Selasa, 2 Oktober 2018 | 1:38pm
Rumah Api Bukit Jugra. - Foto Zubir Mohd Yunus
Pengunjung bersantai di tepi Rumah Api Bukit Jugra, pada hujung minggu. - Foto Zubir Mohd Yunus

Rumah Api Jugra mercu ilmu pelayaran silam

PEREDARAN zaman menjadikan rumah api produk pelancongan popular sebagai mercu tanda sebuah negeri mahupun negara.

Wujudnya bukan sekadar ‘besi buruk’ yang menanti masa untuk roboh. Bahkan rumah api itu sendiri mempunyai nilai sentimental, selain menampilkan panorama indah kerana kedudukannya terletak di tempat tinggi dan terbuka.

Matlamat asal pembinaan sebagai menara membantu ahli pelayaran, jurumudi atau nakhoda kapal untuk belayar dan berlabuh ke daratan dengan selamat.

Kini, ilmu pelayaran disokong sistem satelit angkasa lepas. Setakat ini tiada keperluan membina rumah api baharu kerana kapal laut menggunakan satelit seperti Sistem Kedudukan Sejagat atau Global Positioning System (GPS) sebagai panduan.


Jugra antara destinasi pelancongan menarik untuk diterokai. - Foto Zubir Mohd Yunus

Malaysia juga tidak ketinggalan dengan keunikan rumah api di kawasan tinggi atau pesisiran pantai yang strategik. Sebahagian daripada rumah api ini menjadi destinasi tarikan pelancong seperti Rumah Api Bukit Melawati di Kuala Selangor.

Sebuah lagi rumah api di Selangor dan tidak kurang juga popularnya sehingga hari ini adalah Rumah Api Bukit Jugra.

Jugra terletak di daerah Kuala Langat, Selangor berdekatan Kampung Kanchong Darat, Banting. Kedudukan Jugra sangat strategik.

Lokasi menghadap Selat Melaka dan berdekatan muara Sungai Langat, kini dimajukan sebagai kota maritim. Jugra pula meliputi kawasan Bukit Jugra, Pantai Kelanang, Kampung Sungai Arak dan Kampung Chodoi.

Kini, Jugra menjadi destinasi pelancongan popular di daerah Kuala Langat. Pastinya tarikan utama di sini ialah Rumah Api Bukit Jugra. Dulu, ia memainkan peranan penting kepada jurumudi dan nakhoda kapal di laut kerana lokasinya yang strategik apabila menghadap Selat Melaka.


Menampilkan panorama indah kerana kedudukannya terletak di tempat tinggi dan terbuka. - Foto Zubir Mohd Yunus

Menara konkrit putih Rumah Api Bukit Jugra dibina lengkap dengan sistem pencahayaan. Manakala julat penglihatannya ialah 24 batu nautika. Ciri lampu yang digunakan ialah F1.W.10s.

Kini, tempat itu diselenggara pihak Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Tengah), sekali gus menjadi destinasi riadah atau perkelahan warga kota dan penduduk tempatan.

Tapak Rumah Api Bukit Jugra sering dijadikan lokasi sukan ekstrem, paragliding. Selain itu, tarikan lain di Bukit Jugra antaranya Kompleks Makam diraja Selangor. Di dalamnya terdapat makam Almarhum Sultan Abdul Samad yang mangkat pada Februari 1898.

Info: Rumah Api Bukit Jugra

* Ketinggian dari paras laut - 146 meter

* Terdapat 43 rumah api di Malaysia

* Diuruskan Jabatan Laut Malaysia, iaitu 14 di Semenanjung, 22 (Sabah) dan selebihnya Sarawak

* Antara rumah api terkenal di Malaysia

- Termasuk Rumah Api Fort Cornwallis, Pulau Pinang

- Rumah Api Tanjung Tuan (Melaka)

* Rumah api terkemuka dunia ialah Jeddah Light, Jeddah di Arab Saudi (ketinggian 133 meter)

* Rumah Api Iskandariah di Mesir, rumah api tertua di dunia.

* Dibina oleh Raja Firaun zaman Mesir Keyunanian (ketinggian 135 meter)

192 dibaca
Berita Harian X