Rabu, 25 April 2018 | 12:01am
ANTARA spesis lain tarantula.

8 tarantula tarikan Waghih Collection

KUALA LUMPUR: Acap kali kita dengar individu berniaga sambil bertemankan haiwan peliharaan khususnya dalam kategori eksotik seperti iguana, sugar glider atau kura-kura.

Seakan-akan menjadi trend apabila ramai mengakui kehadiran haiwan sedemikian mencetus keunikan. Malah tidak kurang juga yang sengaja menggunakannya sebagai modal unik untuk menarik pelanggan masuk ke gerai atau kedai masing-masing.

Bagi Asyraf Nazar, 27, kehadiran lapan labah-labah spesies tarantula di kedai barangan sukan outdoor, Waghih Collection miliknya dekat Ampang di sini, mempunyai sebab tersendiri.

Apa yang pasti, minat anak muda yang lebih selesa dengan panggilan Angah terhadap kumpulan labah-labah besar dan berbulu yang tergolong dalam famili Theraphosidae itu cukup mendalam.

Bukan saja lapan tarantula diletak ke kedai miliknya, Asyraf turut memelihara 11 lagi labah-labah jenis sama di kediamannya yang dikatakan mampu membesar sehingga saiz sebesar pinggan.

Selain pelbagai spesies itu, Asyraf bersama adiknya turut memelihara seekor ular sawa dari jenis ball python dan cicak, sebagai peneman ketika menunggu pelanggan di kedai.

Ketika ditemui, anak muda ini berkata, hampir dua tahun beliau mengumpul koleksi haiwan eksotik itu dan mengakui seronok memiliki pelbagai spesis tarantula dari pelbagai negara, walaupun minat itu dilabelkan masyarakat sebagai hobi seperti orang 'hilang akal'.


ANTARA labah-labah spesies tarantula di kedai barangan sukan luar, Waghih Collection.

Corak khusus badan tarantula

Katanya, minat kepada haiwan eksotik tercetus selepas tertarik dengan keunikan pengalaman rakannya yang memiliki kedai haiwan peliharaan, selain turut memelihara pelbagai binatang dalam kategori itu.

"Ramai rakan saya membela haiwan eksotik dan saya tengok ia macam menarik. Apabila saya beli untuk bela sendiri, memang seronok bermain dengan binatang peliharaan ini.

"Saya meminati tarantula kerana ia spesies yang unik berbanding serangga lain. Paling penting, setiap tarantula memiliki corak khusus mengikut asal serta dari mana ia datang dan ia cukup mengasyikkan," katanya.

Ditanya mengenai status tarantula sebagai serangga berbisa, Asyraf berkata, ia memiliki tiga tahap bisa iaitu permulaan, pertengahan dan pro.

Tarantula peliharaannya adalah spesies bisa tahap permulaan.

Beliau mengakui memahami risiko memelihara binatang berbisa seperti itu, malah pernah berdepan pengalaman mendebarkan apabila digigit tarantula ketika bermain dengan labah-labah itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, Asyraf bernasib baik kerana tarantula itu jenis bisa permulaan yang hanya memberikan kesan seakan-akan disengat lebah. Namun ia tetap menyakitkan dan menyebabkan luka besar sehingga memerlukan dua hari untuk sembuh.

"Ketika disengat tempoh hari saya terkejut. Ia macam disengat lebah saja, tetapi gigitannya kuat dan tak nak lepas gigitan. Semasa sengatan pertama, saya sudah rasa gigitannya, namun labah-labah biasanya akan menggigit lebih dalam," katanya.


ASYRAF menunjukkan labah-labah spesies tarantula yang dimilikinya.

Utamakan keselamatan

Katanya, walaupun tarantula peliharaannya tidak memiliki racun bisa, ia masih mempunyai taring yang boleh menyebabkan kecederaan dan bengkak besar.

Mengenai tarantula dalam simpanannya, Asyraf berkata seekor daripadanya adalah daripada spesies lima labah-labah terbesar dunia yang dibela sejak lahir ketika saiznya hanya sebesar kuku jari.

Katanya, beliau juga memiliki tarantula betina agak agresif yang diperoleh setahun lalu, yang mana bulu labah-labah terbabit boleh menyebabkan kesan pedih pada kulit dan berbahaya sekiranya masuk ke dalam paru-paru ketika terhidu.

"Pesan saya kepada mereka yang berminat kepada haiwan eksotik, tolonglah sayangi binatang peliharaan anda.

"Utamakan keselamatan jika haiwan terbabit memiliki bisa atau berbahaya seperti ular dan cuba elak memegangnya. Anggap ia sekadar perhiasan bukan mainan.

"Kena ingat setiap binatang eksotik ini perlu memohon lesen kepada pihak berkuasa. Pastikan juga bekas simpanan yang betul serta jangan cuai kerana dikhuatiri ia boleh terlepas nanti," katanya.


ASYRAF menunjukkan haiwan eksotik yang dibelanya.

INFO

Tarantula

  • Labah-labah tergolong dalam 900 spesies di bawah famili Theraphosidae
  • Paling ditakuti kerana tersenarai antara labah-labah paling berbisa, terbesar dunia.
  • Semua tarantula boleh mengeluarkan sutera
  • Boleh ditemui di kawasan tropika, padang pasir seluruh dunia
  • Mampu membunuh haiwan sebesar cicak, tikus atau burung

Berita Harian X