Sabtu, 12 Mei 2018 | 10:27am

Kuatkan otot, tingkatkan stamina

PERGERAKAN badan dengan cara mendaki, memanjat dan menurun bukit aktiviti terbaik bagi meningkatkan stamina badan serta merehatkan minda.

Menyedari gaya hidup sihat itu juga membantu meningkatkan ketahanan otot dan menguatkan bahagian kaki, lantas aktiviti itu semakin digilai ramai.

Mana tidaknya, banyak bukit dan gunung yang ada di sekitar Lembah Klang antaranya Bukit Broga di Semenyih; Bukti Melati, Nilai; Gunung Nuang, Hulu Langat dan Bukit Tabur, Taman Melawati menjadi tumpuan orang ramai beriadah bagi tujuan terbabit.

Tidak terkecuali Hutan Pendidikan Bukit Gasing yang terletak di Petaling Jaya. Keluasan sekitar 52 hektar dengan ketinggian kira-kira 164 meter ini juga antara lokasi pilihan pelbagai peringkat usia melakukan aktiviti sihat serta kecerdasan tubuh.

Bukit diselaputi hutan tropika ini dikelilingi taman perumahan ini tidak pernah sunyi terutama pada awal pagi. Malah, setiap kali menjelang hujung minggu, bukit ini mula dimasuki pencinta alam semula jadi seawal jam 4 pagi hingga menjadi sesak.

Cabaran langsing badan

Hutan tropika sebegini, biasanya mengawal kebanyakan kitaran nutrien, air dan mengawal kestabilan iklim. Mengandungi biodiversiti, hutan tropika bertindak sebagai penyerap bunyi dan membantu memerangkap debu di atmosfera.

Biarpun Bukit Gasing tidak setinggi mana tetapi trek laluannya yang berliku dan curam sangat mencabar terutama individu yang ingin berjinak-jinak dalam dunia 'hiking'.

Terdapat tiga laluan yang boleh dipilih bergantung tahap keupayaan masing-masing. Ada laluan yang mencabar, ada juga yang mudah.

Program kecergasan dan gaya hidup sihat, Slim & Fit musim ke-lima dari cawangan Shah Alam memilih Bukit Gasing untuk melaksanakan aktiviti membabitkan lebih 30 peserta bagi menyahut cabaran itu.

Menguatkan kaki

Jurulatih kecergasan, Nur Aquilah Hani Mohd Yunus, berkata menerusi pergerakan badan mendaki, memanjat dan menurun bukit membantu menguatkan bahagian kaki.

"Tidak hanya tertumpu aktiviti di gimnasium saja, latihan kecergasan dengan cara hiking dapat meningkatkan kapasiti kardiovaskular dan stamina badan peserta.

Ia juga menyasarkan pengukuhan otot dan membina kekuatan selain meningkatkan pergerakan atletik dan membantu penurunan berat badan.

"Mendaki ke puncak bukit secara tidak langsung membantu peserta mendekatkan diri dengan alam semula jadi dan meluaskan pemandangan sebaik sampai ke puncak," katanya yang mengendalikan program selama enam minggu ini khusus untuk wanita.

Tak sakit lutut lagi

Seorang peserta Slim&Fit, Mashitah Ghazali, 42, menjadikan aktiviti memanjat bukit bersama keluarganya sebagai rutin mingguan bagi mengelak anak-anaknya bermain alat peranti di rumah.

Katanya, jika sebelum ini mereka kerap memerap di rumah, perubahan ketara dalam keluarganya dapat dilihat jelas selepas beriadah dan mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

"Aktiviti riadah mendaki bukit memang mengubah gaya hidup keluarga saya. Kami rasa lebih sihat dan dapat merehatkan minda.

"Penerokaan alam sekitar di sana terutama pada waktu pagi amat menyegarkan. Alhamdulillah, kami berjaya mengubah 50 peratus cara hidup sihat dengan cara ini," katanya.

Sebelum aktif memanjat bukit, Mashitah yang pernah membuat pembedahan lutut sebanyak dua kali sering mengalami keletihan setiap kali memasak di dapur.

"Saya cepat letih walaupun hanya memasak sekejap di dapur. Selepas mengamalkan gaya hidup sihat, saya tidak lagi sakit-sakit pada badan malah berasa cergas dan bertahan hingga jam 11 malam," katanya.

Info: Kebaikan beriadah menaiki bukit

  • Meningkatkan stamina badan
  • Merehatkan minda
  • Meningkatkan ketahanan dan pengukuhan otot
  • Menguatkan bahagian kaki
  • Kecerdasan tubuh secara menyeluruh
  • Meningkatkan kapasiti kardiovaskular
  • Membina kekuatan dan meningkatkan pergerakan atletik
  • Membantu penurunan berat badan.
  • Mendekatkan diri dengan alam semula jadi
  • Meluaskan pemandangan sebaik
  • Menjadikan diri lebih berdisiplin
  • Dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi dan asma
  • Menghirup udara segar
  • Merasa lebih rendah hati apabila sampai di puncak menikmati pemandangan dan kebesaran Allah
  • Merapatkan hubungan dalam kekeluargaan dan mengubah gaya hidup lebih sihat
  • Mendapat kenalan baru
  • Meningkatkan kapasitas kerja jantung dan paru-paru
  • Menambah ilmu pengetahuan mengenai alam dan tumbuhan yang hidup di sekitar bukit
  • Membentuk mental dan fikiran yang kuat dan sihat.
256 dibaca
Berita Harian X