Isnin, 18 September 2017 | 10:02pm
MOHAMAD Zulfikar (kiri) berkongsi minat mengumpul koleksi Hot Wheels bersama anaknya Muhammad Adli Iftiqar di Bukit Beruntung. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Hot Wheels erat hubungan keluarga

KASIH sayang bapa dan anak lelaki membibitkan nostalgia yang sukar digambarkan ketika anak dalam peringkat usia kecil.

Bagaimanapun, bukan semua ayah tahu cara terbaik menunjukkan kasih sayang.

Berbanding ibu yang lebih mudah memperlihatkan kasih sayang mereka menerusi sentuhan, percakapan dan perlakuan romantik seperti pelukan dan ciuman, ayah biasanya lebih bersikap menyayangi anak secara senyap tanpa perbuatan

Biasanya, semakin meningkat usia anak lelaki semakin sukar ayah menonjolkan kasih sayang pada mereka.

Justeru, ahli perniagaan, Mohamad Zulfikar Mohamed, cuba menampilkan kelainan dalam sisi hubungan kekeluargaan dengan merapatkan hubungan bapa dan anak menerusi hobi mengumpul kereta mainan, Hot Wheels sejak 2012 lalu.


MOHAMAD Zulfikar (kiri) dan anaknya Muhammad Adli Iftiqar menunjukkan koleksi Hot Wheels mereka. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sedia bilik khas untuk anak

Melangkah masuk ke rumahnya di Bukit Beruntung, Rawang, lebih 4,000 koleksi permainan kereta dari jenama terkenal itu disusun rapi di dalam sebuah bilik khas, umpama bilik pameran permainan di pusat beli-belah.

Sebenarnya, ia adalah bilik khas yang disediakan Mohamad Zulfikar kepada anak sulung lelakinya, Muhammad Adli Iftiqar, 9, sejak anaknya kecil.

"Saya serius mengumpul koleksi kereta ini apabila anak lelaki sulung menunjukkan minat terhadap mainan jenis ini.

"Hasil hobi bersama anak lelaki ini, saya kini mempunyai sebanyak 3,300 Hot Wheels dalam pelbagai bentuk dan ada yang ditempah, eksklusif dan direka khas," katanya.

Antara koleksi kegemaran beliau dan anak ialah kereta jenis Camaro, Wolkswagen, BMW, Porsche dan Mercedes.


MUHAMMAD Adli Iftiqar mengubahsuai koleksi Hot wheelsnya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

MINAT dua beranak, Mohamad Zulfikar dan anaknya Muhammad Adli Iftiqar mengumpul koleksi Hot Wheels. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ajar anak sayang barang

Lebih mengejutkan, walaupun baru berusia sembilan tahun, Muhammad Adli sudah pandai menyayangi dan menghargai koleksi kereta itu jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain seusianya.

Kata Mohamad Zulfikar, sebagai bapa, sejak usia kecil beliau sudah mendidik dan menanamkan sifat menghargai walaupun apa saja barang.

"Gunakan pendekatan berhemah. Marah atau menengking anak untuk mengemas barang permainan mereka adalah usaha yang sia-sia.

"Saya lebih selesa mendidik anak dengan cara berhemah. Tunjuk ajar mereka cara untuk susun barang mainan.

"Bagi ibu bapa yang mahu menyimpan sesuatu barang permainan sebagai koleksi, mereka mungkin boleh gunakan cara saya iaitu mengasingkan mana mainan yang mereka boleh main dan mainan yang dijadikan koleksi. Terangkan dan beri anak faham walaupun usia muda," katanya.

Beliau berkata, alah bisa tegal biasa. Anak jika diterapkan amalan baik ketika usia kecil, mereka akan menjadikan ia sebagai rujukan sehingga dewasa.


SEBAHAGIAN koleksi Hot Wheels milik Mohamad Zulfikar dan anaknya Muhammad Adli Iftiqar. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Pilih mainan serasi anak

Beliau berkata, kenapa beliau memilih kenderaan sebagai koleksi bersama anak kerana mengetahui, anak lelaki selalu sukakan sesuatu yang unik dan mencabar.

Sama seperti koleksi itu, ia bukan tugas mudah untuk mendapatkan koleksi 'panas' dan memberi cabaran kepada dua beranak ini untuk mendapatkannya.

"Di sini, bapa perlu bijak memainkan peranan merapatkan hubungan. Cari sesuatu aktiviti, hobi atau paling tidak perbualan yang disukai anak.

"Ia membantu anak meluahkan perasaan, berkongsi cerita dan menganggap kita umpama kawan serta bukan sekadar bapa mereka," katanya.

Beliau berkata, jenama kereta itu sememangnya terkenal membuatkan anak lelakinya begitu teruja menjadikan ia koleksi kesayangan.

"Lagipun, harga mampu milik dan mudah didapati di pasaran dan koleksi seperti ini sesuai dengan jiwa anak lelaki," katanya.


ANTARA koleksi Hot Wheels milik Mohamad Zulfikar (kiri) dan anaknya Muhammad Adli Iftiqar. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kongsi hobi, erat kasih sayang

Beliau berkata, antara kebaikan hobi ini sebagai pengerat hubungan kekeluargaan apabila mereka sekeluarga bersantai pada hujung minggu dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama.

"Saya jadikan ia aktiviti santai dengan menyusun, membelek model kereta dan menambah idea baharu seperti mereka bentuk bangunan kecil dicipta khas untuk kenderaan. Ia perkongsian yang cukup bermanfaat kepada hubungan.

"Kami akan membawa koleksi ini untuk bersama berjumpa dengan pengumpul koleksi sama. Ia membuka peluang untuk menambah kemahiran sosial anak dengan orang lain," katanya.

Beliau berkata, individu perlu kreatif menarik perhatian anak dan melakukan perkara yang membawa manfaat bersama.

Panduan rapatkan hubungan

  • Komunikasi dengan cara berhemah
  • Kekerasan hanya membuatkan anak menjauhkan diri
  • Sebagai ibu, berikan peluang anak menyuarakan suara hati
  • Elakkan memukul anak tanpa sebab
  • Ibu bapa yang baik sentiasa menunjukkan teladan yang baik

Berita Harian X