Sabtu, 17 March 2018 | 5:46pm
DUTA Besar Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci berucap pada International Serif Muhiddin Targan Oud Festival di Menara MBF, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Supian Ahmad
ANTARA persembahan yang terdapat pada International Serif Muhiddin Targan Oud Festival di Menara MBF, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Supian Ahmad
ANTARA persembahan yang terdapat pada International Serif Muhiddin Targan Oud Festival di Menara MBF, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Supian Ahmad
ANTARA persembahan yang terdapat pada International Serif Muhiddin Targan Oud Festival di Menara MBF, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Supian Ahmad

Oud satukan Turki dan Malaysia dalam muzik

KUALA LUMPUR: Seni terutamanya melalui muzik berupaya membawa mesej mengenai keamanan, seperti mana diketengahkan melalui International Serif Muhiddin Targan Oud Festival, hasil kerjasama antara Turki dan Malaysia.

Duta Besar Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci, berkata amat menarik apabila melihat penganjuran festival dua hari bermula hari ini, menampilkan instrumen oud dan tokoh penting di sebalik perkembangannya, Serif Muhiddin Targan, dapat menyatukan pencintanya di kedua-dua negara ini.

Beliau, yang gembira berpeluang menyertai festival penting itu, berkata penganjurannya akan memperluaskan kerjasama Turki dan Malaysia terutama dalam soal membabitkan pertukaran budaya masing-masing.

 

"Targan yang diraikan dalam festival ini bukan setakat figura penting sejarah dan Islam, malah peranan beliau juga penting dalam membuktikan bagaimana muzik boleh membawa mesej sejagat yang penting mengenai keamanan.

 

"Sebagai seorang seniman dan komposer hebat, Targan menggunakan kepandaiannya dalam instrumen oud, untuk mendekatkan jurang serta perbezaan antara timur dan barat,

"Apa yang dilakukannya ini nampaknya berjaya membawa penyatuan masyarakat dan budaya pada masa itu," katanya ketika ditemui pada festival berkenaan di Menara MBF di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Salehhuddin Md Salleh; Pengarah Kuala Lumpur Yunus Emre Institute, Dr Omer Altun; Presiden Persatuan Gambus Malaysia, Raja Zulkarnain Raja Mohd Yusof dan pengkaji Oud dari Istanbul University State Conservatory, Dr Bilen Isiktas.

 

Sementara itu, Omer berkata festival anjuran pihaknya dengan kerjasama Pertubuhan Gambus Malaysia itu, menggabungkan pakar oud dan gambus bukan saja daripada Turki dan Malaysia, malah Indonesia, Singapura dan Jepun.

 

Katanya, selain kupasan mengenai pemikiran Targan yang meninggal dunia pada 1967, festival dua hari itu turut merangkumi persembahan syarahan serta bengkel termasuk pengajaran teknikal berkaitan instrumen berkenaan.

 

"Penganjuran festival ini, yang turut disertai pakar muzik dan ahli akademik, diharap dapat membawa dan membuka peluang kepada kepada lebih ramai individu untuk menghayati keistimewaan oud sebagai satu alat muzik yang penting di Turki," katanya.

454 dibaca
Berita Harian X