Selasa, 21 November 2017 | 10:23pm
PENGHUNI CCSC Alor Gajah menjalankan aktiviti harian bagi program Kebun Komuniti Dalam Taman @ Urban Farming di CCSC, Alor Gajah. - Foto Rasul Azli Samad

Inspirasi kebun komuniti CCSC Alor Gajah

ALOR GAJAH: Siapa sangka tanah rizab terbiar di belakang premis Pusat Khidmat Pulih dan Rawat (CCSC) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Alor Gajah, di sini, boleh berubah menjadi sebuah kebun komuniti berkonsepkan 'urban farming'.

Dulunya penuh dengan semak-samun, kini kawasan seluas hampir setengah hektar itu dibangunkan sendiri oleh 10 penghuni (klien) CCSC Alor Gajah dengan pelbagai tanaman kontan termasuk sayur-sayuran hijau, tanaman pisang, cili padi, terung, serai, kentang dan buah-buahan.


PENGHUNI CCSC Alor Gajah memetik cili di kebun komuniti. - Foto Rasul Azli Samad

Malah, memasuki sahaja pintu masuk ke kebun komuniti CCSC Alor Gajah, pengunjung pasti terpegun dengan rimbunan tanaman kampung seperti daun kunyit, daun kesum, serai, daun pandan, ulam raja, pegaga dan pelbagai tanaman herba lain.

Ketua Pegawai AADK Alor Gajah, Noralizah Kasmin, berkata pengalamannya sebelum ini selaku Ketua Unit Latihan dan Vokasional di Pusat Serenti Jelebu, Negeri Sembilan, secara tidak langsung membuka ruang untuk mengubah CCSC Alor Gajah dengan pelbagai aktiviti sampingan berbentuk latihan dan vokasional.

"Sebagai Ketua Unit Latihan dan Vokasional di Pusat Serenti Jelebu, lebih 200 penghuni di sana didedahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk pertanian, cuci kereta dan menjahit.


NORALIZAH (kiri) memantau segala aktiviti harian di CCSC Alor Gajah. - Foto Rasul Azli Samad

"Sebaik bertugas di CCSC Alor Gajah mulai September 2013, saya lihat ada banyak aktiviti boleh dibuat untuk klien. Melihat pula tanah terbiar di belakang pusat khidmat ini, saya minta klien supaya diwujudkan kitchen garden menerusi tanaman daun pandan, serai, daun kunyit dan daun kesum," katanya ketika ditemui di CCSC Alor Gajah, di sini.

Noralizah berkata, projek awal peserta CCSC Alor Gajah itu mendapat perhatian penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang melakukan rondaan sebelum mengesyorkan supaya membuat kertas kerja kepada Yang Dipertua MPAG, Datuk Murad Husin untuk memajukan tanah terbiar.

Malah, katanya, MPAG bersama Jabatan Pertanian Melaka turut sepakat untuk menyediakan peralatan dan peruntukan bagi menjayakan kebun komuniti itu melalui program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang terbukti berhasil sehingga dapat menjana pendapatan lumayan.


TARO (kiri) diajar cara memasak di CCSC Alor Gajah. - Foto Rasul Azli Samad

"Apa yang membanggakan, kebun komuniti ini turut mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang hadir serta mahukan lebih banyak pihak lain bekerjasama. Malah, kami berbangga apabila hasil tanaman ini digunakan sepenuhnya untuk masakan, selain selebihnya dikongsi bersama penduduk setempat.

"Di CCSC Alor Gajah, kita sentiasa menerapkan pendekatan secara sukarela. Malah, selama kira-kira tiga hingga enam bulan mereka di sini, program pertanian ini antara yang diterapkan sebagai sebahagian daripada terapi minda untuk menghindarkan mereka daripada terbabit najis dadah," katanya.

Sementara itu, Mat (bukan nama sebenar), 38, berkata sepanjang berada di situ dia memperoleh banyak ilmu dan latihan khususnya berkaitan tanaman yang boleh dimanfaatkan sebaik keluar dari CCSC Alor Gajah.

"Melihat hasil tanaman berbuah serta mampu menjana pendapatan, ia memberi kepuasan. Umpama penat lelah kita dibalas sebaik melihat pulangan hasil daripada tanaman yang dikerjakan bersama," katanya yang mahu memulakan hidup baharu.


NORALIZAH (kanan) menunjukkan jadual aktiviti harian penghuni di CCSC Alor Gajah. - Foto Rasul Azli Samad

Taro (bukan nama sebenar) 16, berkata dia mulanya memberontak sebaik dihantar ahli keluarga di pusat berkenaan. Bagaimanapun, dalam tempoh seminggu dia mengakui mula serasi dan gembira apabila modul secara sukarela serta bentuk latihan yang memberi seolah-olah peluang kedua buat dirinya untuk memperbaiki kehidupan.

"Selain dapat belajar bercucuk tanam, selepas ini juga saya nekad untuk meneruskan minat dengan menyambung latihan di kolej komuniti dalam bidang enjin. Saya tidak mahu menghampakan kedua-dua ibu bapa dan keluarga," katanya.

Sementara itu, Sier (bukan nama sebenar) 17, berkata dia bersyukur kerana dihantar segera ke CCSC Alor Gajah selepas ketagih syabu.


KAWASAN riadah di CCSC Alor Gajah. - Foto Rasul Azli Samad

"Walaupun hanya berada di sini selama kira-kira enam bulan, pelatih dapat banyak pendedahan dalam pendidikan, pendidikan agama, kelas memasak, pengurusan diri, serta aktiviti berkebun pada sebelah pagi dan petang.

"Selain berkebun, di sini juga kami mempunyai sangkar arnab, serta ternakan ikan air tawar yang dapat memberikan latihan serta pendedahan buat pelatih selepas keluar dari CCSC Alor Gajah," katanya.

INFO
Kebun Komuniti CCSC Alor Gajah:

  • Antara tanaman termasuk pokok pisang, pokok jambu, cili padi, terung, kentang, daun kunyit, serai, daun kesum.
  • Setengah hektar anggaran keluasan tanah dibangunkan.
Berita Harian X