Sabtu, 12 Mei 2018 | 10:08am
Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Dr Michelle Ling Min Min (kiri) bercakap mengenai Bayi CPR semasa Kelahiran Ibu Bapa PMC di One World Hotel. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Risiko anak tercekik

Aktiviti merangkak, melompat, berjalan adalah fasa tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak yang dinantikan ibu bapa

Bagaimanapun, saat menginjak usia setahun, tabiat mengutip dan memasukkan sebarang objek ke dalam mulut antara tabiat yang dibimbangi kebanyakan ibu bapa kerana berisiko menyebabkan anak tercekik.

Kematian bayi dan kanak-kanak akibat lemas dan tercekik objek seperti duit syiling sebenarnya boleh dielakkan jika setiap ibu bapa mengetahui langkah asas pertolongan cemas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) .

Pakar Perunding Kanak- Kanak dan Neonatologist Pusat Perubatan ParkCity (PMC), Dr Michelle Ling Min Min, berkata tersedak atau tertelan objek adalah insiden kecemasan yang boleh memudaratkan kanak-kanak jika ibu bapa dan kaedah CPR membantu mengurangkan risiko dan menyelamatkan nyawa.

"Biasanya kanak-kanak gemar mengutip objek di sekeliling mereka yang boleh menyebabkan mereka tercekik.

"Objek bulat dan makanan yang biasa kita beri kepada anak seperti anggur, kismis, bebola ikan, gula-gula sebenarnya boleh menjadi punca kepada situasi ini.

"Manakala makanan melekit seperti mentega kacang juga berisiko menyebabkan anak tercekik," katanya ditemui pada bengkel Ibu Bapa PMC, bertujuan mendedahkan ilmu keibubapaan, baru-baru ini.

Panduan hadapi saat kecemasan

Dr Michelle berkata, selain mainan kecil dan bateri juga antara objek berisiko yang mendedahkan kanak-kanak kepada keadaan ini.

"Biasanya anak menunjukkan tindak balas seperti mahu batuk, sukar bernafas dan muka bertukar sedikit biru.

"Namun, jika anak tidak batuk tapi masih sedar, terbalikkan kedudukan anak, tepuk atau tekan menggunakan tapak tangan.

"Pastikan anak dalam posisi tunduk ke bawah. Jika masih tidak keluar, letakkan anak pada posisi normal semula. Gunakan dua jari dan tekan dada dan ulang sehingga keluar objek yang tersekat itu," katanya.

Beliau turut mendedahkan panduan yang boleh digunakan ibu bapa saat kecemasan untuk kes lemas dan tercekik objek.

Beri bantuan awal

1. Beri bantuan awal

Pertolongan kecemasan adalah bantuan permulaan atau rawatan pertama yang diberikan kepada mangsa sebelum Bantuan CPR dapat menggalakkan pemulihan, mengelakkan berlakunya komplikasi dan juga untuk menyelamatkan nyawa sementara menunggu bantuan perubatan daripada pakar perubatan dan profesional.

2. Jangan panik

Siapa tidak sayang anak apatah lagi dalam saat kecemasan. Ketika memberi bantuan kecemasan kepada mangsa, anda harus mengawal perasaan agar tidak panik dan bertenang.

3. Periksa sama ada bayi bernafas atau tidak

Periksa sama ada bayi bernafas atau tidak dengan mendekatkan telinga ke mulut bayi bagi mendengar dan merasa nafas bayi serta melihat pergerakan dada bayi dalam masa lima saat dan tidak melebihi 10 saat.

4. Hembus mulut bayi sehingga ada tindak balas

Lakukan hembusan sehingga bayi menggerakkan tubuh atau memberi tindak balas. Jika keadaan masih sama, bawa anak terus ke hospital tetapi pastikan bantuan CPR dilakukan secara berterusan.

5. Nadi bayi boleh diperiksa pada lengan

Periksa nadi bayi pada bahagian bawah lengan bayi selama lima ke 10 saat.

6. Guna dua jari dan tekan dada

Bagi bantuan CPR, gunakan dua jari untuk menekan pada bahagian tengah tulang dada. Tekan beberapa kali dan hembus nafas ke mulut bayi sebanyak dua kali.

154 dibaca
Berita Harian X