Sabtu, 8 September 2018 | 10:05am
ANTARA selebriti ternama dikaitkan dengan penyakit Bell’s Palsy.

Muka herot dalam tempoh 48 jam

Bell’s Palsy, penyakit membabitkan kerosakan pada satu saraf muka iaitu ‘facial nerve.

Situasi itu berlaku apabila otot yang mengawal ekspresi wajah tidak berfungsi dengan normal akibat kecederaan atau gangguan saraf muka.

Antara selebriti ternama dikaitkan dengan penyakit ini adalah Slyvester Stallone, Pierce Brosnan, Angelina Jolie, George Clooney, Rano Karno, Nita Thalia dan Sam Bailey (Pemenang X Factor 2013).

Penyakit ini boleh menyerang sesiapa termasuk kanak-kanak tetapi kebiasaannya mereka berusia dalam lingkungan 15 hingga 60 tahun.

Tanpa mengira jantina, risiko menghidap penyakit gangguan saraf yang melumpuhkan sebelah otot muka itu adalah sama.

Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial, Hospital Shah Alam, Dr Sharifah Tahirah Aljunid, berkata Bell’s Palsy bersifat sementara dan terjadi apabila otot yang mengawal ekspresi muka tidak berfungsi kesan kecederaan atau gangguan kepada saraf muka.

Katanya, ramai tersalah anggap Bell’s Palsy sama dengan strok, tetapi sebenarnya tidak.

Walaupun strok dialami pesakit berusia 60 tahun ke atas, namun tidak mustahil menyerang pesakit lebih muda.

“Hanya selepas doktor mengambil sejarah terperinci mengenai keadaan pesakit dan menjalankan pemeriksaan sebelum mencapai diagnosis yang tepat,” katanya.

Kebiasaannya strok menunjukkan simptom lebih cepat berbanding Bell’s Palsy yang mungkin mengambil lebih daripada 48 jam untuk menunjukkan tandanya.

Kebanyakan mereka pulih selepas mendapatkan rawatan intensif berkaitan saraf berkenaan.

Dr Sharifah Tahirah berkata, penyakit ini memberi kesan berbeza antara seseorang pesakit, kelumpuhan yang dialami mungkin ringan atau lebih ketara dan serius.

“Berikutan gangguan saraf muka ini, otot muka tidak mendapat rangsangan otak dan menjadi lumpuh.

“Antara simptom termasuk muka senget sebelah terutama mata dan mulut tidak simetri (drooping face), tidak boleh menutup mata dengan rapat, otot muka berkerut tanpa kawalan, air liur meleleh disebabkan bibir yang tidak dapat ditutup rapat dan mata serta mulut terasa kering.

“Pesakit hilang upaya merasa di bahagian hadapan lidah (impairment of taste), sensitif terhadap bunyi kuat, pening kepala, pertuturan kurang jelas dan kepayahan makan serta minum,” katanya.

Punca Bell’s Palsy

Bell’s Palsy secara amnya membabitkan kelumpuhan sebelah muka tetapi boleh melumpuhkan kedua-dua belah muka, walaupun begitu keadaan ini jarang berlaku sekitar satu peratus.

Dr Sharifah Tahirah, berkata serangan ini masih belum dikenal pasti tetapi ada beberapa faktor risiko serangan.

“Antaranya diabetes dan jangkitan saluran pernafasan. Jangkitan virus pada saraf menyebabkan keradangan dan bengkak, sekali gus menyebabkan saraf tidak gagal berfungsi dengan sempurna,” katanya.

Kebanyakan pesakit Bell’s Palsy boleh sembuh sepenuhnya tanpa rawatan. Lazimnya tempoh rawatan untuk sembuh mengambil masa dalam tempoh 14 hari sehingga enam bulan.

Pesakit akan menjalani sesi fisioterapi untuk melakukan urutan dan senaman muka bertujuan membantu otot untuk berfungsi dengan sempurna.

Dahulu ada pembedahan dilakukan tetapi berisiko mengakibatkan kecederaan kekal terhadap saraf muka dan kehilangan pendengaran pesakit, kini prosedur berkenaan dihentikan bagi mengelak komplikasi.

“Pengambilan ubat ‘Corticosteroids’ seperti prednisolone bertujuan mengurangkan kesan radang dan bengkak pada saraf. Seeloknya rawatan ini dimulakan secepat mungkin supaya lebih berkesan.

“Begitu juga ubat anti viral, walaupun keberkesanannya masih kurang, adakala boleh diberi bersama ‘corticosteroids’ untuk kes serius, kira-kira 30 peratus pesakit yang dirawat, gagal sembuh sepenuhnya.

“Akibatnya mereka mengalami pemulihan yang lambat, wajah cacat, trauma psikologi dan kesakitan pada muka,” katanya.

INFO

Mengenai Bell’s Palsy

* Sempena nama seorang pakar bedah Scotland, Sir Charles Bell

* Didiagnos pada abad ke-19

* Dikenal pasti selepas 48 jam pesakit mengalaminya.

* Punca kerosakan pada satu saraf muka.

* Kelumpuhan kebiasaannya membabitkan sebelah muka meliputi dahi sampai ke dagu.

* Pernah menyerang kanak-kanak berusia enam tahun

2437 dibaca
Berita Harian X