Sabtu, 17 March 2018 | 9:00am

Gejala serangan barah

GOLONGAN perokok antara kategori paling mudah diserang penyakit bahaya antaranya kanser paru-paru. Gejala awal serangan antaranya sering penat, sakit tulang dan kerap pening.

Gejala ini menunjukkan perokok tadi sedang menderita barah paru-paru peringkat lanjut iaitu tahap tiga mahupun empat, peluang untuk sembuh begitu tipis.

Tanda lain barah paru-paru peringkat lanjut adalah mengalami batuk kering dan batuk berdarah.

Pakar Klinikal Onkologi, Hospital Beacon, Datuk Dr Mohamed Ibrahim A Wahid, berkata barah paru-paru tidak memberikan sebarang gejala atau kesakitan pada peringkat awal menyebabkannya sukar dikesan.

"Kebanyakan pesakit mengalami semua gejala pada peringkat akhir termasuk kerap pening akibat barah sudah melarat ke otak dan organ lain seperti hati.

"Kebanyakan pesakit barah paru-paru adalah lelaki disebabkan tabiat merokok tetapi statistik menunjukkan wanita semakin ramai diserang barah berkenaan kerana tabiat sama," katanya.

2 jenis barah paru-paru

Selain merokok, faktor lain serangan barah paru-paru disebabkan pencemaran udara seperti asap rokok, asap kenderaan dan kilang. Pendedahan kepada radiasi juga antara punca barah paru-paru tetapi kurang berbanding merokok.

Secara amnya, barah paru-paru terbahagi kepada dua jenis iaitu sel kecil (SCLC) dan bukan sel kecil (NSCLC).

SCLC jarang berlaku iaitu antara 15 sehingga 20 peratus berbanding SCLC yang paling banyak ditemui iaitu 80 sehingga 85 peratus.

"Serangan SCLC dirawat menggunakan kaedah kemoterapi dan radioterapi tetapi NSCLC tidak semestinya menggunakannya kaedah berkenaan.

"NSCLC tahap satu dan dua boleh dirawat menggunakan pembedahan menerusi teknik Radioterapi Tubuh Stereostatik bertujuan membuang sel atau ketumbuhan barah," katanya.

Bunuh sel barah

Kini terdapat kaedah merawat barah menggunakan CyberKnife iaitu prosedur terapi radiasi stereotaktik bertujuan membunuh ketumbuhan atau sel barah.

Rawatan menggunakan dos radiasi tinggi dituju tepat ke atas tumor tanpa menggugat tisu sihat di sekelilingnya.

Bagaimanapun, prosedur ini sesuai untuk barah paru-paru awal iaitu pada tahap satu dan dua, manakala barah tahap tiga dirawat menggunakan kemoterapi dan radioterapi.

Kaedah perubatan merawat barah turut berubah mengikut jenis barah yang dialami dan antara yang terbaharu adalah imunoterapi. Prosedur menggunakan sistem imun pesakit sendiri untuk membunuh sel barah.

"Apabila membesar dalam badan, barah menghasilkan bahan kimia yang akan menghalang sistem imun daripada membunuhnya.

"Ini boleh dicapai dengan merangsang sistem imun untuk bekerja lebih kuat atau bijak menyerang sel barah," katanya.

Info

* Barah paru-paru terbentuk di dalam tisu paru-paru

- (biasanya dalam sel salur udara).

* Terdapat dua jenis utama barah paru-paru:

i. Barah paru-paru sel tidak kecil (NSCLC).

- Merangkumi 80 hingga 85 peratus barah paru-paru.

ii. Barah paru-paru sel kecil (SCLC).

- Merangkumi 15 hingga 20 peratus barah paru-paru.

- Kerap kali bermula di dalam bronkus berhampiran bahagian tengah dada.

- Biasanya merebak luas ke seluruh badan pada peringkat awal penyakit.

Statistik

- Barah paling lazim berlaku di dunia:

dianggarkan terdapat 1.8 juta kes baharu pada tahun 2012.

- Barah paling lazim berlaku dalam kalangan lelaki.

- Ketiga paling lazim berlaku dalam kalangan wanita.

- Punca kematian di seluruh dunia (hampir satu dalam setiap lima kematian akibat barah (1.59 juta)

- Barah paling agresif .

564 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »