Jumaat, 8 September 2017 | 8:14pm
PROSEDUR laparoskopik tangani masalah dengan selamat.

Payung khas tutup jantung berlubang

MASALAH jantung berlubang pada dinding atrium atau Atrial Septal Defect (ASD) kini boleh ditutup dengan mudah menggunakan payung khas menerusi kaedah selamat, cepat dan murah.

Prosedur menggunakan kaedah pembedahan lubang kunci atau laparoskopik itu memakan masa antara 45 minit sehingga satu setengah jam saja.

Berbanding pembedahan jantung terbuka, kaedah baharu itu hanya meninggalkan parut kecil, tidak menyakitkan dan tempoh tinggal di dalam wad pula hanya dua hari.

Pakar Perunding Kardiologi Intervensi Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Yap Yee Guan, berkata payung berkenaan dimasukkan melalui kateter.

Imej jelas lubang dalam jantung


PAKAR Perunding Kardiologi Intervensi Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Yap Yee Guan. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Prosedur berkenaan, kata beliau kemudiannya disalurkan melalui pangkal paha ke jantung seterusnya menerusi lubang pada dinding jantung.

"Proses memasukkan payung dijalankan di bawah pengawasan atau panduan sinar X dan ultra bunyi.

"Pengawasan sedemikian memberikan imej jelas keadaan lubang di dalam jantung.

"Payung atau Amplatzer yang diperbuat daripada nikel dan titanium serta fabrik khas untuk perubatan. Alat ini bersifat elastik akan dibuka apabila melepasi lubang pada dinding kanan dan kiri jantung bagi menutup lubang pada kedua dua belah dinding jantung," katanya.

Bertahan sepanjang hayat

Menerusi kaedah ini, Dr Yap berkata, lubang tidak perlu dijahit dan boleh bertahan sepanjang hayat serta kembali menjalani kehidupan seperti biasa dalam tempoh singkat.

Lebih menarik, kaedah ini katanya, boleh dijalankan ke atas hampir 70 peratus pesakit ASD termasuk bayi dan kanak-kanak yang tidak mengalami masalah jantung lain.

ASD adalah penyakit secara kongenital atau sejak lahir apabila terdapat lubang pada dinding antara bilik kiri dan kanan atrium.

Ini menyebabkan darah yang mengandungi oksigen dari atrium kiri masuk semula menerusi lubang berkenaan ke atrium kanan yang mengandungi darah rendah oksigen.

Elak paru-paru menjadi keras

Keadaan ini menyebabkan berlakunya peningkatan kuantiti darah yang mengalir ke paru-paru.

Tekanan juga akan meningkat di dalam atrium dan paru-paru menyebabkan komplikasi sukar bernafas, paru-paru menjadi keras dan oksigen di dalam darah menurun serta menjadi biru.

Masalah lain mungkin timbul kata Dr Yap adalah denyutan jantung tidak normal dan meningkatnya risiko strok apabila darah beku di dalam jantung sampai ke otak.


PEMBEDAHAN laparoskopik dijalankan dengan panduan imej imbasan sinar X dan ultra bunyi.

Info:

*Proses jantung normal:

- Jantung ada empat bilik dipisahkan oleh dinding dikenali sebagai Septum:

Bahagian atas

* Atrium kiri dan kanan.

Bahagian bawah

* Ventrikel kiri dan kanan.

Bagaimana jantung bekerja:

Bahagian kanan

* Mengepam darah dari organ ke paru-paru untuk mendapatkan oksigen (darah biru).

Bahagian kiri

* Menerima darah kaya oksigen dari paru-paru dan pam ke seluruh tubuh (darah merah).

Bagaimana lubang pada dinding terbentuk?

* Jantung terbentuk ketika bayi dalam kandungan.

* Dinding terbentuk selapis dan selapis lagi tumbuh perlahan-lahan dan tidak tertutup sepenuhnya meninggalkan lubang.

* Apabila bayi dilahirkan, perubahan kimia di dalam tubuh akan menutup lubang berkenaan tetapi ada yang tidak tertutup.

* Lubang bersaiz lebih 7 milimeter boleh mendatangkan masalah.

* Bagi lubang kecil, masalah akan timbul selepas usia 40 tahun (lelaki) dan 45 (wanita).

Saringan kesihatan jantung:

* Penting untuk mengesan lubang di dalam jantung.

(ekokardiogram).

Berita Harian X