Rabu, 20 Disember 2017 | 11:12pm
FAKARUDIN dan isterinya, Noraini menghabiskan masa lapang dengan menjaga kucing yang hampir semuanya adalah kucing jalanan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
NORAINI memberi makanan kepada kucing yang dipelihara. - Foto Muhd Asyraf Sawal
FAKARUDIN dan isterinya, Noraini melihat buku kucing. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Satu keluarga minat kucing

KUANTAN: Minat memelihara dan sayang pada haiwan mendorong seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjaga 24 kucing jalanan di kediamannya, dekat sini.

Minat Fakaruddin Pilus, 59, kepada haiwan itu turut dikongsi isterinya, Noraini Ali, 55, dan dua anak lelaki mereka, Mohd Farid , 29, bekerja di syarikat swasta di  Johor Bahru dan Mohd Naqiuddin, 27, yang bertugas di TUDM Butterworth, Pulau Pinang.

Fakarudin yang mula memelihara dan menjaga kucing sejak 24 tahun lalu berkata, mereka banyak menghabiskan masa lapang dengan menjaga kucing yang hampir semuanya adalah kucing jalanan.

"Saya mula memelihara kucing pada 1993 dan ketika itu cuma seekor anak kucing betina yang dijaga. Selepas itu, lebih banyak kucing yang datang ke rumah dan tidak kurang juga yang diberi oleh jiran.

"Setakat ini, kami bela 24 ekor kucing yang kebanyakan baka kampung tapi ada juga baka siam, tempatan, parsi dan 'semi long hair'.

"Setiap kucing yang datang ke rumah ini akan terus dibawa ke klinik dan akhirnya kekal tinggal bersama kami," katanya ketika ditemui di kediamannya di Permatang Badak, dekat sini.

Beliau juga mengeluarkan modal sendiri kira-kira RM20,000 bagi menyediakan bilik kucing khas bagi memberi keselesaan kepada semua haiwan peliharaannya itu serta memastikan kebersihan tempat berkenaan sentiasa terjaga.

Katanya, beliau dan isteri serta dua anak lelakinya akan membersihkan bilik itu dan memberi makan kepada kucing sebanyak tiga kali sehari dan rutin itu bermula seawal jam 5 pagi setiap hari.


FAKARUDIN dan isterinya, Noraini bermain dengan kucing di rumahnya dekat Bukit Rangin, Permatang Badak. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Setiap hari kami melakukan rutin sama bagi memastikan mereka cukup makan dan selesa di dalam sangkar kerana tidak semua daripada kucing ini sihat sebaliknya ada yang berpenyakit seperti demam, selsema  serta tidak mampu berjalan dan akan berada dalam sangkar sahaja.

"Kucing adalah haiwan yang memiliki sifat sensitif, manja dan aktif. Ini menyebabkan ia perlu dijaga dengan baik terutama membabitkan makanan dan kebajikannya," katanya yang menyediakan kira-kira RM2,000 sebulan demi memenuhi keperluan minatnya itu.

Fakaruddin berkata, perbelanjaan itu termasuk kos makanan sebanyak 36 kilogram sebulan, rawatan kesihatan seperti vaksin, ubat cacing dan kutu serta vitamin tambahan yang diberikan kepada semua haiwan peliharaannya itu.

Beliau yang sudah 34 tahun berkhidmat sebagai anggota TUDM sebelum ini mengakui minat memelihara kucing itu mampu menjadi pengubat sunyi dan menghilangkan bosan selepas bersara.

"Jika sebelum ini sibuk dengan tugasan sebagai tentera, sekarang saya gembira berehat di rumah dan menghabiskan masa terluang bermain dengan kucing peliharaan. Ia boleh dikatakan terapi yang menenangkan fikiran.

"Bagaimanapun, menjaga kucing yang banyak cabarannya, terutama apabila kucing tidak pulang ke rumah dan bimbang jika haiwan ini mengganggu ketenteraman jiran. Namun, setakat ini, tiada lagi aduan atau komen negatif mengenai gangguan daripada kucing kami daripada jiran," katanya.


FAKARUDIN dan isterinya, Noraini menunjukkan kucing yang dipelihara. - Foto Muhd Asyraf Sawal

INFO
Kucing:

  • Bunyi 'purr' pada kucing mampu membantu menghilangkan tekanan kepada manusia.
  • Kucing boleh menelan dan mencerna makanan tanpa perlu mengunyah.
  • Waktu tidur kucing 12-16 jam sehari.
  • Kucing akan lebih aktif di sebelah petang.
  • Kucing boleh melompat sehingga enam kali ketinggiannya.
  • Kucing mempunyai deria pendengaran tiga kali lebih tajam berbanding manusia.
Berita Harian X