Sabtu, 24 Februari 2018 | 5:03pm
Foto hiasan

Kesan ergonomik

Tempat kerja yang memerlukan pekerja mengangkat bebanan berat dan suhu terlalu sejuk atau panas boleh menyumbang kepada kecederaan serta menyebabkan mereka sakit.

Kesannya boleh mengakibatkan pekerja mengalami ketidakupayaan terhadap tugas dilakukan disebabkan penggunaan otot, sendi dan tisu badan yang mengalami keletihan dan kehausan melampau.

Pekerja boleh terdedah kepada risiko penyakit sendi, tulang dan otot atau Musculoskeletal Disorders (MSDs) yang mana lebih berat dan lama bebanan diangkat, lebih tinggi risikonya.

Pakar Perubatan Sukan dan Senaman, Jabatan Ortopedik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Khairullina Khalid, berkata kesannya sama termasuk kecederaan akut (tiba-tiba) atau dalam jangka masa panjang.

"Antara penyakit berisiko dialami akibat mengangkat bebanan berat berlebihan adalah sakit

tulang belakang seperti gelinciran cakera tulang belakang dan risiko kecederaan yang mengakibatkan ligamen terkehel, otot atau tendon tergeliat serta ketegangan otot.

"Suhu terlalu sejuk atau panas juga boleh menyebabkan pekerja mudah mengalami dehidrasi dan kelesuan atau keletihan seterusnya terdedah kepada penyakit MSDs," katanya.

Kedudukan badan salah Keadaan itu diburukkan lagi faktor lain seperti posisi badan yang salah, pergerakan otot atau sendi berulang yang berlebihan dan susun letak tempat kerja yang tidak ergonomik.

Saiz tubuh yang besar atau obes dan merokok boleh menambahkan lagi risiko penyakit MSDs yang menjejaskan kesihatan.

Justeru, amat penting bagi majikan untuk mereka bentuk dan menyusun atur pejabat yang bersifat ergonomik bagi menyediakan persekitaran sihat untuk pekerja.

"Perkakasan pejabat perlu disusun dengan kemas, selamat dan dalam jangkauan yang mudah dicapai supaya tidak mudah dilanggar, terjatuh serta kerusi mengikut ketinggian sesuai dengan permukaan kerja supaya pekerja dapat bekerja dalam posisi badan yang betul.

"Sekiranya banyak menggunakan tangan untuk menaip, sesuaikan ketinggian papan kekunci

sehingga bahu berada dalam keadaan rehat atau neutral, siku pula berada dalam kedudukan yang sedikit bengkok dan pergelangan tangan yang lurus," katanya.

Info

Apakah ergonomik?

Berasal daripada perkataaan Greek yang bermaksud:

-'ergo' adalah tugasan atau pekerjaan.

-'nomos' adalah undang-undang atau sains.

Makna ergonomik:

Hubungan sistem kerja dengan keupayaan manusia bekerja dengan penyesuaian persekitaran kerja, organisasi, pengaturan tempat kerja, peralatan, mesin atau jentera yang digunakan.

Statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO):

- Jumlah pampasan paling tinggi (Tahun 2012 sehingga 2014):

i. sendi

ii. tulang

iii. otot

Jumlah kes

(kebanyakan berkaitan sakit tulang belakang).

i. 2012: 448 kes

ii. 2013: 517 kes

iii.2014: 675 kes

Info

Masalah pergelangan tangan (sindrom Carpal Tunnel):

- paling kerap ditemui dalam kalangan pekerja seperti;

i. pekerja di kilang mesin cetak

ii. jurutaip

iii. pelukis

iv penoreh getah

Gejala Sindrom Carpal Tunnel:

i. Kebas pada ibu jari, jari telunjuk dan sebahagian jari manis

Penyakit pergelangan tangan lain:

i. Radang pada urat dalam komponen pertama (tendon dorsum/De quervain Tenosynovitis).

- pekerja yang banyak menggunakan aktiviti menukul, mengetuk malahan pada pemain profesional sukan raket seperti squash dan badminton.

704 dibaca
Berita Harian X