Jumaat, 8 September 2017 | 5:35pm
PAKAR Perunding Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin. - Foto Owee Ah Chun.

Gigitan anjing gila ragut nyawa

Pakar Perunding Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court

SERANGAN rabies mencetuskan kebimbangan umum sebelum ini menyerang mangsa di Serian Sarawak, membabitkan lima kes kematian.

Penyakit disebabkan virus Lyssavirus dibawa haiwan seperti anjing dan kucing yang sudah dijangkiti dengan virus berkenaan.

Virus berjangkit melalui gigitan, luka terbuka pada kulit, air liur atau cairan serta tisu badan haiwan berkenaan kepada manusia.

Rabies menyerang saraf serta otak, juga dibawa beberapa spesies haiwan lain iaitu musang dan kelawar.

Bagaimanapun dua haiwan yang paling rapat dengan manusia iaitu anjing dan kucing sebagai ejen pembawa virus yang membawa maut.

Tidak ada rawatan khusus

Apabila sudah menyerang manusia, tidak ada sebarang rawatan khusus. Mangsa hanya diberikan rawatan sokongan termasuk pemberian antibiotik dan bantuan pernafasan bagi membolehkan mereka terus bertahan melawan penyakit.

Bagaimanapun hampir 100 peratus daripada kes yang dilaporkan menyebabkan mangsa tidak dapat diselamatkan lagi.

Setakat ini walaupun keadaan terkawal, sebagai langkah berjaga-jaga perlu diberi perhatian serius. Umum perlu lebih berwaspada bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada risiko.

Masyarakat terutama kanak-kanak perlu lebih berhati-hati apabila bermain dengan haiwan peliharaan, elakkan daripada berinteraksi bersama haiwan jalanan bagi mengelak daripada jangkitan.

Segera ke klinik berhampiran

Sebagai contoh, jika seseorang kanak-kanak atau orang dewasa yang digigit haiwan berkenaan, mereka disaran terus mendapatkan rawatan segera ke klinik berhampiran.

Kesan serangan virus dapat dilihat selepas beberapa minggu atau bulan selepas mangsa diserang.

Kes sebelum ini membabitkan kanak-kanak memandangkan sistem imun golongan ini yang tidak kuat berbanding orang dewasa.

Mangsa dilaporkan diserang beberapa minggu sebelum mengalami simptom seperti demam, sakit kepala, lemah badan seterusnya koma dan meninggal dunia.

Peratusan kematian bagi setiap kes sangat tinggi dan sebahagian besar mangsa meninggal dunia walaupun selepas mendapat rawatan intensif dalam tempoh tertentu.

Elak interaksi haiwan jalanan

Sebagai langkah pencegahan, awasi pergerakan anak anda, jauhkan mereka daripada berinteraksi dengan ejen pembawa bagi mengelak risiko serangan.

Bagi pemilik pula, mereka perlu lebih peka kepada tahap kesihatan binatang peliharaan. Jika haiwan berkenaan didapati tidak sihat, bawa jalani pemeriksaan di klinik haiwan berhampiran dapatkan vaksin anti rabies sebagai langkah pencegahan.

Langkah pencegahan secara holistik perlu dilaksanakan segera dan menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan mengawal pembiakan anjing terutama di kawasan perumahan.

Peka kepada aduan penduduk dan jalankan langkah drastik dengan menangkap dan menghapuskan haiwan berkenaan bagi mengurangkan merebaknya jangkitan virus.

Langkah pencegahan:

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan air mengalir.
  • Hilangkan kesan air liur.
  • Segera ke klinik berhampiran sebagai rawatan awal selepas digigit haiwan peliharaan yang agresif.
  • Pastikan anjing atau kucing mendapat suntikan antirabies.
  • Hubungi pihak pengurusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar jika haiwan peliharaan anda tidak sihat atau bersifat agresif.

Fakta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sehingga Mac 2017

  • Rabies virus yang boleh dicegah dengan vaksin.
  • Berlaku di lebih 150 negara dan wilayah.
  • Dianggarkan sehingga 99 peratus daripada kes kematian disebabkan gigitan anjing.
  • Lebih 95 peratus kematian manusia berlaku di rantau Asia.
  • Sehingga 40 peratus mangsa yang digigit adalah kanak-kanak di bawah usia 15 tahun.
  • WHO, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE), Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dan Perikatan Global Kawalan Rabies menetapkan sasaran global "sifar kematian rabies manusia pada tahun 2030".
  • Lebih daripada 15 juta orang di seluruh dunia menerima suntikan selepas gigitan.
205 dibaca
Berita Harian X