;
Sabtu, 5 Mei 2018 | 7:51pm

Sinaran LED bawa mudarat

PENGGUNAAN lampu diod pemancar cahaya (LED) jenis biru menerusi telefon pintar dan tablet seperti komputer dengan suhu warna terlalu tinggi dikaitkan dengan peningkatan kepada risiko mendapat kanser payudara dan prostat.

Kajian Perspektif Persekitaran Kesihatan di Sepanyol, diterbitkan bulan lalu itu dibuat menerusi pembandingan penggunaan lampu tiruan itu pada waktu malam terhadap kira-kira 2,000 pesakit kanser payudara dan prostat.

Skop kajian di kawasan yang banyak menggunakan lampu jenis ini di Barcelona dan Madrid, Sepanyol.

Bagai manapun kajian itu memberi amaran bahawa ia hanya melihat cahaya biru dari LED luaran telefon pintar, bukan ciri dalaman bagi telefon pintar atau tablet.

Pengkaji membuat kajian penggunaan lampu LED jenis biru di sekitar lampu jalan, mengambil imej dari Stesen Angkasa Antarabangsa dan menggunakan laporan kaji selidik sendiri .

Hasil kajian mendapati, individu yang terdedah dengan penggunaan lampu biru terlalu tinggi pada waktu malam mempunyai risiko 1.5 kali ganda mendapat kanser payudara dan risiko dua kali ganda lebih tinggi untuk mendapat kanser prostat, berbanding mereka yang kurang terdedah kepada lampu jenis ini.

Penyelidik Institut Persekitaran dan Lanjutan, Universiti Exeter, United Kingdom, Alejandro Sánchez de Miguel, berkata penemuan kajian kali pertama dijalankan itu dapat melihat resolusi lampu lebih tinggi dan hubungannya dengan penyakit dihadapi seseorang individu.

"Walaupun kajian terdahulu menggunakan imej satelit untuk mengira intensiti cahaya tiruan pada waktu malam di bandar besar, kajian baru ini adalah yang kali pertama melihat secara lebih khusus pada jumlah cahaya biru.

"Dalam kajian ini, kita menumpukan perhatian pada imej satelit kerana satelit lain tidak dapat melihat warna. Tetapi ia dipaparkan dengan bantuan angkasawan di stesen angkasa.

"Ini adalah kajian pertama menerusi eksperimen pada cahaya biru dalam satu populasi dan hubungannya dengan risiko kanser payudara dan kanser prostat kepada manusia." katanya.

 

Sementara itu, Profesor Neurologi Sekolah Perubatan, Universiti Northwestern, Amerika Syarikat, Kristen Knutson, berkata cahaya biru mempunyai gelombang lebih pendek daripada jenis cahaya lain dalam spektrum yang kelihatan.

"Ini bermakna ia mempunyai lebih banyak tenaga daripada jenis cahaya yang lain.

"Pendedahan kepada cahaya biru diketahui mengurangkan pembebasan melatonin di otak sedangkan melatonin berfungsi membantu mengawal kepada perubahan mengawal fizikal, mental, corak serta tingkah laku seseorang secara kasar mengikut kitaran 24 jam.

"Melatonin adalah hormon yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan pergerakan jam dalam semua sel tubuh kita.

"Lampu biru, adalah spektrum yang menandakan jam di otak dan ia adalah spektrum yang menindas melatonin ini. Gangguan jam ini dianggap meningkatkan risiko kepada berlakunya kanser," katanya.

Melatonin mengandungi bahan anti oksida yang boleh menghalang pertumbuhan kanser terhadap hormon tertentu dan akan terganggu dengan kehadiran berlebihan cahaya biru ini.

Justeru, anda disarankan mengelakkan penggunaan LED secara keterlaluan dengan suhu warna tidak lebih daripada daripada 3,000 kelvins.

INFO

  • Suhu warna cahaya diukur dengan skala kelvin (k).
  • Persatuan Ubat Amerika mengesyorkan penggunaan LED luaran tidak lebih daripada 3,000 k
  • Kurang 3,000 k dapat mengurangkan kesan pada kesihatan dan persekitaran.
  • Sesetengah bandar raya, seperti Davis, California sudah mengeluarkan LED luaran dan menggantikannya dengan lampu jenis lain.

4799 dibaca
Berita Harian X