Sabtu, 8 September 2018 | 12:34pm
Citra Dewi dan Kamala. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Sakit kanser umpama 'sapaan maut'

Pekerja swasta, Citra Dewi tidak kisah sekiranya beliau dianggap tidak sempurna selepas puting payudara dibuang gara-gara kanser yang dikesan dua tahun lalu.

Sebaik disahkan mengalami barah payudara, wanita yang berasal dari Bandung, Indonesia itu akur akan nasihat doktor untuk menjalani pembedahan berkenaan.

Apa yang difikirkan hanya ingin hidup lebih lama demi anak perempuannya yang ketika itu berusia lima tahun.

Citra Dewi, 46, berkata beliau mengesan ketulan kecil di bawah puting pada payudara sebelah kanannya selain bentuk puting tertarik ke dalam sedikit pada 18 Disember 2016.

Bimbang dengan perubahan itu, keesokannya Citra terus ke hospital menjalani pelbagai pemeriksaan termasuk mamogram dan biopsi.

“Apa yang ditakutkan menjadi kenyataan apabila doktor mengesahkan saya mengalami barah dan berada pada tahap dua.

“Saya bersetuju ketulan itu dibuang walaupun pembedahan bakal mencacatkan payudara, malah tidak bimbang sekiranya payudara dibuang,” katanya.

Kakitangan swasta itu berkata, beliau menjalani pembedahan pada 20 Disember 2016 dan berjuang menjalani rawatan kemoterapi tiga kali seminggu, enam kitaran bermula Februari sehingga Jun pada tahun sama.

Selepas kemoterapi, terus menjalani radioterapi setiap hari sebanyak 15 kitaran selama tiga minggu.

Katanya, kesan kemoterapi tidak dapat dielakkan kerana bukan saja membunuh sel barah tetapi sel sihat lain.

Perlahan-lahan kesannya mula dirasai apabila rambutnya gugur selain mengalami sakit tulang dan sendi tetapi Citra Dewi tetap bersyukur kerana berjaya melawan barah.

Terbaharu, beliau menjalani pembedahan pembinaan semula puting payudara tiruan menerusi pengambilan daging pada belakang badannya yang dijalankan oleh doktor dari Thailand dengan kerjasama pakar di Hospital Selayang.

Walaupun mengakui tidak memerlukannya, Citra Dewi akur dengan nasihat doktor.

“Saya bersyukur kerana berjaya mengesan barah pada peringkat awal selepas mengamalkan pemeriksaan sendiri payudara setiap minggu selepas haid.

“Sehingga kini, saya masih menjadikannya amalan dan menjalani pemeriksaan saringan lain kerana tidak mahu barah terus menghantui diri,” katanya.

Citra Dewi berharap barah tidak berulang menyerang dengan menjalani gaya hidup sihat dan buat pemeriksaan payudara berkala.

Seorang lagi pesakit, Kamala, 60, berkata beliau ingin meneruskan hidup walaupun terpaksa melawan barah sendirian tanpa sokongan keluarga.

Guru Tadika yang masih bujang itu, bergenang air mata tatkala menceritakan pahit getir menempuh dugaan yang dianggap umpama ‘sapaan maut’ baginya.

Selepas pembedahan membuang seluruh payudara sebelah kirinya pada 1 Ogos tahun lalu, Kamala menjalani rawatan kemoterapi enam kitaran.

Beliau mengalami kesan agak teruk akibat kemoterapi termasuk muntah-muntah tanpa henti dan serangan strok ringan.

Tanpa keluarga di sisi, Kamala yang ketika itu berusia 49 tahun terpaksa berulang menaiki bas dan teksi untuk menjalani rawatan barah pada payudara sebelah kirinya.

“Saya masih ingat selepas menjalani kemoterapi, saya terkulai di atas kerusi roda di lobi hospital, menunggu diambil oleh keluarga tetapi tiada sesiapa datang.

“Ketika itu saya hanya mampu berdoa mengharapkan bantuan dan mengadu kesukaran kepada tuhan semata-mata,” katanya.

Malah wanita itu tetap tabah dan terus bekerja mencari sesuap nasi walaupun kesan melecur akibat radioterapi masih berbekas.

“Anak saudara yang berusia tiga tahun ketika itu menjadi pendorong untuk saya terus hidup. Saya ingat saya akan mati tetapi ternyata usia masih panjang dan mampu melihatnya membesar sehingga hari ini.

“Mengenang nasib diri melawan kanser sendirian, saya bertekad menyertai badan sukarelawan di Majlis Kanser Kebangsaan, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tung Shin untuk memberikan sokongan kepada pesakit lain,” katanya.

Kamala masih menjalani pemeriksaan susulan setiap enam bulan dan ujian saringan barah payudara, mamogram setahun sekali bagi memastikan barah dapat dikesan awal.

497 dibaca
Berita Harian X