Isnin, 13 Ogos 2018 | 10:59am
PENGUNJUNG perlu menyusuri Sungai Timun menggunakan perkhidmatan bot yang disediakan ahli persatuan nelayan dengan harga yang berpatutan untuk melihat kelip-kelip di hutan bakau itu. - Foto Adzlan Sidek
MENYUSURI Sungai Timun, menyaksikan kelip-kelip selepas menaiki bot dari Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Timun, Rembau.
SUNGAI Timun juga dihuni pelbagai habitat termasuk bangau dan buaya. - Foto Adzlan Sidek

Kelip-kelip tarikan Sungai Timun

HABITAT kelip-kelip yang ada di Sungai Timun di Rembau, Negeri Sembilan antara lokasi menarik yang seharusnya diterokai oleh pencinta alam sekitar atau sesiapa sahaja yang mahu menikmati kedamaian ciptaan Illahi.

Keindahan itu lebih menyerlah sekiranya pengunjung datang pada waktu senja. Mereka boleh menyewa bot nelayan, di Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Timun untuk dibawa menyusuli sungai sejauh tiga hingga lima kilometer.

Walaupun sudah lama kewujudan kelip-kelip di kawasan itu, namun ramai yang kurang tahu mengenai potensi yang boleh diterokai sebagai daya tarikan baru kepada industri pelancongan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Sungai Timun, Aziz Salim mengakui situasi itu adalah disebabkan kurang publisiti sehingga tidak mengetahui tarikan di sungai berkenaan.

Katanya, dengan jarak dari Pekan Rembau ke Jeti Sungai Timun sejauh 30 kilometer itu sahaja pengunjung boleh meninjau pemandangan indah di situ.

“Kebanyakan pengunjung luar negara yang melawat kawasan itu ialah dari Korea, China, Singapura dan Taiwan dengan majoritinya secara berkumpulan.

"Mereka mengetahui lokasi itu hasil promosi yang dijalankan antara pihak persatuan dan pengusaha hotel di sekitar Port Dickson mengenai kewujudan kelip-kelip ini sebagai salah destinasi yang mesti dikunjungi pelancong.

"Hampir setiap minggu kami menerima pengunjung luar negara dan mereka teruja melihat habitat itu yang jarang ditemui di negara mereka," katanya.

Aziz berkata, pengunjung perlu menyusuri Sungai Timun menggunakan perkhidmatan bot yang disediakan ahli persatuan nelayan dengan harga yang berpatutan untuk melihat kelip-kelip di hutan bakau itu.

Apa yang menarik, kelip-kelip kawasan itu seperti sudah biasa dengan bunyi deruman enjin bot. Ia membuatkan serangga itu tidak lari walaupun dengan kehadiran bot yang membawa pengunjung.

"Namun, kelip-kelip ini kurang ketika bulan terang atau hujan," katanya.

Untuk menggalakkan pelancong ke sini, terdapat beberapa pakej bot yang ditawarkan kepada pengunjung dan boleh memilih mengikut permintaan mereka.

Sungai terbabit juga dihuni pelbagai habitat termasuk bangau dan buaya.

Sehubungan itu, pengunjung disediakan dengan pakej kelip-kelip, bangau dan buaya yang mana perkhidmatan bot itu akan membawa mereka menyusuri Sungai Timun selama tiga jam pergi dan balik.

Bagi pakej ini, pengunjung dikenakan bayaran RM250 untuk bot yang boleh memuatkan seramai enam penumpang.

Selain itu, pakej kelip-kelip itu termasuk akan membawa pengunjung menaiki bot yang boleh memuatkan lapan penumpang dengan bayaran RM20 seorang bagi perjalanan 40 minit ke sejam pergi dan balik untuk melihat secara dekat habitat itu.

Bagi kaki pancing ini adalah pengalaman menarik yang harus dirasai. Justeru, disediakan pakej memancing udang galah dan ikan dengan bayaran RM250 yang dilengkapi dengan sebuah bot untuk empat orang bersama seorang jurupandu.

Pemancing yang mahu melakukan aktiviti lebih bebas, mereka boleh menyewa bot dan memandu sendiri dengan kadar sewa RM150 untuk tempoh selama 12 jam.

Kepentingan mengekalkan alam sekitar termasuk khazanah yang ada di Sungai Timun, menerusi program tanggung jawab sosial (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM2.4 juta untuk menjalankan kajian mengenai persekitaran di kawasan itu untuk mengelak kepupusan serangan berkenaan.

Kajian bagi mengenal pasti populasi kelip-kelip, serangga yang hidup bersama, mutu air, tahap pencemaran, kesan perubahan guna tanah terhadap kelip-kelip dan sebagainya.

1165 dibaca
Berita Harian X