Ahad, 25 March 2018 | 12:35pm
BASE Jump bagi yang profesional saja. - Foto Asyraf Hamzah
PEMINAT sukan lasak melakukan aktiviti Base Jump di Taman Ekstrem Gua Damai. - Foto Asyraf Hamzah
ANTARA aktiviti yang terdapat di Taman Ekstrem Gua Damai. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Terjunan ekstrem Bukit Batu Kapur

"Bagi yang berani berdiri pada ketinggian hampir 100 meter di puncak bukit dan melompat ke bawah menggunakan payung terjun, individu ini mungkin dianggap gila.

"Namun kegilaan itu bukanlah kerana mereka tidak mampu berfikiran waras, tetapi inilah dikatakan keghairahan merasai kepuasan bagi penerjun profesional yang datang dari seluruh dunia, taksub dengan aktiviti lasak atau Base Jump di Taman Ekstrem Gua Damai," kata pengasasnya, Mustapa Al-Bakri Omar.

Aktiviti yang menjadi tumpuan pelancong dari luar negara itu kata beliau, adalah aktiviti sukan lasak yang terdapat di lokasi berhampiran Batu Caves, Gombak, Selangor.

Selain aktiviti berkenaan, katanya banyak lagi kemudahan diuruskan syarikat perunding pendakian cerun profesional, Perunding Wira Adventure Consultant dalam menjadikan taman semula jadi itu sebagai hub sukan ekstrem terbaik di negara ini.

Mustapha atau mesra dipanggil Pak Mus mula meneroka kawasan 278.7 meter itu sejak 1997 dan menerima kunjungan individu serta kumpulan pelbagai negara untuk merasai cabaran terjun dari puncak bukit batu kapur di situ.

Berbeza lokasi sukan ekstrem di tempat lain, Gua Damai terletak di bahagian utara Gua Kuil, Batu Caves adalah kawasan semula jadi yang wujud sejak 400 juta tahun lalu dan mereka yang berkunjung ke sini masih mampu menghirup udara segar dan menikmati kehidupan flora dan faunanya.

Pak Mus berkata, tempat yang diwartakan sebagai lokasi pelancongan itu menyediakan pelbagai aktiviti bertaraf dunia seperti memanjat dinding bukit (abseiling), Zip line atau flying fox, Base Jump, jelajah hutan, menerokai gua dan menunggang basikal lasak yang sangat menekankan aspek keselamatan pengunjung.

"Sejak penubuhan hingga kini, taman ekstrem ini masih kekal dengan rekod bersih kemalangan sifar daripada pengunjung yang beriadah di sini.

"Seperti aktiviti base jump, kami menyediakan kelengkapan keselamatan bagi mereka yang ingin melakukan terjunan," katanya.

Meskipun aktiviti paling mencabar ini antara yang menjadi tumpuan pelancong luar negara, namun masih belum termasuk dalam pakej disediakan pengurusan Taman Ekstrem Gua Damai.

Ini disebabkan pihaknya tidak memiliki jurulatih profesional untuk mengendalikan dan hanya mampu menyediakan lokasi lengkap dengan ciri keselamatan serta membuka kepada penerjun profesional saja.

"Saya biasanya mendapat tempahan daripada penerjun luar negara yang datang ke sini semata-mata untuk melepaskan gian melakukan terjunan.

"Bagi saya mereka ini bukan hanya dikategorikan sebagai berani tetapi 'gila' kerana apabila ditanya, masing-masing menyatakan sangat berdebar setiap kali terjun walaupun sudah lebih 100 kali melakukannya," katanya yang menyifatkan penerjun base jump memilik 'hati kering'.

Sementara itu, Pak Mus berkata, pada 31 Mac ini, jam 1 pagi, pihaknya akan menganjurkan program tahunan Full Blue Moon Climbing 2018. Program ini dijadual akan dihadiri ramai pendaki dari 30 negara yang akan berkampung di kawasan ini.

197 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »