Isnin, 27 Ogos 2018 | 6:52pm
MUHAMMAD Muqharabbin Mokhtarrudin mengibarkan jalur gemilang di titik 90 darjah Kutub Selatan.
MUHAMMAD Muqharabbin Mokhtarrudin memulakan perjalanan ke Titik 90 darjah menggunakan ski.
TIGA rakan karib Qobin, Ahmad Reduan Rozali dan Fauzan ketika mendaki Carstenz Pyramid di Australia pada 2014.
MUHAMMAD Muqharabbin Mokhtarrudin Qobin bersama seorang rakan ketika mendaki Gunung Elbrus di Russia pada 2012.

Dari setinggan ke Grand Slam

KUALA LUMPUR: “Saya akan terus berbakti demi negara tercinta. Saya berhasrat untuk membuka peluang dan melatih anak muda untuk mencipta rekod yang lebih baik daripada saya”.

Itu azam Penjelajah Grand Slam pertama negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, 36, yang berjaya melengkapkan siri pendakian tujuh gunung tertinggi di tujuh benua dan penjelajahan ke Kutub Utara dan Selatan dunia, pada Disember tahun lalu.

Ikon sukan lasak negara yang mesra dipanggil Qobin berkata, ketika ini beliau memberi perhatian untuk memenuhi jemputan menyampaikan ceramah motivasi di sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

“Ya, siapa sangka, saya yang tidak punya apa-apa, berasal dari perkampungan setinggan Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, berjaya ke Grand Slam.

“Saya ingin berkongsi kejayaan ini bersama generasi muda yang sudah tentu menjadi tonggak negara pada masa depan,” katanya dalam satu pertemuan dengan NSTP, di sini.

Mengimbas kembali kejayaan bergelar Penjelajah Grand Slam, anak keempat daripada 16 beradik itu berkata, semuanya bermula selepas beliau berjaya menawan puncak Everest pada 2004 ketika usia 22 tahun.

Katanya, beliau kemudian berehat daripada mendaki gunung selama enam tahun untuk memberi fokus kepada keluarga dan kerjayanya.

“Saya bukan seorang ‘kaki’ gunung, tak suka mendaki dan menjelajah sangat, tetapi saya suka buat semua benda dan tak mudah kenal erti putus asa.

“Memang saya tak rancang semua ini. Hendak mendaki gunung bukan satu perkara mudah kerana ia memerlukan perbelanjaan besar. Apabila ada rezeki, ada penajaan, saya teruskan,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Kejayaan Qobin turut mendapat perhatian Amerika Syarikat (AS) apabila beliau diundang ke Kedutaan AS, awal tahun ini dan bertemu Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir.

Kehadiran Qobin bersama ayahnya, Mokhtarrudin Ismail, disambut mesra warga kedutaan selain berkesempatan berkongsi kisah, cabaran dan pengalamannya sepanjang misi penjelajahan ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan sejauh 111 kilometer (km) itu.

Lakhdhir memuji kesungguhan ditonjolkan anak kelahiran Pantai Dalam ini selepas berjaya mengharungi pelbagai rintangan menyempurnakan misinya menawan tujuh puncak tertinggi dunia dan penjelajahan ke Kutub Utara dan Kutub Selatan.

Beliau berkata, pencapaian yang diraih Qobin, melayakkan dirinya menjadi inspirasi kepada orang lain atas pengalamannya sendiri dalam mengharungi misi penjelajahan itu, termasuk bertemu dengan pelbagai kumpulan dari serata dunia.

Qobin yang juga Presiden Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) berjaya menempa nama sebagai penjelajah Grand Slam pertama Malaysia selepas menamatkan misi akhirnya ke Titik Darjah Kutub Selatan bersama enam penjelajah pelbagai negara serta seorang jurupandu.

Beliau juga mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Asia Tenggara kedua dan umat Islam ketiga serta termuda di dunia selain 60 manusia dan penjelajah terawal yang menghabiskan penjelajahan itu.

Pengiktirafan sebagai Penjelajah Grand Slam diberikan apabila seseorang itu menamatkan siri pendakian di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia, selain penjelajahan ke Kutub Utara pada 2017 dan Kutub Selatan, pada 2018.

INFO

Puncak gunung yang berjaya ditawan Qobin:

- Everest, Nepal (Benua Asia) 2004

- Kosciousko, Australia (Benua Australia) 2005

- Kilimanjaro, Tanzania (Benua Afrika) 2010

- Aconcagua, Argentina (Benua Amerika Selatan) 2010

- Vinson Massif (Benua Antartika) 2012

- Mckinley, Amerika Syarikat (Benua Amerika Utara) 2012

- Elbrus, Russia (Benua Eropah) 2012

- Carsten Pyramid, Irianjaya Indonesia (Benua Australasia) 2014

380 dibaca
Berita Harian X