Sabtu, 24 Februari 2018 | 9:24am

Mengapa pedih ulu hati?

APABILA diserang rasa sakit di bahagian perut sehingga tidak dapat menegakkan badan, pedih ulu hati dan lenguh badan, kebanyakan individu menyangka gejala itu disebabkan angin.

Apakah puncanya dan kenapa tidak berlaku kepada semua orang?

Pengamal Perubatan Swasta, Dr Khairul Idzham Abdul Khalid, berkata semua gejala itu petanda individu diserang gastro oesophageal reflux disease (GERD).

Katanya, GERD atau juga dikenali Asid Reflux Disease adalah kandungan asid dalam perut masuk semula ke dalam saluran pemakanan.

Asid ini akan menyebabkan sel antara saluran pemakanan dan perut lemah kerana asid berjaya menembusi masuk ke saluran pemakanan.

"Angin biasanya digunakan sebagai diagnosis pengecualian kerana pemahaman penyakit angin berbeza pada setiap individu.

"Ada yang mengatakan kembung atau sebu sebagai angin dan sakit badan atau sakit kepala juga sebagai angin," katanya

Makan ikut jadual

Dalam istilah perubatan, penyakit angin ini dikategorikan sebagai GERD, dispepsia, sakit otot (muskuloskeletal pain) atau sakit kepala.

Jika pesakit muntah, sakit perut, sendawa atau buang angin ia berlaku berpunca ada masalah sistem pencernaan dalam badan.

"Justeru, ada kemungkinan ia adalah angin yang merujuk kepada sakit seperti GRED atau dispepsia.

"Bagi sakit badan ia merujuk kepada masalah sistem otot dan sendi dikenali sebagai muskuloskeletal," katanya.

Dr Khairul Idzham, berkata amalkan pemakanan sihat, mengikut jadual dan tidak membiarkan perut kosong penting untuk mengelakkan keadaan berterusan.

Katanya, jika mengamalkan pemakanan sihat, ia menghalang penghasilan asid dalam perut dan jika dibiarkan akan menyebabkan reflux atau pengaliran semula ke dalam saluran pemakanan (esofagus).

Perut menjadi lemah

Asid ini menyebabkan perut lemah kerana asid menembusi saluran pemakanan dan masalah itu kerap berlaku kepada lelaki.

"Bagi wanita berpantang lebih mudah terkena angin kerana mereka lebih banyak menggunakan tenaga untuk menguruskan dan menyusu bayi.

"Ini menyebabkan perut mereka lebih cepat kosong," katanya.

Selain itu, sesetengah makanan menyebabkan angin dan seelok-eloknya makan dalam kuantiti sederhana.

"Contohnya timun, petola, cempedak, nangka, petai, kopi, teh dan bersantan, selain berhenti merokok dan minuman beralkohol," katanya.

Komplikasi ini menyebabkan salur pemakanan menyempit, ulser dan paling bahaya berisiko mendapat kanser.

Gejala angin

  • Kembung perut, loya, kurang selera, sakit perut,lenguh badan, sakit kepala, sendawa dan tidak dapat melepaskan angin .

Rawatan

  • Ubat-ubatan membuang angin seperti simetricon, dimetricon atau ubat antisid.
  • Bagi angin yang menyebabkan sakit badan , ubat diberikan adalah ubat tahan sakit dan ubat melegakan otot.

20196 dibaca
Berita Harian X