Sabtu, 15 September 2018 | 12:56pm

Telinga dengung jejas pendengaran

TELINGA rasa tersumbat, berdengung dan seakan-akan dipenuhi air sepanjang masa, cukup membuatkan pesara syarikat swasta, Sabran Bokhri, 67, serba tidak kena.

Sabran yang ketika itu berusia lewat 40-an, cuba mengorek telinganya tetapi tiada sebarang cecair melekat pada putik kapas.

Telinganya ternyata bersih tetapi semakin hari, pendengarannya semakin kurang jelas, malah sukar memahami apa yang diperkatakan orang lain ketika berbual.

Beliau cuba melakukan teknik menutup hidung dan menelan air liur (valsalva manouvre) tetapi ternyata keadaan yang dialaminya itu masih tidak berubah.

Gegendang telinga ditebuk

Keadaan itu membuatkan Sabran tertekan kerana tidak dapat mendengar dengan jelas dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi sehingga suatu hari beliau menceritakan kepada doktor yang merawatnya untuk penyakit kencing manis.

Kemudian, Sabran dirujuk kepada Pakar Perunding Kanan dan Ketua Jabatan Ortolaringologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz/Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM/PPUKM), Prof Dr Asma Abdullah yang kemudiannya mengesahkan keadaan itu berpunca daripada masalah tiub Eustachian di dalam telinga tidak berfungsi (ETD).

Tidak pernah mengetahui mengenai ETD, mengundang rasa takut Sabran, apatah lagi apabila dimaklumkan doktor, beliau perlu menjalani pembedahan ‘myringotomi’.

Gegendang telinganya akan ditebuk dan diletakkan satu tiub kecil di dalamnya untuk melegakan tekanan akibat takungan air di dalamnya.

Terdedah bunyi terlalu kuat

Empat bulan doktor memujuk Sabran menjalani pembedahan berkenaan sebelum beliau akhirnya bersetuju.

“Sebelum ini, saya puas memikirkan apakah punca telinga jadi begini sehingga suatu hari, saya menyertai kursus keselamatan di tempat kerja dan menyedari puncanya adalah bunyi di dalam kilang memproses makanan tempat bekerja yang memang cukup bising.

“Ketika remaja saya gemar mendengar muzik dengan kuat menerusi pembesar suara. Mungkin ini antara punca telinga mengalami kerosakan,” katanya.

Sayangnya teknik ‘myringotomi’ tidak bertahan lama apabila telinganya kembali tersumbat dan tiub kecil berkenaan hilang tanpa dikesan yang berkemungkinan akibat tertelan tanpa disedari atau tercicir ketika mandi.

Pelbagai teknik rawatan

Sejak kejadian itu, pelbagai teknik rawatan digunakan untuk mengatasi masalah dihadapinya termasuk menggunakan alat bantuan pendengaran di kedua-dua belah telinga kerana pendengarannya sudah di peringkat teruk.

Malangnya, alat berkenaan hanya bertahan lapan bulan apabila telinganya bernanah sehingga terpaksa disedut dan dicuci manakala alat berkenaan pula didapati berkulat.

Bagi menggantikannya, Sabran disarankan menggunakan sejenis alat yang disumbat di dalam telinga bagi membantu masalah pendengarannya yang bertahan selama empat tahun.

Harapannya untuk menjalani hidup normal menjadi kenyataan apabila Dr Asma menawarkan pembedahan terbaharu iaitu mengembangkan tiub eustasian menggunakan belon yang lebih berkesan dalam jangka masa panjang.

Pesakit pertama di bedah

Sabran menjalani pembedahan pada 9 Ogos lalu, menjadikan beliau pesakit pertama yang menjalani pembedahan berkenaan di HCTM/PPUKM.

Dr Asma berkata, bagaimanapun terdapat risiko kecil akibat prosedur pembedahan ini, antaranya hidung berdarah, jangkitan pada telinga dalam masa dua minggu pertama selepas prosedur.

“Risiko sangat kecil lain yang boleh berlaku ialah hujung kateter yang digunakan semasa prosedur akan menusuk bahagian saluran yang boleh mengakibatkan perdarahan,” katanya.

Info

*Apakah ETD:

- Tiub eustasian tersumbat atau tidak terbuka dengan sempurna menyebabkan udara tidak boleh memasuki telinga tengah.

- Tekanan di bahagian luar gegendang menjadi lebih tinggi berbanding di bahagian dalam gegendang.

- Keadaan itu biasanya terjadi ketika selesema, alahan atau jangkitan sinus.

* Punca ETD:

* Terdedah kepada bunyi kuat berulang kali

* Menggunakan fon kepala pada tempoh lama

* Usia melebihi 60 tahun

* Masalah degenerasi (sel-sel di dalam telinga mati)

* Fungsi tiub Eustasian:

- Menghubungkan telinga bahagian tengah ke bahagian belakang tengkorok.

- Ketika menelan atau menguap, saluran ini terbuka sebentar untuk membiarkan udara masuk, seterusnya tekanan di dalam telinga tengah dan luar telinga menjadi sama.

* Gejala ETD:

- Telinga seakan tersumbat

- Pendengaran kurang jelas

- Rasa ada letupan dalam telinga (ketika menelan atau menguap)

- Sakit pada kedua belah telinga

- Bunyi berdengung pada telinga (dikenali sebagai tinnitus)

- Kadang-kala sukar mengimbangkan badan

- Gejala lebih teruk apabila menaiki kapal terbang, lif, mendaki bukit atau menyelam.

* Mungkin penghidap ETD sekiranya gejala berterusan lebih 12 minggu.

584 dibaca
Berita Harian X