Sabtu, 24 March 2018 | 11:32am
KETUA Pakar Kardiologi Kanan, Institut Jantung Negara, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim. - Foto Luqman Hakim Zubir

Individu cergas juga berisiko mati mengejut

SEJAK kebelakangan ini sering dilaporkan individu sihat dan cergas berhadapan detik cemas hingga berlaku sesak nafas ketika beriadah hingga meragut nyawa dan disahkan meninggal dunia secara mengejut.

Kebanyakan kes membabitkan individu ketika beriadah antaranya bermain badminton, berjoging atau bermain bola sepak.

Senario ini menimbulkan tanda tanya sama ada aktiviti lasak sedemikian meningkatkan risiko kematian mengejut. Ini kerana laporan sebelum ini mendapati, individu aktif lebih sihat dan sukar diserang penyakit.

Ketua Pakar Kardiologi Kanan, Institut Jantung Negara, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, berkata

risiko kematian mengejut membabitkan individu aktif bersukan bergantung kepada jenis riadah yang mereka jalankan.

Bersukan secara keseluruhannya kata beliau, memberikan kesan baik kepada kesihatan kecuali individu terbabit mengalami masalah jantung koronari yang tidak pernah dikesan sebelum ini.

"Tanda seseorang mengalami serangan jantung ketika bersukan seperti individu lain seperti rasa berat di dada mungkin merebak ke bahagian tekak, tangan kiri, sesak nafas, rasa hendak pitam, peluh sejuk dan jantung berdebar," katanya.

Aktiviti lasak sebegini kata Dr Aizai, meningkatkan risiko serangan jantung seperti Hipertropik Kardiomiopati iaitu sebahagian jantung mengeras dan tidak dapat mengepam darah secara berkesan.

Keadaan sebegini kata beliau, individu berkenaan mengalami kesukaran bernafas serta boleh menyebabkan kematian mengejut.

Serangan jantung lain yang berisiko berlaku seperti Stenosis Aorta iaitu pembukaan injap jantung yang sempit menyebabkan darah tidak boleh dialirkan dari ventrikel kiri ke aorta. Keadaan ini memberikan kesan kepada tekanan di atrium kiri.

Kegagalan jantung kongestif iaitu keadaan kronik memberikan kesan ke atas kuasa mengepam otot jantung juga menyebabkan kematian mengejut. Ini merujuk kepada pembentukan cecair di sekeliling jantung dan menyebabkannya tidak berupaya mengepam dengan baik.

"Individu terutama yang berisiko tinggi seperti penghidap kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dulu sekiranya mereka bercadang melakukan riadah atau menyertai sukan lasak.

"Selain ujian darah, jalani pemeriksaan jantung seperti Elektro Kardiogram (ECG), ujian senaman dan Ekokardiogram sekiranya ada kelainan dikesan ketika pemeriksaan fizikal," katanya.

INFO:

Langkah sebelum menyertai aktiviti lasak atau bersukan:

* Pastikan anda sihat dengan menjalani hidup sihat (tidak merokok dan menjalani diet sihat).

* Jalani pemeriksaan kesihatan.

* Pastikan anda tidak mengalami sebarang gejala atau petanda masalah jantung.

* Mulakan dengan senaman ringan sebelum ditingkatkan kepada sederhana mengikut keupayaan diri.

Anda dinasihat berhenti bersenam atau bersukan apabila:

* Terasa seperti akan pitam atau pengsan.

* Dada terasa sakit dan ketat ketika bersukan atau berehat.

* Sukar bernafas.

* Degupan jantung yang laju atau tidak sekata.

* Pening atau sakit kepala ringan.

* Keletihan melampau atau lemah.

* Sejarah keluarga yang meninggal dunia secara tiba-tiba sebelum usia 50 tahun.

3272 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »