Sabtu, 10 March 2018 | 7:47pm

Tarian bhangra lega tekanan

TEKANAN di tempat kerja jika dibiarkan berterusan tanpa disulami senaman ringkas, mungkin boleh mendatangkan kemurungan, cepat letih, wajah tidak bermaya dan nampak tua daripada usia.

Ada yang menganggap kerap ke gimnasium jalan penyelesaian untuk sihat. Sebenarnya ada yang terlepas pandang, beriadah seperti tarian tradisional mampu mengubah cara hidup menjadi lebih sihat.


KIRENJIT berpengalaman mengajar tarian bhangra lebih 13 tahun. - Foto Aziah Azmee

Tarian bhangra yang diamalkan masyarakat Punjabi yang lazimnya dipersembah pada hari Vasakhi dan majlis tertentu seperti perkahwinan atau majlis korporat, umpamanya, dilihat sebagai platform senaman aerobik untuk membantu meningkatkan stamina.

Malah, tarian ini dipercayai membantu menjaga kesihatan jantung dan buah pinggang yang sihat.

Panaskan badan


TIDAK perlu menjadikan aktiviti gimnasium sebagai rutin apabila kesuntukan waktu. - Foto Aziah Azmee

Pakar dan jurulatih tarian bhangra, Kirenjit Singh, 41, mempunyai pengalaman mengajar gerak dan lenggok tarian itu lebih 13 tahun mengakui, mendengar muzik bhangra sambil melakukan senaman aerobik antara elemen tulen tarian kaum Punjabi itu.

Pengurus sukan di sebuah sekolah antarabangsa di Lembah Klang itu berkata, mereka yang kesuntukan waktu tidak perlu menjadikan aktiviti gimnasium sebagai rutin, sebaliknya melakukan tarian bhangra sekurang-kurangnya dua kali seminggu, di mana saja termasuk rumah atau tempat kerja, kira-kira sejam sudah memadai, tidak perlu alunan muzik terlalu kuat, paling penting pergerakan.

"Saya menerapkan bhangra jam iaitu gabungan tarian tradisional Punjabi dengan kelas tarian kecergasan. Kebanyakan lagu hit daripada filem Bollywood popular menampilkan muzik berentak bhangra seperti Bole Chudiyan menerusi filem Kabhi Kushi Kabhie Gham sangat sesuai untuk tarian berkenaan.

"Ia bermula dengan muzik perlahan sebagai langkah awal memanaskan badan menjadikan degupan jantung laju kira­kira 30 peratus.

Jika muzik rancak, degupan jantung meningkat laju kepada 70 peratus dan mencecah 80 peratus apabila muzik semakin rancak.

"Kemudian saya tukar rentak perlahan muzik bhangra, menjadikan degupan jantung kembali perlahan dan kemudian diselang-seli pelbagai rentak bhangra," katanya.

Muzik sebegini bagus untuk jantung, selain mampu membakar lemak dan kalori, sekali gus meningkatkan stamina penari berkenaan.

Pernafasan lebih lancar


MEMANASKAN badan kira-kira 10 minit sebelum menari. - Foto Aziah Azmee

Kirenjit berkata, tarian bhangra juga mampu meningkatkan kandungan oksigen dalam paru­paru menjadikan pernafasan bertambah lancar serta pergerakan darah ke seluruh anggota badan mengalir sempurna.

"Apabila menari berlaku perpeluhan, individu disaran minum air kosong bertujuan menyahtoksikkan mereka, sekali gus melancarkan sistem perkumuhan untuk buah pinggang yang sihat.

"Tarian bhangra sebahagian daripada terapi minda. Sebaik latihan bermula, kosongkan fikiran dan hayati setiap pergerakannya.

Justeru, tarian bhangra cabang gaya hidup yang sihat, fikiran pun cergas," katanya yang mempunyai pelajar seawal umur 10 hingga 65.

494 dibaca
PAKAR dan jurulatih tarian bhangra, Kirenjit Singh. - Foto Aziah Azmee
Berita Harian X