Isnin, 3 September 2018 | 9:40am
Double Tree By Hilton Melaka.

Penginapan di hotel hebat

Antara perkara penting persediaan bercuti adalah mencari penginapan selesa untuk seisi keluarga, selain tiket kapal terbang dan sasaran lokasi menarik untuk dilawati.

Sebelum memulakan perjalanan, jari ligat tercari-cari hotel atau rumah inap yang menjanjikan pengalaman hebat untuk memastikan percutian benar-benar berkualiti.

Usah memeningkan kepala, contohnya jika ingin ke negeri Hang Tuah, senarai hotel yang patut dihuni ialah di Double Tree By Hilton Melaka, kerana memiliki apa yang anda mahukan untuk percutian penuh bermakna.

Berada di Melaka Bandar Bersejarah yang diiktiraf Bandar Warisan Dunia oleh Destinasi Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), hotel istimewa ini ada nilai unik yang tidak bisa anda peroleh di penginapan seumpamanya.

Lokasi hotel itu melengkapkan rangkaian empat empayar jenama hotel di negara ini yang turut berada di Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Jelajah media ke Kota Hang Tuah dengan penginapan tiga hari dua malam di Double Tree By Hilton Melaka, baru baru ini, menghimpun seribu satu perasaan.

Tatkala kaki terhenti di hotel ini, sapaan mesra kakitangan sedikit melupakan kepenatan mengharungi lebih dua jam perjalanan.

Lebih rasa teruja, air jus diberikan bersama biskut coklat cip yang mungkin saja baru dibakar kerana masih panas segar.

Ini antara signatur hotel yang unik kerana biskut coklat cip yang dipersembahkan membuatkan kami benar-benar menikmati rasa biskut yang sangat mengujakan.

Kami diberitahu, semua pengunjung hotel layak menerima cenderahati istimewa itu saat mendaftar masuk. Jika bernasib baik, anda boleh meminta lebih untuk biskut cip istimewa ini.

Saat ditunggu, kami berpeluang menginap di sebuah bilik yang cukup luas dan selesa untuk penginapan seisi keluarga, lengkap dengan peralatan asas diperlukan.

Melangkah masuk, agak teruja dengan keluasan bilik. Kaki terhenti dan mata terarah pada rangkaian produk dari jenama Crabtree & Evelyn, meliputi syampu dan gel mandian untuk kegunaan harian.

Jika bertuah, anda boleh menikmati pemandangan matahari terbenam di kala senja saat menginap di hotel ini.

Hotel ini menyediakan 273 bilik bergaya dan luas termasuk 27 suite dan Suite Presiden, sesuai untuk pengembara solo, ahli perniagaan mahupun keluarga untuk berkumpul dan menikmati keindahannya dengan pelbagai pemandangan berbeza.

Pilih saja mana anda suka sama ada bilik Deluxe dan Suite, yang menjanjikan pengalaman penginapan berbaloi kerana ruangnya luas dan sofitiskated.

Lokasinya di tengah Hatten City, kira-kira 3.6 kilometer (10 minit pemanduan) dari Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terletak di pusat bandaraya.


Double Tree By Hilton Melaka.

Hotel ini amat ideal untuk pengembara percutian yang ingin meneroka warisan Melaka sambil berpeluang melawat tarikan terkenal bandaraya ini termasuk Jonker Street, Bangunan Warisan di Red Square dan St Paul's Hill.

Bukan saja menawarkan penginapan percutian hebat, hotel ini dilihat begitu peka dengan keperluan seisi keluarga apabila mempunyai Kid's Club dan menawarkan pilihan untuk menghubungkan sehingga empat bilik tetamu, yang mempunyai lorong peribadi yang dikongsi.

Malah, pilihan rekreasi lain termasuk kolam renang infiniti luaran dan pusat kecergasan cukup selesa dan wajib dinikmati.


HOTEL menjadi tempat santai sesuai seisi keluarga.

Pengurus Besar Serantau Hilton Malaysia, Jamie Mead. - Foto Hafiz Sohaimi

Kolam renang dibuka dari jam 7 pagi sehingga 10 malam, memberikan anda peluang bermandi manda sehingga lewat malam sambil melihat kota Melaka nun jauh di bawah dengan kerlipan lampu segenap bandaraya itu.

Tidak lengkap rasanya menginap di hotel tanpa merasai keenakan air tangan cef hotel.

Hotel ini menyediakan menawarkan ballroom yang boleh menampung sehingga 1,100 orang, lima bilik mesyuarat dan ruang dewan.

Jika tercari lokasi percutian yang lengkap dengan sajian makanan lazat, bilik selesa dan luas serta infrastruktur lengkap, hotel ini menawarkan apa yang diinginkan.

Pengurus Besar Serantau Hilton Malaysia, Jamie Mead, pihaknya mengalu-alukan pengunjung ke bandar Warisan UNESCO Malaysia yang mana mereka berpeluang menemui budaya menakjubkan dan kaya dengan pelbagai keunikan.

Pembukaan hotel ini menyempurnakan portfolio sedia ada jenama itu memandangkan Malaysia sebuah negara yang mempunyai peluang dan pengalaman pelancongan yang menarik.


BILIK besar dilengkapi pelbagai kemudahan selesa untuk mereka menginap di sini.

INFO
* Dibuka Disember lalu
* Harga bilik bermula dari RM250.
* Terletak di Hatten City, Jalan Melaka Raya 23, Bandar Hilir, Melaka 75000, Malaysia.
* Tempahan hubungi + 60-6-2223333.

1847 dibaca
Berita Harian X