Sabtu, 5 Ogos 2017 | 9:00am
PEMANDANGAN dari bawah Menara Berkembar PETRONAS - Foto Zunnur Al Shafiq

Panorama indah dari Skybridge KLCC

Menara Berkembar PETRONAS sudah dikenali seantero dunia dan menjadi sebahagian daripada mercu tanda Malaysia, sekali gus menobatkan negara kita cukup terkenal di persada antarabangsa.

Dua menara ini dihubungkan oleh jejantas udara menjadi tarikan pengunjung apabila bertandang ke Menara Berkembar PETRONAS. Pastinya ramai yang teruja untuk melintasi jejantas udara dikenali sebagai The Skybridge KLCC ini, seterusnya melihat panorama kota raya Kuala Lumpur dari tingkat 41 menara berkenaan.

Tapi, penulis tertanya-tanya juga, hendak naik dari mana? Bukan saja penulis, kemungkinan besar ramai yang teringin untuk merasai pengalaman berada di jejantas udara yang menghubungkan dua menara kebangsaan rakyat Malaysia ini.

Penunjuk arah kurang jelas

Sebaik saja melangkah ke pusat beli-belah KLCC, penulis puas mencari papan tanda arah menuju ke The Skybridge. Akhirnya pengawal keselamatan memaklumkan jika ingin naik ke jejantas udara KLCC, pengunjung perlu ke Aras Concourse, Menara Berkembar PETRONAS berdekatan atau terletak berhadapan kaunter jualan tiket box office di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).


ANGGOTA APM membantu penduduk yang terjejas akibat banjir di Kota Belud susulan hujan lebat petang tadi. - Foto Ihsan APM Sabah

Pun begitu, ada apa di jejantas udara atau Skybridge KLCC, cantik ke pemandangan dari atas sana? Itu persoalan di fikiran penulis yang tidak pernah ke The Skybridge walaupun lebih 20 tahun Menara Berkembar PETRONAS siap dibina. Burj Khalifa di Dubai sudah diterokai, malah ada rakan setugas tidak menghadapi masalah untuk naik ke pelantar pemerhati di Menara 101 Taipei di Taiwan.

Panorama KL menakjubkan

Sebaik saja penulis menjejakkan kaki di The Skybridge, perasaan bangga dan teruja bercampur baur. Sememangnya, ia tidak sesuai untuk mereka yang gayat atau fobia berada di tempat tinggi. Bagaimanapun, dari aras ini, pemandangan bandar raya Kuala Lumpur daripada sudut 360 darjah begitu mempesona dan menakjubkan!

Tingkap jejantas udara yang diperbuat daripada kanta pembesar atau magnifying glass menjadikan semua objek yang berada di bawah seolah-olah dekat dengan anda, puas melihat panorama bangunan pencakar langit lain dan kehijauan taman di sekelilingnya.

Dua pelancong dari Ireland, iaitu John O'Connor dan isterinya, Emer mengakui sudah dua kali mereka berkunjung ke Skybridge.

"Kami suka Malaysia, lebih-lebih lagi kota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur. Apabila berkunjung ke KL, kami pasti berkunjung ke Skybridge dan ini lawatan kali kedua, pemandangan dari sini mempesona, kami benar-benar jatuh cinta dengan Kuala Lumpur!

Aktiviti wajib apabila berada di jejantas udara ini adalah berselfie.

"Pulang ke Ireland nanti, kami tunjuk kepada kawan-kawan panorama yang indah ini," kata John sebaik selesai selfie bersama isterinya.


ANGGOTA PPM Kota Kinabalu mengangkat mayat mangsa yang ditemui terapung di perairan berhampiran Pelabuhan Kota Kinabalu. Foto ihsan PDRM

Hanya dibenarkan 15 minit

Bagi pengunjung yang berminat untuk meneroka dan merasai pengalaman berada di The Skybridge, anda hanya dibenarkan berada di sini untuk tempoh masa 15 minit saja sebelum dibawa naik ke lantai 86 yang terletak di ketinggian 370 meter. Di tingkat 86 ini, menempatkan pelantar pemandangan bagi menyaksikan panorama lebih menakjubkan! Pengunjung akan berada di situ untuk tempoh masa 15 minit lagi.

Sebagai maklumat tambahan, Skybridge tidak sepenuhnya 'melekat' pada Menara 1 dan Menara 2, sebaliknya ada jurang atau ruang sebanyak 25.4 sentimeter yang memisahkannya daripada struktur utama. Jejantas udara berkenaan mampu bertahan, tidak akan retak atau patah sehingga kelajuan maksimum angin 160 kilometer sejam!

FAKTA NOMBOR

  • 452 meter ketinggian Menara Berkembar PETRONAS di atas paras bumi
  •  

  • 88 tingkat bilangan aras atau lantai
  •  

  • 170 meter ketinggian Skybridge di atas paras bumi
  •  

  • 58.4 meter panjang Skybridge menghubungkan Menara 1 dan Menara 2
  •  

  • 1,440 Purata pengunjung sehari

INFO

  • Menara Berkembar PETRONAS menjadi bangunan tertinggi di dunia sehingga tahun 2004 sebelum diatasi oleh Burj Khalifa di Dubai dengan ketinggian 828 meter.
  •  

  • Direka oleh arkitek dari Argentina, Cesar Pelli, siap sepenuhnya pada tahun 1998 dan diinspirasikan daripada gabungan nilai estetika reka bentuk Timur dan Barat, memaparkan seni jalinan keluli serta kaca.
  •  

  • The Skybridge adalah jejantas udara dua tingkat atau The double-decked Skybridge terletak di tingkat 41 yang dikhususkan kepada pelancong. Manakala tingkat 42 dikhaskan untuk laluan kaki tangan, selain tetamu VIP.
  •  

  • Lawatan ke Skybridge dibuka setiap hari (kecuali Isnin) dari jam 9 pagi hingga 9 malam. Tiket boleh diperoleh di Aras Concourse, Menara Berkembar PETRONAS. Harga tiket dewasa RM30 (MyKad)/RM85 (tanpa MyKad), RM15 (kanak-kanak/MyKad)/RM35 (tanpa MyKad) dan RM15 (warga emas/MyKad)/RM45 (tanpa MyKad).
  •  

  • Jualan tiket adalah terhad. Hubungi 03 2331 8080 untuk maklumat lanjut atau layari www.petronastwintowers.com.my untuk tempahan tiket secara dalam talian.

879 dibaca
Berita Harian X