Jumaat, 8 September 2017 | 8:19pm

Putus kaki kerana negara

BIARPUN putus pergelangan kaki kiri dan cacat seumur hidup selepas terkena jerangkap samar komunis pada tahun 1976, ia tidak pernah dianggap sebagai kekurangan buat bekas anggota tentera, Hussin Mahbeb.

Sebaliknya, keadaan itu tanda jati diri sebagai pembela negara buat bekas anggota komando Rejimen Gerak Khas (RGK) Sungai Udang, Melaka berusia 68 tahun itu, walaupun dianggap sebagai wira tidak didendang.

Malah, tiada juga sekelumit kekesalan dalam hati beliau memilih tentera sebagai kerjaya untuk menyara diri dan keluarga, apatah lagi terpaksa meninggalkan serpihan anggota kaki di sempadan Malaysia-Thailand akibat insiden berkenaan.


BEKAS komando, Hussin Mahbeb , 68, menunjukkan kakinya yang cacat akibat jerangkap samar ketika operasi menghapuskan pengganas komunis pada 1976. - Foto Nazri Abu Bakar

Hussin berkata, dia menyertai tentera pada 24 April 1970 dengan menjalani latihan selama empat bulan di Port Dickson, Negeri Sembilan, sebelum diserapkan ke kumpulan pertama percubaan komando di Kem Sungai Udang.

Diuji dari segi fizikal dan mental sebagai anggota komando yang agresif, termasuk tempur tanpa senjata serta latihan 'luar biasa' melayakkan dirinya tersenarai dalam skuad elit Tentera Darat berkenaan.

Sebaik tamat menjalani latihan dan diserapkan dalam Skuadron Ketiga Terup 1 RJK, beliau kemudiannya terbabit dalam Operasi Kemubu, Kelantan pada awal 70-an.

Katanya, kisah beliau terkena jerangkap samar bermula apabila terbabit dalam Ops Gubir 2 pada 21 April 1976 bersama anggota lain bagi menggempur kubu kuat komunis menerusi gabungan udara dan darat, malah operasi itu turut diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.


BEKAS komando, Hussin Mahbeb , 68, ketika dipakaikan sayap penerjunan pada 1972 di Kem Sungai Udang, Melaka. - Foto Nazri Abu Bakar

"Bagaimanapun, ia tidak pernah melunturkan jiwa saya dan rakan sepasukan lain dengan turun ke kawasan berkenaan walaupun terpaksa meneroka kawasan hitam sarang komunis.

"Perjalanan menuju ke kubu komunis amat sukar kerana beratus, malah beribu jerangkap samar yang dipasang bersambung antara satu sama lain, jadi kami perlu berhati-hati untuk mengelak sebarang kemalangan jiwa.

"Namun, nasib malang menimpa saya apabila terpijak jerangkap samar yang menyebabkan saya melambung beberapa meter sehingga menyebabkan pergelangan kaki kiri hancur," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sungai Udang, baru-baru ini.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata, darah yang mengalir laju akibat kehilangan pergelangan kaki menyebabkan bantuan terpaksa dilakukan secara berhati-hati bagi membawanya keluar dari kawasan operasi dengan mengambil tempoh selama kira-kira 30 minit.

"Saya yang diangkat menaiki helikopter turut terselamat daripada maut apabila tembakan yang dilepaskan beberapa anggota komunis yang bersembunyi di dalam hutan ke arah helikopter tersasar.

"Walaupun melalui peristiwa hitam ini, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat perjuangan saya dengan tetap bertugas dalam tentera sehingga bersara sebagai Pegawai Waran II pada tahun 1992," katanya yang terpaksa menempah kasut khas bagi membolehkannya berjalan seperti keadaan sebelum ini.


BAGI Hussin Mahbeb , 68, putus pergelangan kaki kiri tidak pernah dianggap sebagai kekurangan. - Foto Nazri Abu Bakar

Antara operasi yang pernah disertai oleh Hussin, termasuk di Hutan Bentong, Pahang; Sungai Siput, Perak dan Kemubu, Kelantan yang pada ketika itu menjadi pusat operasi komunis.

Beliau juga dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM), iaitu penghargaan oleh kerajaan terhadap jasa dan bakti yang dicurahkan, terutama ketika darurat, selain anugerah Bentara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kurnia Perutusan Keberanian (KPK).

"Sebenarnya, saya tidak pernah mengharapkan jasa dikenang, tetapi cukuplah negara ini sentiasa aman dan kekal merdeka.

"Berapa ramai anggota tentera lain yang terkorban mahupun hilang anggota badan dan cacat seumur hidup demi mempertahankan kedaulatan negara daripada dijajah," katanya.

Sementara itu, isteri Hussin, Roaini Abe, 63, berkata hanya tuhan yang mengetahui perasaannya apabila mendengar berita mengenai suaminya yang terkena jerangkap samar ketika sedang mengandung anak ketiga.

"Saya dibawa menaiki kereta api menuju ke Alor Setar, Kedah dalam keadaan pengsan untuk menemui suami dan tinggal lebih sebulan di hospital untuk menjaganya.  

"Apa yang mengejutkan, walaupun suami saya hilang sebahagian kaki kirinya, namun ia tidak mematahkan semangat tiga daripada enam anak saya untuk meneruskan perjuangan sebagai anggota tentera walaupun setiap hari melihat 'kesan' kecederaan bapa mereka," katanya tiga daripada menantunya juga anggota tentera, selain seorang cucu yang kini belajar di Maktab Tentera Darat Sungai Besi.

Berita Harian X