Isnin, 22 Januari 2018 | 10:01pm
KEBANYAKAN peserta perjalanan dinamakan 'Overland' Kuala Lumpur-Isfahan-London 2017. - Foto ihsan Mohd Ghazi Abdul Aziz
EKSPEDISI KL-London bertolak pada 16 Ogos tahun lalu dan pulang secara berperingkat pada 6 Disember dan terakhir pada 7 Januari lalu. - Foto ihsan Mohd Ghazi Abdul Aziz
PERJALANAN darat dari Kuala Lumpur ke London, membabitkan jarak kira-kira 26,000 kilometer, selama hampir empat bulan. - Foto ihsan Mohd Ghazi Abdul Aziz
ANTARA pemandangan sepanjang perjalanan konvoi ekspedisi KL-London. - Foto ihsan Mohd Ghazi Abdul Aziz
ANTARA pemandangan ketika perjalanan konvoi ekspedisi KL-London. - Foto ihsan Mohd Ghazi Abdul Aziz
MOHD Ghazi dan isteri, Rosnie mengetuai 12 rakan lain dengan hampir semuanya pasangan suami isteri berusia sebaya. - Foto ihsan Mohd Ghazi Abdul Aziz

Geng otai kongsi pengalaman ekspedisi KL-London

SEREMBAN: Pasangan veteran suami isteri selamat kembali selepas melengkapkan perjalanan darat dari Kuala Lumpur ke London, membabitkan jarak kira-kira 26,000 kilometer, selama hampir empat bulan.

Mohd Ghazi Abdul Aziz, 64, dan isteri, Rosnie Othman, 62, yang mengetuai 12 rakan lain dengan hampir semuanya pasangan suami isteri berusia sebaya, bertolak pada 16 Ogos tahun lalu dan pulang secara berperingkat pada 6 Disember dan terakhir pada 7 Januari lalu.

Mohd Ghazi dan pasangannya menaiki pacuan empat roda Toyota Land Cruiser, manakala dua lagi menggunakan kenderaan model sama, selain sebuah Land Rover serta 'campervan' Toyota Hiace, untuk merentas benua Asia dan Eropah.

Mohd Ghazi berkata, kebanyakan peserta perjalanan dinamakan 'Overland' Kuala Lumpur-Isfahan-London 2017 itu, pernah terbabit dalam ekspedisi anjuran pelbagai pihak sebelum ini, namun tidak pernah memandu sejauh itu.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata, konvoi lima kenderaan itu melalui perjalanan epik penuh cabaran merentas lebih 16 negara termasuk Thailand, Laos, China, Pakistan, Iran dan Turki.

"Sudah lama kami menyimpan hasrat untuk melakukan perjalanan ini dan kali ini kami memberanikan diri merancang dan melaksanakan trip ini secara bersendirian tanpa tajaan atau dibantu pasukan sokongan serta penganjur profesional.


MOHD Ghazi Abdul Aziz.

MOHD Ghazi dan isteri, Rosnie menaiki pacuan empat roda mengetuai 12 rakan lain memandu dari Kuala Lumpur ke London. - Foto ihsan Mohd Ghazi Abdul Aziz

"Secara ringkas, ini adalah perjalanan sekumpulan sahabat yang memandu dari Kuala Lumpur ke London. Selain memenuhi impian, kami mahu buktikan rakyat Malaysia mampu melakukan perjalanan seperti ini tanpa masalah," katanya kepada BH.

Sementara itu, Rosnie berkata, keindahan pemandangan di sepanjang perjalanan itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

"Perjalanan ini amat berbeza kerana bukan sekadar melancong, sebaliknya kami meneroka tempat baharu yang cantik yang tidak pernah dilihat sebelum ini, malah kebanyakan laluan tidak pernah dilalui oleh pelancong biasa.

"Kami menikmati keindahan itu setiap hari dengan melalui kawasan pedalaman dan perkampungan. Bagi saya, antara negara yang mempunyai pemandangan paling cantik adalah China, Pakistan dan Iran selain negara Balkan," katanya.

Rosnie berkata, mereka juga tidak dapat melupakan kenangan menyaksikan sendiri solat Aidiladha di sebuah masjid di Xining, China yang dianggarkan dihadiri lebih 50,000 umat Islam.

"Masjid tidak dapat menampung jumlah seramai itu, justeru kawasan jalan raya dan lorong di bandar berkenaan dipenuhi dengan jemaah yang menunaikan solat," katanya.

Beliau berkata, kemesraan warga Iran juga mengejutkan mereka, malah tidak menghadapi masalah singgah menunaikan solat di masjid tempatan. Selain itu, mereka turut diraikan seorang menteri yang menjemput mereka makan malam di sebuah hotel ketika berada negara itu.


MOHD Ghazi dan Rosnie bergambar di Pisa, Itali. - Foto ihsan Mohd Ghazi Abdul Aziz

Mengenai cabaran, Rosnie berkata, selain kerenah birokrasi ketika melalui sempadan terutama di Pakistan, mereka perlu mempunyai kekuatan mental kerana hampir separuh perjalanan di negara itu diiringi polis disebabkan faktor keselamatan.

Katanya, mereka juga perlu bersabar kerana terpaksa membuang masa yang lama menunggu proses pertukaran pasukan polis pengiring di setiap daerah yang dilalui, sekali gus melambatkan masa perjalanan.

Beliau berkata, kerosakan kenderaan juga kadang-kala tidak dapat dielakkan, namun bersyukur kerana dapat mengatasinya dengan bantuan mekanik serta bengkel tempatan.

Rosnie berkata, ketika di Lahore, dua peserta yang menaiki sebuah pacuan empat roda berpecah daripada konvoi kerana mempunyai perancangan awal untuk menjelajah India sebelum pulang ke Malaysia melalui Myanmar dan Thailand.

Katanya, empat kenderaan meneruskan perjalanan ke Eropah melalui Turki sebelum mereka sendiri berpisah di Pisa, Itali kerana mahu mempercepatkan masa untuk pulang ke Malaysia.

"Saya dan suami pernah mengembara dan berkhemah menaiki pacuan empat roda di Eropah selama empat bulan pada 2014, justeru kami mengambil keputusan untuk tidak menyertai rakan lain yang mahu pergi ke Switzerland.

"Kami tiba di London lebih awal dan pulang ke Malaysia menaiki penerbangan pada 6 Disember lalu. Peserta lain tiba di Malaysia secara berperingkat dengan yang terakhir tiba menaiki pengangkutan awam menggunakan jalan darat pada 7 Januari lalu," katanya.


ANTARA perjalanan sekumpulan sahabat yang memandu dari Kuala Lumpur ke London. - Foto ihsan Mohd Ghazi Abdul Aziz

Fakta nombor:

  • RM50,000 - Anggaran kos setiap peserta
  • RM3,000 - Kos hantar kenderaan pulang menaiki kapal ke Malaysia

  • 4 bulan - Tempoh perjalanan
  • RM6/liter - Anggaran purata harga petrol di kebanyakan negara dilalui
  • 3 negara - (China, Pakistan, Iran) - Gunakan khidmat ejen
  • RM12,000 - Kos ejen di China bagi setiap peserta
  • RM5,000 - Kos ejen di Pakistan bagi setiap peserta
  • RM6,000 -  Kos ejen di Iran bagi setiap peserta

INFO
Antara negara dilalui:

Thailand, Laos, China, Pakistan, Iran, Turki, Greece, Albania, Montenegro, Kosovo, Bosnia, Crotia, Itali, Perancis dan Britain.

Berita Harian X