Ahad, 17 September 2017 | 11:21pm
AHMAD Juki, 71 menunjukkan sebahagian peralatan yang digunakannya. - Foto Khalid Latip
AHMAD Juki, 71 menjadi pilihan pelanggan pelbagai latar belakang dan kaum. - Foto Khalid Latip

'Barber Salon' bawah pokok, tarik perhatian di Bintangor

BINTANGOR:Dia bukan artis popular. Namun, kalangan penduduk daerah ini, nama Anjang Mat memang cukup dikenali sebagai tukang gunting rambut yang menjalankan perniagaannya di bawah pokok.

Boleh dikatakan sesiapa sahaja yang berkunjung ke pekan Bintangor yang terletak antara Sarikei dan Sibu pasti akan terpandang kelibat Anjang Mat atau nama sebenarnya, Ahmad Juki, 71, yang berasal dari Kampung Bidadari, di sini.

Meskipun usianya sudah melewati separuh abad, Anjang Mat masih gagah meneruskan khidmatnya sebagai tukang gunting rambut dengan saban hari duduk di bawah sebatang pokok berdaun rendang berhampiran jeti Sungai Sian, setia menunggu pelanggannya.

"Pokok ini sahabat setia saya dan di sinilah tempat saya mencari rezeki hampir setiap hari. Saya membuat kerja halal dan tidak menyusahkan sesiapa pun, tambahan pula ramai pelanggan tetap saya sudah mengenali tempat ini, " katanya kepada BH Plus.

Menurut Anjang Mat, beliau pernah dinasihatkan oleh pihak tertentu supaya berpindah ke tempat lain yang jauh lebih selesa, namun beliau enggan berbuat demikian kerana sudah biasa berniaga di bawah pokok itu.

Malah katanya, ada yang sanggup menawarkannya pekerjaan dengan imbuhan gaji tetap setiap bulan, tetapi dia kurang selesa dan lebih senang mencari rezeki dengan caranya sendiri.


PELANGGAN tidak hanya veteran tetapi juga golongan remaja. - Foto Khalid Latip

"Menggunting rambut di bawah pokok ini memang nampak mudah dan ringkas. Saya hanya menunggu pelanggan dan saya juga tidak perlu membayar sewa. Namun cabarannya tetap ada kerana jika hujan dan cuaca buruk saya tidak boleh cari makan.

"Saya tidak kisah sangat pasal bayaran. Ada yang membayar RM3 dan ada juga menghulurkan RM5.00 selepas mendapat perkhidmatan saya. Saya melakukan kerja ini dengan harapan, janji pelanggan puas hati," katanya.

Anjang Mat mengakui, minatnya terhadap bidang itu bermula sejak berusia 12 tahun apabila dia mula menggunting rambut rakan-rakan sekampung walaupun tidak menerima sebarang latihan formal pada masa itu.

Bermula daripada 'uji kaji' rambut kawan, dia  kemudiannya memberanikan diri menggunting rambut orang yang lebih dewasa sebelum menjadikannya sebagai sumber pendapatan tetap.

"Pada waktu pagi saya ke sekolah dan petangnya pula saya menggunting rambut orang. Walaupun sudah lama buat kerja ini, saya tidak kecil hati jika ada pelanggan menegur hasil kerja saya dan saya terima teguran itu dengan hati terbuka.


HASIL kerja Ahmad Juki mendapat pujian ramai biarpun tidak menggunakan peralatan gunting moden. - Foto Khalid Latip

"Saya tidak lagi segagah dulu. Apa yang penting ialah sokongan keluarga dan rakan-rakan kerana itulah pembakar semangat saya untuk meneruskan pekerjaan ini.

"Saya tidak berhasrat untuk berhenti dan tetap melakukannya selagi kudrat masih terdaya dan nasihat saya kepada anak-anak muda, jangan malu mencari rezeki dan janganlah mudah berputus asa.  Mereka perlu yakin pada bakat dan kebolehan masing-masing, " katanya.

Sementara itu, sikap Anjang Mat yang lebih gemar merendah diri membuatkan pelanggan selesa ketika menggunting rambut. Tidak hairanlah jika khidmatnya masih diperlukan hingga ke hari ini.

Salah seorang pelanggan tetapnya, Awang Jemat Mohidden, 35, mengakui  gemar mendapatkan khidmat Anjang Mat untuk menggunting rambutnya sejak beliau diusia remaja lagi.

"Walaupun banyak kedai gunting rambut di Bintangor, Anjang Mat tetap menjadi pilihan saya kerana beliau pandai mengambil hati pelanggan. Kadar bayaran yang dikenakan pula amat berpatutan berbanding kedai gunting rambut lain.

"Saya selalu gunting rambut di  sini dengan bayaran hanya RM5.  Memang berbaloi dan kualiti perkhidmatannya juga tidak jauh beza dengan kedai gunting moden," katanya.


AHMAD Juki, 71 menggunting rambut seorang pelanggan sementara yang lain sedang menunggu giliran. - Foto Khalid Latip

Berita Harian X