Ahad, 1 April 2018 | 11:12am
LONDON masih kekal sebagai destinasi pilihan pelancong kerana keindahan seni bina dan budaya multinasional negara itu.

Eropah destinasi pelancongan pilihan

KAJIAN tahunan oleh firma perunding antarabangsa, Mercer mendapati Eropah antara destinasi pelancongan pilihan, selain memiliki lapan ibu kota dicatatkan sebagai destinasi percutian 10 terbaik dunia.

Eropah mencatatkan destinasi pilihan utama pelancong kerana pelbagai keunikan ditonjolkan termasuk dari segi keindahan alam, kepadatan budaya, politik dan sosial, ekonomi, kesihatan, perumahan serta pendidikan.

Hasil kajian menunjukkan negara pertama menjadi destinasi pilihan popular dan utama pelancong adalah Vienna, Austria, diikuti Zurich, Switzerland; Auckland New Zealand serta Munich, Jerman.

Menurut tinjauan, Vienna dicatatkan sebagai negara yang mengetengahkan mengenai penjagaan kesihatan komprehensif dan kos hidup yang sederhana menjadikan ia kaya dengan pelbagai aset penting.


VIENNA, Austria dipilih sebagai destinasi pelancongan paling cantik selama sembilan tahun berturut-turut.

Austria paling menarik dikunjungi

Ketua Pengamal Mobiliti Mercer, Britain dan Ireland, Kate Fitzpatrick, berkata sungguhpun Austria adalah salah satu negara paling kecil di Eropah, iaitu dengan penduduk seramai 1.8 juta orang, ia dicatatkan sebagai destinasi pelancongan paling menarik kerana keindahan pemandangannya.

"Keindahan pergunungan Alps yang meliputi lebih 60 peratus kawasan negara itu juga menjadikan Austria sebagai antara negara paling cantik di dunia.

"Selain itu, seni bina bangunan dan kemudahan gaya hidup, penginapan dan pengangkutan diketengahkan negara ini juga menjadikannya negara paling menarik dikunjungi sepanjang tahun, tidak kira menjelang musim panas atau sejuk," katanya.

Pemandangan indah

Fitzpatrick berkata, kawasan Eropah Tengah pula, turut menyediakan pemandangan dan seni bina kota berkonsepkan baroque yang menyerlahkan keunikan negara itu.

"Antara tarikan dikekalkan sehingga kini adalah keunikan seni bina mencerminkan gaya hidup klasik abad ke -17 seperti Istana Schoenbrunn dan Hofburg menghimpunkan kisah sejarah tersendiri.


VANCOUVER, Kanada menawarkan panorama matahari terbenam sempurna.

"Vancouver, Amerika Utara turut dicatatkan sebagai negara kelima terbaik dengan kualiti kehidupan yang memberangsangkan, selain Singapura di tangga ke-25 dan Montevideo di kedudukan ke-77 bagi kategori Asia dan Latin Amerika bagi kategori sama," katanya.

Beliau berkata, United Kingdom (UK) pula dicatatkan sebagai bandar bertaraf tinggi dengan kualiti kehidupan cukup maju menerusi kehidupan multinasional.

"Setahun sebelum Britain dijangka meninggalkan Kesatuan Eropah, London bagaimanapun dicatatkan jatuh, satu anak tangga, iaitu daripada tangga ke 41, kepada tangga 42, pada tahun lalu.

"Keunikan seni bina dan budaya sejarah disimpan terus menjadi destinasi tumpuan, sungguhpun jumlah kunjungan menunjukkan penyusutan," katanya.


BAGHDAD disenaraikan sebagai destinasi paling kurang digemari kerana pergolakan negara itu.

Baghdad bukan destinasi pilihan

Fitzpatrick berkata, hasil kajian menunjukkan Baghdad, Iraq, berada di tangga paling bawah dalam senarai negara kerap dikunjungi pelancong, sejak sedekad lalu.

"Disebabkan suasana di negara terbabit yang kerap bergolak menjadikan pelancong kurang berkunjung ke sana. Amerika Syarikat antara negara yang dicatatkan paling kurang menggemari mengunjungi negara itu kerana konflik dialami Iraq, sejak 2003.

"Ketidakstabilan politik, penjagaan kesihatan dan rekreasi di negara itu juga antara punca ia bukan menjadi destinasi pilihan utama pelancong," katanya.

Pilihan destinasi menarik:

  • Vienna, Austria
  • Zurich, Switzerland
  • Auckland New Zealand
  • Munich, Jerman

Negara paling rendah pilihan

  • Baghdad, Iraq
180 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »