Jumaat, 31 Ogos 2018 | 7:01pm
DR Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin. - Foto NSTP

Elak percutian keluarga bertukar tragedi

JANGAN jadikan keseronokan percutian seisi keluarga bertukar tragedi ngeri yang tidak dapat anda lupakan hingga mati.

Ini kerana dalam keseronokan bercuti, lazimnya ramai terlupa mengenai pentingnya penjagaan keselamatan yang sepatutnya lebih diutamakan.

Sepanjang bulan ini juga, bermula sambutan Kemerdekaan 31 Ogos, Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong, Awal Muharam dan Hari Malaysia, peluang yang ada dimanfaatkan membawa ahli keluarga bercuti.

Namun, tanpa disedari sepanjang tempoh percutian itu, anak-anak terdedah kepada pelbagai bahaya. Selain kemalangan jalan raya, tragedi lemas antara tragedi paling banyak dilaporkan.

Tragedi yang boleh dielakkan ini disebabkan kelalaian anda sendiri, kejadian sering berlaku ketika mandi laut, berenang di sungai, air terjun mahupun kolam renang.

Insiden lemas yang sering dilapor membabitkan kanak-kanak boleh dicegah menerusi pendekatan proaktif termasuk mengambil kira faktor kepekaan ibu bapa terhadap keselamatan anak masing-masing.

Kemalangan boleh dielakkan kerana golongan ini masih di bawah pengawasan orang dewasa, namun jumlah yang dilaporkan meningkat terutama pada musim cuti.

Tragedi di kolam renang kondominium, hotel, kawasan banjir dan taman tema air sepatutnya tidak berlaku jika langkah berjaga-jaga ambil lebih awal.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin, berkata golongan berisiko mati lemas adalah kanak-kanak lelaki berusia antara satu hingga empat tahun dan mereka yang mempunyai akses kepada sumber air seperti sungai, kolam dan parit.

Faktor kematian, kata beliau, disebabkan air memasuki paru-paru hingga menyebabkan mangsa mengalami kesukaran bernafas sehingga menghalang oksigen sampai ke otak.

“Jika mangsa gagal diselamatkan dalam tempoh lima hingga 10 minit selepas kejadian, risiko kematian amat tinggi.

“Pada masa sama, jika mangsa berjaya diselamatkan sekalipun, mereka berhadapan kecederaan pada bahagian otak,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


DR Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin. - Foto NSTP

Dr Mohd Feizel Alsiddiq, yang juga Pensyarah Kehormat Jabatan Pediatrik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, berkata kecederaan kekal pada otak menyebabkan mangsa mengalami kesan koma atau lumpuh yang disebabkan kekurangan oksigen dalam tempoh lama.

Beliau berkata, tidak dinafikan anak memang gemar terjun kolam, sedangkan mereka tidak tahu berenang atau sedar perbuatan sedemikian sangat bahaya.

“Ini kerana pada usia yang masih kecil, sistem biologi badan mereka masih belum boleh menganggarkan tahap kedalaman sesuatu kolam, faktor itu menyebabkan anak mudah lemas.

“Tidak semua hotel, pusat peranginan mahupun kondominium tempat anda menginap disediakan kemudahan pengawas kolam renang (lifeguard) dan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak kejadian tidak diingini, ibu bapa perlu mengawasi anak mereka,” katanya.

Mengulas situasi berkaitan, Dr Mohd Feizel Alsiddiq berkata, faktor geografi juga antara perkara yang perlu diberi perhatian serius bagi mengelak insiden lemas.

Beliau berkata, berkunjung ke taman rekreasi seperti air terjun, tasik , sungai dan tepi pantai juga boleh mengundang tragedi.

Pastikan tempat yang dikunjungi selamat, jika anak tidak pandai berenang, pakaikan mereka pelampung supaya dapat mandi dan bermain dengan selamat.

Jangan dedahkan diri dan keluarga dengan risiko lemas ketika berada di pantai terutama pada musim tengkujuh. Biasanya pihak pengurusan pantai akan memasang papan tanda amaran ombak kuat dan elakkan anak-anak daripada mendekati kawasan berkenaan.

Bagi mengelak musibah, keputusan anda menghantar anak belajar berenang adalah satu langkah bijak. Kemahiran ini membantu mereka mengawal keadaan cemas ketika berada di dalam air.

Kanak-kanak perlu diingatkan supaya tidak mengambil keputusan menyelamatkan rakan jika mereka tidak tahu berenang, sebaliknya dapatkan bantuan orang dewasa yang berada di kawasan berhampiran.

Menjadi tanggungjawab setiap individu melengkapkan diri dengan kemahiran asas pertolongan cemas sebagai persediaan awal berhadapan sebarang kemungkinan.

Fakta:

Info:

* Laporan penyelidik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh Perak, setiap tahun dianggarkan sekitar 500 kes insiden lemas membabitkan kanak-kanak dilaporkan di negara ini, daripada jumlah itu 200-300 daripada mangsa gagal diselamatkan.

Langkah awal berhadapan situasi cemas ini,

* Tunggu bantuan paramedik untuk rawatan kecemasan

* Jangan sesekali cuba menggoncang mangsa dengan meletakkan kepala ke bawah kerana tindakan sedemikian tidak membantu sebaliknya melengahkan proses bantuan kecemasan.

* Kanak-kanak perlu diingatkan supaya tidak mengambil keputusan menyelamatkan rakan jika mereka tidak tahu berenang, tindakan ini menyebabkan mereka juga menjadi mangsa

Formula bantuan kecemasan menyelamatkan mangsa lemas

DRS ABC

D - Danger (bahaya)

Berhadapan situasi ini, tempatkan mangsa di kawasan yang lebih selamat.

R- Respond (maklum balas)

Panggil nama mangsa dan perhatian reaksi mereka

S- Shout (Menjerit)

Minta pertolongan orang berhampiran anda

A - Airway (saluran pernafasan)

Buka dan periksa mulut mangsa dan pastikan tidak ada benda asing dalam rongga mulut dan tekak hingga menyukarkan mangsa untuk bernafas

B - Breathing (pernafasan)

Periksa pernafasan mangsa

C - Circulation (peredaran darah)

Jika mangsa didapati tidak memberi sebarang maklum balas, mulakan teknik pertolongan cemas dengan segera.

Berita Harian X