Sabtu, 10 March 2018 | 7:17pm

Betulkan postur ketika guna gajet

BAGI sesetengah individu, sakit leher dianggap biasa dengan alasan kemungkinan posisi tidur yang salah atau dianggap sebagai salah bantal. Begitu juga dengan sakit bahagian bahu juga dikaitkan dengan keadaan yang sama.

Kajian membuktikan menggunakan peralatan elektronik antaranya komputer dan telefon bimbit menyumbang kepada kesan sakit pada kedua-dua bahagian berkenaan.

Pakar Radiologi (Kanak-Kanak) Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Faizah Mohd Zaki, berkata cara memegang alatan digital ketika menggunakannya mempengaruhi postur leher seseorang.

"Bermula posisi kepala menegak hinggalah keadaan menunduk, selagi alatan berkenaan berfungsi (tidak dimatikan kerana bateri) keadaannya masih boleh dilihat pada kedudukan yang tidak betul hingga memberi kesan sakit.

"Namun, pada kebiasaannya ada kalanya orang dewasa suka melihat skrin digital dengan posisi leher membongkok. Sebenarnya kaedah berkenaan menjejaskan posisi leher dan menyebabkan sakit tengkuk," katanya kepada BH.

Dr Faizah berkata, kecondongan leher antara 45 hingga 60 darjah menyebabkan pengguna meletakkan beban berat badan antara 22.2 - 27.2 kilogram (kg) pada leher dan kesannya bahagian berkenaan terasa sakit.

Sekumpulan penyelidik dalam kajiannya di sebuah sekolah di bandar, baru-baru ini mendapati, lebih 50 peratus remaja mengalami ketegangan atau sakit leher ketika mereka menggunakan peralatan elektronik.

"Kebanyakan mereka selesa membongkokkan kepala pada kedudukan 45 hingga 60 darjah ketika menggunakan alat berkenaan.

Posisi membengkok

"Posisi membengkok itu menjadi lebih teruk jika tempoh penggunaannya lebih lama, iaitu melebihi satu jam. Kesannya leher dan bahagian bahu mengalami ketegangan dan rasa sakit," katanya kepada BH.

Dr Faizah berkata, ada kanak-kanak tidak menyedari kesakitan itu dan masing-masing beranggapan keadaan itu perkara biasa.

"Lebih malang, mereka tidak memaklumkan kesakitan kepada ibu bapa hingga kesannya berlarutan dan menjejaskan kualiti hidup," katanya.

Menurut Dr Faizah, kebimbangan pakar mengenai fenomena ini meningkat sejak 2014, apabila aliran penggunaan peralatan digital semakin meluas.

Beliau berkata, berkata pakar menyarankan penggunaan alatan ini pada paras mata, tidak membongkok hingga boleh membebankan leher.

798 dibaca
Berita Harian X