pengunjung, pada masa akan datang kita akan menambah lagi beberapa chalet yang lengkap dengan penghawa dingin.

“Kemudahan lain yang turut terdapat di sini adalah surau, hammock di beberapa kawasan, tandas, kawasan berkhemah, tempat barbeku serta mini zoo,” katanya.

Jefri berkata, selain penginapan tarikan utama ke Kampung Jkin itu adalah aktiviti lasak iaitu ATV di kawasan antara 1.2 kilometer sehingga 2.5 kilometer bergantung kepada pakej iaitu ‘fun ride’, ‘extreme ride’ dan ‘full trek extreme’.


RUMAH jenis 'Treehouse' yang menjadi tarikan utama pengunjung bagi merasai suasana yang aman dan tenang di Kampung Jkin Resort. - Foto Adzlan Sidek

Katanya, menariknya aktiviti yang disediakan dengan harga berpatutan itu, menggunakan laluan khas termasuk berbukit, berair, berlopak dan laluan sempit sebagai cabaran.

“Selain ATV terdapat juga aktiviti lain kepada pengunjung di kolam buatan semula jadi iaitu ‘monkey zip-line’, bermain gelongsor dan buaian.

“Semua aktiviti yang disediakan mementingkan nilai kekeluargaan termasuk ATV yang sesuai untuk kanak-kanak dan untuk keselamatan kita turut sediakan jaket keselamatan dan topi keledar,” katanya.

Jefri berkata, aktiviti lain yang turut terdapat di Kampung Jkin sebagai tarikan adalah menyusur jeram, memanjat bukit, mengocha dan bercomporo.

Mereka yang tidak pernah merasai aktiviti mengocha iaitu aktiviti menangkap ikan mengikut tradisi orang lama iaitu menggunakan tangan, berpeluang berbuat demikian di sini.

“Aktiviti bercomporo pula adalah aktiviti bermandi-manda di kolam buatan yang datangnya dari air bukit. Ini adalah aktiviti santai yang amat sesuai untuk seisi keluarga,” katanya.

1826 dibaca
RUMAH jenis 'Treehouse' yang menjadi tarikan utama pengunjung bagi merasai suasana yang aman dan tenang di Kampung Jkin Resort. - Foto Adzlan Sidek
Berita Harian X