Ahad, 6 Mei 2018 | 12:24pm
SUNGAI mengalir dari kaki Gunung Kinabalu adalah panorama indah Eko-Pelancongan Kampung Polumpong, Kota Belud. - Foto NSTP
EKO-PELANCONGAN Kampung Terintidon, Kota Belud meninggalkan kenangan indah kepada penulis (kanan) sekeluarga. - Foto NSTP

Kota Belud nan indah

KOTA BELUD, bukan destinasi pilihan utama jika ke Sabah. Biasanya Kundasang, Ranau; Semporna dan pulau sekitar Kota Kinabalu menjadi pilihan pertama pelancong pada setiap hujung minggu atau cuti sekolah.

Namun, penulis sekeluarga memilih daerah di utara Sabah yang mendapat nama daripada bahasa Bajau iaitu `Kota' yang bermaksud kubu dan `Belud (bukit) itu, selain meneroka daerah di sekitarnya seperti Pitas dan Kota Marudu.

Semua tempat itu jarang dikunjungi, tetapi mempunyai keunikan tersembunyi.

Destinasi pertama dikunjungi ialah Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang, 24 kilometer (km) dari pekan Kota Belud.

Penulis yang menggunakan laluan darat dari Kundasang melalui jalan pintas Ranau-Kota Belud, singgah di perkampungan masyarakat Kadazandusun itu kerana mahu menikmati pengalaman `kaki digigit manja' ikan kelah atau dalam bahasa tempatan, `pelian' di taman larangan.

Singgah di taman larangan

Penulis sebut taman larangan kerana ikan berkenaan dalam lingkungan sistem `tagal' iaitu kaedah pengurusan biosfera popular di Sabah dengan ikan di sungai dihadkan pada kawasan tertentu bagi tujuan pemuliharaan dan mengekalkan sumber itu daripada pupus.

Orang ramai dilarang memancing, menangkap, menjala atau apa juga cubaan membawa keluar ikan dari sungai kecuali pada musim yang dibenarkan mengikut persetujuan majoriti penduduk kampung yang termaktub dalam adat anak negeri dan melanggar peraturan itu boleh didakwa di Mahkamah Anak Negeri (Native Court).

Bukan tidak mahu pergi ke kawasan tagal popular di Ranau tetapi ingin menjejakkan kaki ke tempat yang belum pernah dikunjungi sebelum ini. Sememangnya keputusan itu tepat, kawasan tagal sangat memukau hati dan perasaan.


BERENDAM di Sungai Penataran yang mengalir di Polumpong Melangkap View Camp Site

Jerih air bagaikan kristal

Kejernihan air Sungai Kadamaian bagaikan kristal mengalir terus dari kaki Gunung Kinabalu begitu mengasyikkan. Sungai berbatu kecil ini agak cetek namun, air mengalir deras ini amat sesuai untuk kunjungan keluarga bermandi-manda khususnya yang membawa anak kecil.

Dengan berumpankan makanan ikan yang diletakkan di tapak tangan, ikan seperti ikan `pelian' datang dan menggigit-gigit manja tangan dan kaki. Menjerit-jerit anak-anak yang tidak biasa dengan situasi sebegini, ibarat takut tetapi menyeronokkan.

Pondok rehat di kawasan ini bercirikan tradisional masyarakat Kadazandusun yang beratap nipah dan berlantai buluh.

Dengan bayaran masuk yang murah dan pengunjung boleh berada di sini mengikut tempoh masa yang disukai. Memang puas hati dan boleh dicadangkan kepada rakan-rakan untuk berkunjung di sini.


BERSANTAI di Kundasang sebelum bertolak ke Kota Belud. - Foto NST

Teroka alam semula jadi

Dari Kampung Lingkubang, penulis sekeluarga meneruskan perjalanan ke Polumpong Melangkap View Camp Site juga di Kota Belud. Memang percutian kali ini, memilih untuk meneroka alam semula jadi, oleh itu kelengkapan berkhemah ditempah lebih awal.

Seperti dijangka, destinasi ini turut menarik perhatian pengunjung tempatan untuk berkhemah di tepi aliran Sungai Penataran yang berpunca daripada Gunung Kinabalu juga.

Kami tiba hampir senja, oleh itu setelah siap mendirikan khemah, kami sibuk menyediakan makan malam. Rata-rata pengunjung menikmati `barbeque' kerana aroma bakar semerbak wangi di sekeliling tapak perkhemahan yang ada lebih kurang 20 keluarga pada malam itu.

Seawal pagi di Polumpong, cuaca baik dan puncak Gunung Kinabalu terpampang di depan mata. Air sungai yang sangat sejuk dan jernih berlatar belakangkan gunung ibarat lukisan pada kanvas.

Setiap pengunjung tidak melepaskan peluang merakamkan saat-saat indah dengan sungai yang berbatu-batu memberikan identiti terbaik di kawasan ini. Peluang berendam dan bermandi-manda tidak dilepaskan sehingga puas.

Aktiviti mendaki bukit

Perjalanan diteruskan dengan meneroka satu lagi kawasan yang jarang diterokai iaitu eko-pelancongan Kampung Terintidon, Kota Belud.

Perjalanan ke sini agak jauh sedikit daripada simpang masuk jalan utama. Daripada jalan besar ke jalan yang lebih kecil hingga ke jalan batu kerikil, akhirnya sampai ke kampung yang tersusun dan dihias cantik dengan hiasan tayar kenderaan yang digubah menjadi pasu bunga pelbagai bentuk di setiap rumah.

Diusahakan oleh Persatuan Penduduk Kampung Terintidon sendiri, ekopelancongan ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti aktiviti mendaki Bukit Garas, perkhemahan dan mandi-manda.

Menariknya, setiap kunjungan akan dipandu oleh penduduk tempatan yang akan memastikan keadaan air selamat untuk mandi dan mendaki jika mahu ke Bukit Garas.

Setiap keluarga disediakan `walkie talkie' dan mereka saling memaklumkan perkembangan sungai supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Tali merintangi sungai dipasang agar pengunjung yang mandi dapat memegang tali dek arus yang deras.

Inilah sungai paling hijau yang pernah ditemui penulis dengan aliran air yang jernih tetapi deras. Inilah landskap kehijauan yang dianugerahi tuhan kepada manusia untuk menjaganya dengan baik.


MENITI jambatan gantung antara kegiatan wajib di kawasan eko-pelancongan di Kota Belud. - Foto NSTP

Rentas jambatan gantung

Jambatan gantung merentasi ke Bukit Garas memberikan pengalaman unik apabila berada di tengah-tengah jambatan dengan keadaan di bawahnya air sungai mengalir deras.

Pengalaman meneroka tiga lokasi eko-pelancongan di Kota Belud memberikan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Keazaman yang tinggi untuk datang lagi ke Kota Belud untuk meneroka hutan semula jadi yang bersih.

Rupa-rupanya banyak lagi kawasan eko-pelancongan yang jarang diterokai pelancong.

Sepanjang Sungai Kadamaian saja, sejumlah 40 ekopelancongan menawarkan keindahan alam semula jadi dan tagal kepada pengunjung dengan dikendalikan sepenuhnya oleh masyarakat di kawasan kampung.

Dalam perjalanan ke Kota Marudu dan Pitas penulis sempat belajar sepatah dua bahasa Bajau yang sinonim dengan Kota Belud iaitu `Pesorong kam' (Selamat datang),`Eyan abar?' ( apa khabar?) dan "abar alap" (khabar baik).

Kota Belud tetap menjadi pilihan hati jika ke negeri di Bawah Bayu. Benar kata seorang rakan dari daerah ini yang penulis kenali 18 tahun lalu, lengkap sebagai pelancongan alam semula jadi yang menawarkan gunung tersergam gagah, sungai yang bersih dan jernih, pantai yang memutih, pulau yang menawan, sawah menghijau dan dasar laut mempesonakan.

Info

Ekopelancongan Tagal Kampung Lingkubang

• Kampung Lingkubang terletak kira-kira 28 km dari pekan Kota Belud

• Boleh membawa kenderaan sendiri

* Jalan jalan raya bertar, walaupun sesekali melalui jalan batu kerikil

• Harga tiket untuk warga Malaysia RM3 (dewasa) dan RM2 (tujuh tahun hingga 18 tahun)

Ekopelancongan Polumpong Melangkap Camp Site

• Kampung Melangkap Baru terletak kira-kira 29 km dari pekan Kota Belud.

• Harga tiket RM3 (dewasa) dan RM2 (kanak-kanak) manakala OKU dan warga emas percuma

• Yuran Menginap (Berkhemah), kadar tiket RM6 (dewasa) dan RM4 (kanak-kanak)

Ekopelancongan Kampung Terintidon

• Terletak kira-kira 23 km dari pekan Kota Belud.

• Semua kenderaan boleh sampai di kawasan perkampungan ini.

Bagaimana datang ke Kota Belud?

- Ada penerbangan terus dari Kuala Lumpur Ke Kota Kinabalu

- Jarak Kota Kinabalu ke Belud hanya 70 km

217 dibaca
Berita Harian X