Ahad, 1 Oktober 2017 | 7:01am
WATAK popular Smurf, Papa Smurf (kanan) dan Vanity Smurf bergambar bersama pengunjung di The Smurfs Partyland ketika sesi bertemu peminat. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
- Foto Nur Adibah Ahmad Izam
TAMAN tema animasi terkenal dunia jadi tarikan baharu pelancong. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

The Smurfs, BoBoiBoy serlah keseronokan taman tema animasi di Ipoh

SEMUA karakter The Smurfs dibawa secara langsung, bertemu peminat di taman tema animasi pertama di Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak!

Papa Smurf yang berjambang dan berseluar merah, terkenal dalam kalangan kanak-kanak sebagai ketua Kampung Smurf, selain Vanity Smurf apabila tidak pernah berenggang dengan cermin mukanya dan keletah Baker Smurf pasti mencuit hati apabila dia sentiasa memegang sebiji kek.

Begitu juga dengan Smurfette, satu-satunya Smurf perempuan berambut panjang dan perang sentiasa menjadi perhatian dalam kalangan karakter lain seperti Brainy Smurf, Clumsy Smurf, Greedy Smurf, Jokey Smurf, Hefty Smurf dan Grouchy Smurf bagi menambat hati serta perasaannya.

Semua karakter animasi terkenal dunia ini boleh ditemui di bawah satu bumbung di kawasan permainan dikenali sebagai The Smurfs Partyland.


KARAKTER BoBoiBoy bersama rakan-rakannya - Yaya, Ying, Gopal dan Fang. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Temui secara langsung BoBoiBoy

Selain The Smurf, siri animasi tempatan, karakter BoBoiBoy bersama rakan-rakannya - Yaya, Ying, Gopal dan Fang turut membuat pertemuan 'live' bertemu peminat di kawasan permainan mereka dikenali The Home of BoBoiBoy.

Ia turut menempatkan BoBoiBoy Hero Academy dan Tok Aba Kokotiam, semuanya sinonim dengan siri animasi yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa menerusi saluran Disney Channel Asia ini.

Yang pasti taman tema yang menampilkan Animation Square Zone, Dream Zone, Blast Off Zone, Live Action Zone, Lakeside Zone dan Fantasy Forest Zone bersama karakter siri animasi antarabangsa antaranya Mr Peabody & Sherman, Casper The Friendly Ghost, Megamind dan The Croods.


- Foto Nur Adibah Ahmad Izam


SEBAHAGIAN daripada tarikan dan permainan yang berjaya menambat hati orang ramai. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Wujud persaingan sihat

Kesemuanya itu menjanjikan keseronokan berganda apabila MAPS adalah satu-satunya di Asia berjaya mengumpulkan hampir kesemua karakter siri animasi televisyen berjenama global di bawah satu bumbung!

Penulis yakin, taman tema terletak di bandar baharu dikenali New Heartbeat of Ipoh (Denyut Nadi Baharu Ipoh) bakal menjadi destinasi tarikan pelancongan utama di Perak.

Ahli Lembaga Pengarah MAPS, Ramelle Ramli menegaskan, taman tema di bahagian tengah Perak ini menawarkan tarikan dan pendekatan berbeza berbanding Universal Studio Singapura (USS) dan Taman Tema Genting Highlands.

"MAPS akan memberi saingan hebat kepada kedua-dua taman tema itu.

"Kedudukan kami agak jauh dari kedua-dua taman tema berkenaan dilihat sebagai satu persaingan sihat apabila ia memberi lebih pilihan kepada pelancong mencari kelainan ketika berhibur," katanya.


- Foto Nur Adibah Ahmad Izam

INFO

  • MAPS terletak di Bandar Meru Raya di bahagian utara Ipoh, Perak. Layari www.mapsperak.com untuk maklumat lanjut.
  • Bandar Meru Raya dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
  • Bulatan Amanjaya di bandar baharu itu seluas 7.3 hektar adalah bulatan terbesar negeri Perak.
  • Kartunis Belgium, Pierre Culliford atau Peyo memperkenalkan The Smurfs ke seluruh dunia pada tahun 1958.
680 dibaca
Berita Harian X