Isnin, 26 Februari 2018 | 1:55pm
MASJID binaan seni minangkabau dibina tanpa menggunakan paku. - Foto Ezairi Samsudin
ATAP mimbar diperbuat daripada atap ijuk yang asal. - Foto Ezairi Samsudin
USIA tabuh sama dengan usia masjid. - Foto Ezairi Samsudin
LOKASI awal tempat pendakwah berteduh. - Foto Ezairi Samsudin

Misteri dulang

BUKAN sekadar dikenali sebagai masjid tertua di Jelebu, Negeri Sembilan, sebaliknya misteri dan sejarah silam Masjid Kuala Dulang, terletak di Kampung Peninjau, kira-kira 1.5 kilometer (km) dari pekan Kuala Klawang, menjadikannya antara produk pelancongan popular di daerah berkenaan.

Difahamkan, bukan hanya penduduk tempatan, bahkan pengunjung dari luar Negeri Sembilan, termasuk Singapura sering berkunjung ke Masjid Kuala Dulang untuk beribadat menunaikan solat hajat dan membayar nazar dengan bersedekah makanan kepada kariah kawasan itu atau berpuasa.

Berdasarkan batu tanda yang dibangunkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, menjelaskan Masjid Kuala Dulang diasaskan oleh Datuk Nika dan Mudim Khatib Raja, pendakwah dari Minangkabau yang menyebarkan agama Islam di Jelebu pada abad ke-16.

Kedua-duanya meneroka kawasan berkenaan, kemudian dinamakan Kampung Peninjau. Masjid ini asalnya sebuah bangsal beratap ijuk (atap nipah) yang menjadi tempat pendakwah berkenaan berteduh.

Bangsal ini dibangunkan menjadi rumah ibadat umat Islam dan dikenali sebagai Masjid Kuala Dulang. Lebih unik, masjid ini pada awalnya dibangunkan tanpa menggunakan paku, sebaliknya dipasak.

Tidak ditengelami air

Menariknya, nama masjid diambil daripada peristiwa kewujudan dulang misteri yang berisi makanan, namun tidak diketahui siapa menghidangkan makanan berkenaan.

Walau seramai mana jemaah yang hadir, makanan di atas dulang itu sentiasa mencukupi. Namun, selepas beberapa lama, dulang itu lenyap begitu saja.

Kini, Masjid Kuala Dulang dikenali dengan nama baharu, Masjid Warisan Kuala Dulang sebagai tarikan kepada pengunjung yang ingin melihat keunikannya.

Pengerusi Masjid Warisan Kuala Dulang, Basri Abdul Aziz, 54, berkata dulang misteri itu dikatakan benar-benar berlaku menerusi beberapa versi cerita disampaikan beberapa penduduk awal yang menetap di Kampung Peninjau.

Dulang misteri itu wujud ketika jemaah selesai menunaikan solat Zuhur ketika masjid itu mula dibuka.

Bagaimanapun, dulang misteri itu dikatakan ghaib sejak 300 tahun lalu selepas seorang jemaah tidak memegangnya dengan betul, lalu terhempas dan pecah.

"Namun, cerita mengenai dulang misteri itu masih diperkatakan hingga kini. Lebih unik, atap ijuk yang asal ketika mula-mula masjid ini dibangunkan masih kekal hingga sekarang dan kini dijadikan atap mimbar," jelas Basri.

Sementara itu, Tok Siak, Mohd Sanin Gudang, 62, berkata tabuh yang berada di perkarangan masjid berkenaan diperbuat daripada kayu hutan dan kulit lembu. Usianya pula dikatakan sama dengan usia masjid yang dibina pada abad ke-16.

Perkara pelik lain yang diceritakan mengenai masjid berkenaan apabila pernah berlaku dua kali banjir besar iaitu sebelum merdeka dan pada 1970, tetapi masjid berkenaan tidak ditenggelami air, walhal kedudukannya terletak di tebing Sungai Batang Jelebu. Kampung lain berhampiran sungai, semuanya ditenggelami air.

FAKTA NOMBOR

* 400 Tahun

anggaran usia masjid

* 500 Jemaah

kapasiti masjid hari ini

INFO

* Menurut cerita orang tua, nama asal Jelebu bermula apabila Tok Batin membuka ladang labu. Tanamannya subur sehingga akar labunya menjalar ke Ulu Klawang. Justeru, orang ramai menamakan ladang itu sebagai Jalar Labu dan akhirnya menjadi Jelebu.

* Dalam daerah Jelebu, tiada tempat dinamakan pekan Jelebu, sebaliknya hanya ada pekan Kuala Klawang. Jelebu pula adalah daerah kedua terbesar di Negeri Sembilan selepas Jempol. Jelebu terkenal sebagai kawasan lindungan hujan kerana terletak di dataran tinggi.

2918 dibaca
Berita Harian X