Ahad, 1 April 2018 | 11:41am

Pengalaman main salji di bumi Korea

ANNYEONGHASEYO! Sebaik diumumkan juruterbang bahawa hanya beberapa minit sahaja lagi pesawat akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul semua penumpang bingkas bangun.

Cuaca dingin daripada luar pesawat mulai terasa (berbeza sejuk penghawa dingin dalam pesawat) dan cermin tingkap juga agak berkabus.

Kalau tidak kerana ingin merasai pengalaman bermain salji, empat beranak iaitu Shaiful Asri Md Yusoff, Rohaya Saed, Aida Zakirah dan Asma Zafirah tidak sampai ke sini.

"Kami berlepas kira-kira jam 1 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) dan sampai di Seoul pada jam 7.20 pagi (waktu tempatan) iaitu tujuh jam penerbangan.

"Kami disambut pemandu pelancong dan diminta terus menaiki bas, manakala beg pakaian yang dibawa diuruskan kakitangan agensi pelancongan.

"Kami kemudian diminta memakai pakaian tebal kerana suhu di Seoul ketika itu sekita 5-2 darjah Celcius. Apa lagi menggelupur mencari baju panas, malah ada juga yang menggunakan kain selimut untuk membalut tubuh badan," katanya kepada BH.

Kata Shaiful, di hari pertama lagi rombongan mereka dibawa melawat Istana Gyeongbokgung (Istana Maharaja Dinasti Joseon, 1395), Muzium Rakyat Kebangsaan dan Rumah Biru Presiden (Cheong Wa Dae).


Menunggu kereta kabel untuk bermain ski di Ski World.

Suhu sekitar 2 hingga 5 darjah Selsius cukup mencabar.

"Kemudian kami dibawa membeli belah di Pasar Dongdaemun dan menikmati juadah makan tengah hari di restoran tempatan (restoran Islam) di situ. Kami kemudian dibawa ke Masjid Itaewon, Seoul bagi menunaikan solat.

"Selepas mengambil suar foto di kawasan sekitarnya, rombongan dibawa ke Muzium Silap Mata di Hongdae Street yang memaparkan pelbagai lukisan 3D begitu mengasyikkan. Terpukau Aida Zakirah dan Asma Zafirah melihat lukisan berkenaan yang seakan betul.

"Pengunjung juga dibawa ke sebuah restoran di kawasan sekitar, diajar membuat Kimchi dan memakai pakaian tradisional orang Korea, Han Bok.

"Di sebelah petang pula, kami dibawa ke Menara Seoul iaitu menara komunikasi seperti Menara Kuala Lumpur di Malaysia. Menariknya di sini terdapat 'Love Lock Trees' iaitu pokok yang menempatkan mangga kunci di mana anaknya dibuang mereka yang bercinta seolah-olah cintanya kukuh terkunci selamanya," katanya.

Hari Kedua ekspedisi amat teruja buat empat beranak ini apabila mereka ke Pulau Nami untuk bermain ski dan salji yang tidak terlintas di fikiran.

Bak kata orang, tidak lengkap melawat Korea tanpa pergi ke Pulau Nami yang juga menjadi destinasi idaman ramai selepas popular menjadi lokasi penggambaran drama sensasi Korea, Winter Sonata.

Terletak 63 kilometer (km) dari Seoul, memakan masa hampir empat jam untuk sampai ke pulau ini, lebih-lebih lagi laluan penuh dengan salji.

"Di pertengahan jalan, kami singgah di restoran untuk menikmati makan tengah hari dan solat. Kami kemudian menaiki feri untuk ke pulau berkenaan yang mengambil masa 10 minit.

"Selepas mendaftar masuk di Ski Resort, cuaca sudah mulai gelap dan tiada aktiviti yang dapat dilakukan.

"Kami bermalam di Ski Resort dengan kesejukan hampir 0 darjah Celcius. Habis bergulung dalam dua selimut tebal, itu pun masih terasa kedinginan suhunya," katanya.

Kata Shaiful, memandangkan terdapat perubahan pada jadual lawatan, keesokannya beliau empat beranak terus mendaftar untuk bermain ski.

"Aida Zakirah dan Asma Zafirah paling gembira kerana impiannya hendak bermain membaling salji tercapai di sini.

"Selepas enam jam bermain salji, kami juga diberi tunjuk ajar menggunakan peralatan ski. Jenuh juga, beberapa kali saya dan anak-anak terjatuh kerana tersilap teknik mengendalikannya.


Mereka yang tidak pernah berski diajar untuk menggunakan peralatan berkenaan.

"Walaupun terdapat cahaya matahari, namun tidak terasa kehangatannya kerana suhu dingin ketika itu lima darjah Celcius. Kesejukannya hingga mencengkam ke tulang," katanya.

Kemudian, rombongan bergerak kembali ke Seoul dan melawa Taman Tema Everland, walaupun tempatnya menarik dengan pelbagai permainan dan keseronokan, namun cuaca sejuk membatasi pergerakan.

"Kami sempat singgah di Safari World, Panda World, Robot VR, Magic Cookies House dan lain-lain kemudahan di situ. Namun hasrat hendak menaiki Crazy Limo, Rolling X-Train, Columbus Adventure, Let's Twist, T Express dan lain-lain hampa kerana ditutup pada musim sejuk.

"Hampir tiga jam kami di situ, kemudian bergerak ke hotel," katanya.

Kata Saiful, aktiviti pada hari terakhir sebelum pulang ke Malaysia dipenuhi dengan jadual padat ke pusat membeli belah, pusat ginseng kebangsaan kilang Amethyst dan beberapa kedai bebas cukai.

"Kalau kita rambang mata, mahu habis diborong semua barangan yang dijual di situ. Jangan tidak menghampakan kami membeli beberapa cenderamata sebagai kenang-kenangan.

"Saya sekeluarga sempat memakai pakaian tradisional Korea ketika melawat perkampungan Hanok. Kami mengabadikan gambar dengan berpakaian tradisional berkenaan.

Bagi mereka yang berminat membeli belah ala Chow Kit Road atau Petaling Street, Namdaemun Street dan Myeong-Dong Fashion Street adalah tempatnya.


Penumpang menaiki feri untuk ke Pulau Nami.

"Barangan murah, berkualiti sederhana dan mampu beli. Di sini, semuanya ada hanya sediakan wang untuk membelinya," katanya.

Keesokannya selepas menikmati sarapan pagi di hotel, anggota rombongan bertolak ke Lapangan Terbang Incheon untuk berlepas ke Kuala Lumpur. Annyeonghi kaseyo.

986 dibaca
Berita Harian X