Ahad, 5 Ogos 2018 | 8:35am
AHLI bahagian korporat Majlis Daerah Kuala Langat, Norhisham Othman. - Foto Farhany Rahman
PESERTA, Syahirah Zamani. - Foto Farhany Rahman

Panorama indah di Bukit Jugra

AKTIVITI sukan lasak semakin digemari individu pelbagai peringkat usia, tambahan pula dengan banyak aktiviti dianjurkan membangkitkan semangat untuk menerokai rahsia alam.

Pastinya, aktiviti lasak dapat mengekalkan stamina, menguatkan diri dari segi mental dan fizikal serta meningkatkan kecergasan seseorang menjadi lebih aktif.

Antara, lokasi pilihan penggemar aktiviti lasak ialah memanjat Bukit Jugra dan mencuba terbang di udara dengan paragliding sekali gus dapat memiliki keindahan alam semula jadi sesuai untuk bersantai sambil menghirup udara segar.

Dibuka lebih 15 tahun lalu, Bukit Jugra, di Selangor sering dipenuhi pengunjung terutama pada hujung minggu kerana aktiviti riadah dilakukan bersama keluarga, rakan dan sebagainya.

Bukit ini pernah berperanan sebagai lokasi penting dalam sejarah pemerintahan negeri Selangor, dari aspek kedudukannya dan lokasinya memang strategik khususnya bagi mengawal laluan laut sekitar Selat Melaka.


AKTIVITI Paragliding di Bukit Jugra. - Foto Farhany Rahman

Paragliding tarikan utama

Antara tarikan utama di Bukit Jugra ini adalah aktiviti paragliding kepada mereka yang mahu merasai pengalaman berbeza dan menghilangkan rasa gayat ketika tubuh terapung di udara dan melakukan pendaratan kemas.

Bukan semua orang berani mencuba sukan lasak ini, namun pada sesiapa yang melakukannya pasti ketagih mahu lagi.

Aktiviti paragliding kendalian Paragliders Malaysia dan Prosky Adventure ini sesuai dilakukan belia kerana kosnya yang amat berpatutan dan pastinya itulah jiwa mereka yang mahu mencuba sesuatu yang lebih mencabar.

Anda boleh meluncur di udara sekitar 10-15 minit dan boleh menikmati pemandangan indah ketika berada pada ruang angkasa.

Pengunjung, Syahirah Zamani, berkata aktiviti paragliding ini menarik perhatian beliau amat teruja untuk mencabar diri apabila melihat pengunjung lain terapung di udara dengan payung terjun berwarna-warni.

Katanya, kali pertama beliau datang ke sini kerana diberitahu ada aktiviti paragliding yang terletak di atas bukit dan ingin mencubanya.

"Saya teruja dapat terbang di udara dan seakan-akan tidak percaya impian berkenaan apabila datang di Bukit Jugra.

"Pada mulanya saya amat takut nak mencuba. Apabila melihat bawah pada paras ketinggian sebegitu ia amat menggerunkan. Tetapi apabila sudah berada di udara rasa takut itu hilang serta-merta.

"Saya rasa bebas seketika, dapat melihat keseluruhan pemandangan dari udara dengan pepohon menghijau seakan berbukit-bukau. Detik hati berkata-kata betapa indahnya kejadian alam ciptaan Tuhan," katanya.

Percubaan pertama ini akan diceritakan kepada keluarga dan rakan bagi menggalakkan mereka mencuba permainan sama.


PESERTA di berikan taklimat keselamatan sebelum diterbangkan. - Foto Farhany Rahman

Titik berat keselamatan

Ahli Bahagian Korporat Majlis Daerah Kuala Langat, Norhisham Othman, berkata setiap aktiviti sukan lasak perlu dilakukan dengan berhati-hati dan mengikut langkah keselamatan betul.

Katanya, setakat ini beliau sudah menerbangkan ramai peserta paragliding tidak kira dari dalam dan luar negara.

"Sebelum terbang, setiap peserta paragliding akan diberikan taklimat dan peraturan ketika berada di udara.

"Pihak kami kami amat menitik beratkan aspek keselamatan kepada setiap peserta kerana tidak mahu perkara yang boleh membahayakan keselamatan mereka.

"Aktiviti meluncur di udara ini termasuk sukan ekstrem yang memerlukan lesen dan kebenaran khas daripada pihak berwajib" katanya.


SALAH seorang peserta yang sedia utk diterbangkan. - Foto Farhany Rahman

INFO

BUKIT JUGRA

* Di buka pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad yang memerintah negeri Selangor dari tahun 1859-1898

* Tempat strategik kerana berhampiran dengan laut, menghadap perairan Selat Melaka

* Bukit Jugra berasal dari sebuah perkampungan kecil Melayu yang bernama Tanjung Kera.

INFO : PARAGLIDING

* Warganegara RM300 (pagi) RM400 (matahari terbenam)

* Pakaian yang sesuai dan kasut sukan

* Disertakan bersama gambar dan video penerbangan

* Sihat tubuh badan

* Berat badan individu tidak melebihi 200 kilogram

426 dibaca
Berita Harian X