Khamis, 15 March 2018 | 2:56pm
FAIZAL dipilih antara 20 ikon Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam bidang masing-masing sempena Majlis Pelancaran TVET Malaysia di Shah Alam, Selangor, pada September tahun lalu. - Foto Zaman Huri Isa
FAIZAL memantau pekerja membaiki kereta pelanggannya. - Foto Zaman Huri Isa

Bermula sebagai mekanik, kini miliki bengkel kereta mewah

KOTA BHARU: Memulakan perkhidmatan membaiki kereta dari rumah ke rumah dengan menunggang motosikal, kini Faizal Yaakob memiliki bengkel automotif.

Deretan kereta jenama import antaranya Toyota, Mercedes, BMW, Hyundai dan Lexus memenuhi bengkel milik Faizal, 34, yang terletak di Lundang.

Berbekalkan ilmu asas yang dipelajari di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pengkalan Chepa ketika berusia 18 tahun, Faizal yang meminati bidang automotif meneruskan pengalaman bekerja di sebuah bengkel syarikat pembekal kereta import di Jalan Batu 2 di sini.

Faizal berkata, setiap tiga bulan beliau dihantar syarikat menjalani kursus bagi mendalami bidang itu termasuk mengenai sistem dan enjin sesebuah kenderaan.

"Saya bermula dari kosong namun minat yang sangat mendalam, ditambah hasrat untuk membantu keluarga saya yang bukan berasal daripada keluarga senang, saya sematkan misi untuk berjaya dalam bidang ini.

"Dalam tempoh bekerja, saya menjalankan perkhidmatan membaiki kereta dari rumah ke rumah dengan menunggang motosikal ke mana-mana lokasi yang diminta termasuk daerah lain jika ada masa lapang.


FAIZAL (dua dari kanan) bersama pekerjanya. - Foto Zaman Huri Isa

FAIZAL memantau pekerja membaiki kereta pelanggannya. - Foto Zaman Huri Isa

"Saya turut membaiki kereta import di bengkel milik seorang kawan berhampiran rumah di Kok Lanas, pada sebelah malam kerana pada sebelah siang, saya masih bekerja di bengkel syarikat pembekal kereta di Kota Bharu," kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Berikutan sambutan baik pelanggan dan pengalaman yang ada, Faizal memberanikan diri membuka bengkel di rumah mentuanya di Pasir Hor dengan berbekalkan modal sebanyak RM4,000.

Atas dasar ingin mengembangkan perniagaan, beliau membuka bengkel yang dilengkapi peralatan yang diperlukan untuk ditawarkan kepada pemilik kenderaan import di Lundang pada 2016.

"Antara cabaran yang saya hadapi ialah apabila ada pelanggan tidak membayar caj perkhidmatan yang diberikan sehingga saya pernah menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit," kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Atas pencapaian yang ditunjukkan, tidak hairanlah Faizal dipilih antara 20 ikon Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam bidang masing-masing sempena Majlis Pelancaran TVET Malaysia di Shah Alam, Selangor, pada September tahun lalu.

Menggalas tugas sebagai ikon kepada masyarakat, Faizal turut memupuk minat dua adik lelakinya, Faizul, 27, dan Faizu, 30, yang memiliki kemahiran berkaitan bidang automotif iaitu jentera berat dan pendingin hawa.

"Mungkin suatu hari nanti kami akan bergabung mewujudkan satu syarikat keluarga atau membuka cawangan dengan menjadi rakan kongsi sekiranya perniagaan sudah betul-betul stabil.

"Itu perancangan jangka panjang dan saya sendiri masih dalam proses bertatih, malah kini dalam proses mempelajari sistem kereta elektrik hibrid yang bakal ditawarkan kepada pelanggan," katanya.

2784 dibaca
Berita Harian X