Sabtu, 7 April 2018 | 1:11pm
DR Kartini menunjukkan implan titanium. - Foto Mahzir Mat Isa

Implan titanium pulihkan kerosakan anggota badan

SEJAK dulu, tidak banyak boleh dilakukan untuk memulihkan bahagian kepala dan wajah yang rosak akibat kemalangan mahupun kecacatan sejak lahir.

Bagaimanapun pada masa kini, terdapat teknologi percetakan tiga dimensi (3D) yang membolehkan

implan logam dicetak bagi menggantikan bahagian yang rosak.

Teknologi pembentukan semula kraniofasial ini dibangunkan SIRIM menggunakan sistem implan titanium. Program dilaksanakan menerusi pemberian geran berjumlah RM3.5 juta oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak 2016.

Pengarah Pusat Inovasi Perindustrian Dalam Bioperubatan, SIRIM, Dr Kartini Noorsal, berkata usaha itu membolehkan teknologi berkenaan digunakan di dalam negara.

Beliau berkata, penggunaannya dengan kos lebih berdaya saing selain cepat sekiranya peralatan percetakan tiga dimensi berkenaan ditempatkan di lokasi berdekatan hospital.

"Kranio bermaksud tengkorak manakala fasial pula muka. Teknologi ini berupaya memulihkan bentuk asal kraniofasial, sendi, tulang dan rahang yang terjejas disebabkan oleh kemalangan atau faktor lain.

"Titanium dengan bantuan reka bentuk bantuan komputer (CAD) digunakan bertujuan menghasilkan bentuk tertentu yang digunakan dalam implan kraniofasial dan maksilofasial. Prosedur ini berupaya menggantikan bahagian tengkorak atau tulang muka yang rosak," katanya.

Katanya laporan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pesakit yang diterima dari hospital akan diproses. Kemudiannya, SIRIM akan menggunakan perisian perubatan (MIMICS, Belgium) daripada imej 2D kepada 3D.

Data 3D digunakan bagi merekabentuk implan menggunakan perisian rekabentuk (3-MATICS, Belgium). Selepas rekabentuk implan dihasilkan, proses fabrikasi menggunakan teknologi Pembuatan Aditif (AM) digunakan untuk menghasilkan biomodel implan dan tengkorak pesakit.

Biomodel yang dihasilkan akan dirujuk kepada pakar neurosurgeri untuk memastikan rekaan yang dihasilkan memenuhi spesifikasi dan anatomi pesakit.

"Pembentukan semula implan dihasilkan menggunakan teknologi cetakan logam 3D yang sedia digunakan kepada pesakit.

"Terdapat pelbagai jenis implan logam 3D dihasilkan, namun SIRIM menghasilkan jenis titanium mesh yang diperkenalkan sejak tahun 2011," katanya.

Setakat ini sejumlah 63 pesakit sudah menjalani pembedahan implan titanium terutama di hospital awam dan beberapa hospital swasta. Hasil teknologi ini, bukan saja menjimatkan masa pembedahan malah tulang asal anggota tidak diubah untuk memuatkan tampalan titanium.

Pada masa ini, kilang hanya mengeluarkan saiz standard menyebabkan tulang asal terpaksa dipotong sedikit untuk memuatkan implan titanium berkenaan.

Dr Kartini berkata, pencetak logam 3D hanya terdapat di Kolej Kemahiran Tinggi MARA di Kuantan dan di sebuah syarikat swasta di negara ini.

Titanium mesh digunakan kerana faktor fizikalnya lebih ringan dan sesuai diletakkan pada bahagian kepala. Bentuknya pula seakan jaring membolehkan bahagian isi dan tulang tumbuh sekata di antara lubang yang terdapat pada implan berkenaan.

Info:
Teknologi percetakan 3D berpotensi menggantikan anggota lain:

  • Jantung

  • Kulit
  • Tisu hidung dan telinga
  • Ubat pelbagai komponen bahan aktif bertujuan merawat penyakit dimasukkan dalam satu pil
  • Implan lutut
281 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »